Agenda Lgbt Anwar Heret Pesuruhjaya Pas Perak Ke Mahkamah
malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Dec 5, 2022 11:21 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memulakan saman fitnah terhadap Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berhubung dakwaan dia mempunyai agenda LGBT.
Anwar memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi, menerusi firma guaman SN Nair di Mahkamah Tinggi Taiping menerusi sistem e-filing, malam tadi.
Pada 9 November lalu, Anwar dilaporkan mengeluarkan surat tuntutan terhadap Razman, yang antara lain menuntut ganti rugi RM5 juta dan permohonan maaf terbuka kerana mendakwanya memiliki agenda LGBT dan menjadi boneka DAP.
Menurut kertas kausa saman tersebut, Anwar mendakwa ceramah Razman yang disiarkan secara langsung di laman Facebooknya setakat ini telah mendapat 94,400 tontonan, 5,100 reaksi, dikongsi sebanyak 429 kali dan menerima 2,600 komen.
Anwar menyangkal dakwaan itu dan berkata dia memiliki imej yang sangat disanjungi di Malaysia dan dunia, serta sentiasa memperjuangkan ajaran dan nilai teras Islam.
"Plaintif (Anwar) sentiasa mengecam semua dakwaan agenda LGBT dan telah memperjuangkan agenda reformasi yang lebih besar untuk tadbir urus negara.
"Penerbitan memfitnah tersebut oleh defendan (Razman) adalah memudaratkan imej dan reputasi baik plaintif sebagai presiden PKR, pengerusi PH, ahli parlimen Tambun dan kini sebagai perdana menteri kesepuluh Malaysia.
"Alegasi defendan dalam penerbitan memfitnah tersebut adalah tidak berasas dan mengandungi dakwaan palsu yang telah dengan secara tidak betul menggambarkan plaintif sebagai seorang yang membawa agenda LGBT atau 'woke'.
"Plaintif tidak pernah menyokong perkahwinan sejenis," kata Anwar.
Anwar juga mendakwa dakwaan itu telah diterbitkan tanpa mendapatkan pengesahan akan kebenaran dakwaan itu.
'Plaintif alami kebimbangan, rasa malu'
Anwar juga berkata dakwaan itu telah menghancurkan reputasinya serta mencemarkan karakter dan nilai sosialnya dengan teruk.
Dia juga mendakwa dakwaan itu menyebabkan dia didedahkan kepada skandal awam, kebencian, odium (rasa benci), kutukan, penghinaan dan opprobrium (keaiban).
"Plaintif telah mengalami tekanan mental, kebimbangan dan rasa malu yang teruk daripada tindakan defendan," katanya lagi.
Anwar juga mendakwa Razman keberatan untuk memohon maaf dan dengan sengaja tidak memadamkan penerbitan yang mengandungi dakwaan tersebut.
Anwar menuntut ganti rugi am, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, selain perintah injunksi yang menghalang Razman daripada mengungkap, mengarang atau menerbitkan, atau mengedarkan penerbitan yang mengandungi dakwaan tersebut.
Dia menuntut kadar faedah lima peratus setahun ke atas jumlah yang ditetapkan mahkamah, daripada tarikh tindakan terakru sehingga penyelesaian penuh.
Dia juga menuntut kos atas dasar peguam cara dan anak guam serta relif lain yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah.
Malaysiakini sedang menghubungi Razman berkenaan tindakan saman ini.
[Baca berita asal]
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/12/agenda-lgbt-anwar-heret-pesuruhjaya-pas.html