Agama Bukan Semberono
Tajuk : AGAMA BUKAN SEMBERONOPenulis : Dr. Mohd Asri Zainul AbidinPenerbit : R DimensiTahun terbit : 2017Jumlah muka surat : 191Harga : RM25
Buku tulisan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA) ini menyentuh pelbagai topik, tetapi dengan tema yang sama iaitu menentang kemalasan berfikir khususnya dalam perkara berkaitan agama
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, semberono bermaksud tidak hati-hati (tidak difikirkan baik-baik), sembarangan sahaja, kurang teliti. Sesuai dengan tajuk buku ini, penulis mengajak kita berfikir dengan baik dalam setiap perkara berkaitan agama dan bukannya menerima secara semberono
Sikap kita yang malas berfikir dan menerima segalanya secara semberono inilah yang membuka ruang eksploitasi oleh golongan yang menggunakan agama untuk kepentingan peribadi.
Antara topik yang menarik perhatian saya di dalam buku ini - Apabila Ceramah Motivasi Mula Merepek. Penulis menghuraikan beberapa hal berkaitan isi ceramah ahli motivasi (yang merepek) :
1. Menyuruh isteri sentiasa memohon agar suami menghalalkan makan minum yang diberi. Sedangkan menurut syarak, sudah menjadi tanggungjawab suami memberikan isteri makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Perkara yang sudah menjadi tanggungjawab, tidak lagi perlu kepada memohon halal. Sebaliknya, suami yang sepatutnya memohon maaf jika gagal memenuhi tanggungjawab tersebut. Begitu juga isteri, hanya perlu memohon maaf jika dia gagal menunaikan tanggungjawab sebagai isteri
2. Anak tidak cemerlang belajar disebabkan sumber wang pendapatan bapa yang tidak halal. Sedangkan dalam Islam, dosa hanya ditanggung oleh orang yang melakukan dosa itu saja. Bapa berdosa kerana mendapatkan sumber wang yang tidak halal, tetapi nafkah yang diberi kepada anak adalah halal diterima kerana ia kewajiban seorang bapa kepada anak
3. Membaca surah al-Fatihah untuk ibu bapa pada setiap pagi akan mendatangkan rezeki. Padahal tiada bukti dari al-Quran dan al-Sunnah yang menyebut kelebihan begini. Allah memberikan kita rezeki bukan disebabkan kita membaca ayat tertentu, tetapi Allah memberikan kita rezeki sesuai dengan kehendak-Nya. Bagi saya, amalan membaca surah al-Fatihah untuk ibu bapa memang sesuatu yang baik dan wajar dilakukan dengan ikhlas sebagai satu doa untuk insan yang kita sayang, bukan dengan niat untuk mendatangkan rezeki
Banyak lagi topik menarik yang dihuraikan, ia membuka fikiran dan menambah kefahaman saya mengenainya. Antara topik lain yang terdapat dalam buku ini :Apabila Mimpi dan Ilham Menjadi HujahKalimah Allah : Emosi dan RealitiKebaikan Mungkin Membawa Ke NerakaAntara Mencintai Tanahair dan Mencintai PenguasanyaPandai Dakwah Belum Pandai SiyasahBuku Agama Bukan Semberono ini merupakan bahan bacaan yang bagus untuk kita selaku umat Islam. Tambahan lagi di zaman kepesatan teknologi maklumat yang memudahkan segala info (termasuk yang palsu) mudah disebarkan. Buku ini membuatkan kita memahami agama dan memandu cara fikir yang betul dalam menilai sesuatu. Malas berfikir? Akibatnya kita akan terus berada dalam kejumudan dan terdedah kepada eksploitasi.
Keluasan menerima pendapat adalah ajaran agama yang mesti kita manfaatkan. Kebenaran itu merentasi sempadan agama, mazhab, kumpulan dan lain-lain. Namun Islam sebagai al-din adalah kebenaran mutlak.- petikan buku Agama Bukan Semberono, halaman 103 -
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2020/08/agama-bukan-semberono.html