Agong Periksa Dua Kemalangan Berlaku Sekitar Putrajaya
PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menunjukkan keprihatinan terhadap pengguna jalan raya apabila mencemar duli turun daripada kenderaan rasmi Seri Paduka untuk memeriksa dua kemalangan yang berlaku di sekitar Putrajaya pagi tadi.
Laman Instagram Istana Negara (istana_negara) hari ini memuat naik dua klip video dan dua gambar menunjukkan Seri Paduka memeriksa keadaan serta bertanya khabar pemandu yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Seri Paduka Baginda menasihati kepada semua pemandu untuk memandu dengan berhati-hati ketika hujan lebat bagi mengelakkan kemalangan,” menurut hantaran itu.
Menurut hantaran itu, kemalangan pertama berlaku di Cyberjaya dan kedua berhampiran Plaza Tol Putrajaya di Lebuhraya Maju (MEX).
Dalam video pertama, Yang di-Pertuan Agong kelihatan tidak kekok melangkah besi pembahagi jalan bagi melihat keadaan kenderaan yang terlibat, selain berbual dengan pemandu tersebut.
Dalam video kedua pula, Seri Paduka kelihatan berbual dengan pasangan yang terlibat dalam kemalangan itu serta tidak keberatan bergambar bersama mereka apabila diminta oleh pasangan itu.
View this post on Instagram
Dalam perjalanan pulang dari Mesyuarat Pra-Kabinet bersama YAB Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menuruni kenderaan rasmi Baginda sebanyak dua kali untuk memeriksa keadaan dan bertanya khabar kepada pemandu-pemandu yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kemalangan pertama berlaku di Cyberjaya dan kedua berhampiran Plaza Tol MEX Putrajaya. Seri Paduka Baginda menasihati kepada semua pemandu untuk memandu dengan berhati-hati ketika hujan lebat bagi mengelakkan kemalangan. #agongkita #ourking
A post shared by ISTANA NEGARA (@istana_negara) on Nov 7, 2019 at 6:53pm PST
Sumber: Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/11/08/agong-periksa-dua-kemalangan-berlaku-sekitar-putrajaya/