Agong Murka Seluruh Kabinet Pn Mesti Bertanggungjawab
Seluruh Jemaah Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) seharusnya bertanggungjawab di atas kemurkaan Yang di-Pertuan Agong terhadap tindakan memansuhkan Ordinan Darurat tanpa memperolehi perkenan Baginda.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pemansuhan ordinan berkenaan tanpa mendapat restu telah melanggar Perlembagaan Persekutuan, dan kerajaan PN yang tidak cermat seharusnya tidak berlepas tangan dalam isu berkenaan.
“Angkatan Belia Islam Malaysia menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah di atas kenyataan tegas Istana Negara berhubung pelanggaran peruntukan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan serta Institusi Istana oleh kerajaan PN dalam pengendalian Ordinan Darurat yang kini menjadi isu besar dalam sidang Parlimen.
“ABIM berpendirian, seluruh rakyat harus mencermati penegasan Istana Negara sebagai suatu yang secara jelas telah mengabsahkan bahawa kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin mengabaikan prinsip demokrasi berparlimen dan tidak menghormati sistem Raja Berperlembagaan.
“Dalam masa sama, ABIM menegaskan bahawa seluruh anggota Jemaah Menteri harus bertanggungjawab ke atas pelanggaran prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang berlaku ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Faisal lagi, kesalahan tersebut tidak boleh dipikul hanya ke atas seorang menteri yang dikambing hitamkan.
Katanya. hal itu selari dengan Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan prinsip kebertanggungjawaban bersama atau “collective responsibility” di mana seluruh ahli Jemaah Menteri wajib mengambil tanggungjawab atas segala keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan.
“Menurut doktrin Ministerial Responsibility, terdapat beberapa prinsip yang harus dipertegaskan antaranya “Responsibility for Monarch’s acts” iaitu seseorang menteri secara politik bertanggungjawab atas tindakan rasmi Institusi Beraja.
“Selain itu, dalam doktrin berkenaan terdapat prinsip “Duty to act with unanimity” yang bermaksud seluruh menteri bertindak sebagai satu suara kepada warga awam, Parlimen serta Yang di-Pertuan Agong.
“ABIM menegaskan tindakan kerajaan yang menghina institusi istana, Dewan Rakyat dan seluruh warga Malaysia yang menjunjung prinsip Rukunegara sebagai teras dalam amalan bernegara, adalah tindakan seluruh anggota Jemaah Menteri,” katanya lagi.
Justeru, tambah Faisal, selain gesaan untuk Perdana Menteri berundur secara terhormat dan bermaruah, ABIM turut menggesa seluruh Jemaah Menteri untuk memohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan mengangkat kembali prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, khususnya dalam pengendalian Ordinan Darurat di Parlimen.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suarapakatandaily.com/archives/32674