Afgan Serlah Sisi Matang Dalam Konsert Dekade
Persembahan dua jam yang padat dengan memori perjalanan karier Afgan atau nama sebenarnya, Afgansyah Reza memperlihatkan bakat yang mengiyakan statusnya sebagai penyanyi antarabangsa yang cukup ramai peminat di Malaysia.
Memilih menyambut ulang tahun ke-10 dalam industri muzik untuk mengadakan konsert di Plenary Hall, KL Convention Centre pastinya membuat peminat di negara ini terasa lebih terharu, “Afgan pilih Malaysia dulu!” Pastinya ia adalah penghargaan tertinggi penyanyi bersuara lunak ini buat penyokongnya di sini.
Rangkaian peminat juga bukan calang-calang kerana pada malam konsert Dekade Live in Kuala Lumpur itu turut menyaksikan kehadiran Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman mencemar duli ke persembahan berkenaan. Ramai juga selebriti Malaysia yang hadir memberi sokongan termasuk Nur Fazura, Janna Nick, Shasha Saidin dan Maria Tunku Sabri. Kira-kira 2,000 peminat daripada seluruh pelusuk negara memenuhi dewan berkenaan semata-mata mahu menyaksikan Afgan beraksi di pentas.
Afgan bersama Permaisuri Selangor.
Memulakan segmen pertama dengan lagu Jalan Terus, Afgan tidak terus memukau penonton kerana penulis berasa penyanyi berlesung pipit ini seakannya berdepan sakit tekak (mungkin kerana sesi latihan padu sebelum itu), sempat dia minta izin untuk minum air hanya selepas satu lagu. Namun, bila si dia ini sudah mula mendapat rentak dan all warmed-up, barulah penonton dapat rasai kuasa suaranya yang lunak membuai setiap deria yang ada.
Berlatarkan skrin dengan paparan beresolusi tinggi, setiap lontaran lagu diiringi sama ada imej dirinya dibesarkan atau pemandangan yang memukau, biar kena dengan feel lagu dinyanyikan. Ada kala, Afgan akan berseloroh mengenai status dirinya yang masih belum berkahwin tetapi asyik melagukan bait-bait cinta. Juga, sempat diselitkan, jika dia tidak di pentas, dia akan menyanyi di majlis perkahwinan!
Antara yang turut menarik perhatian, bila mana Afgan menitipkan doa buat mangsa tsunami di Palu, Indonesia menerusi lagu Ku Mohon sebagai tanda sayangnya buat rakan senegara yang ditimpa musibah.
Kemuncak persembahan hingga mendapat sorakan paling gemuruh sepanjang persembahan adalah apabila Afgan disertai ahli kumpulan Ruffedge di pentas menerusi dendangan I’ll Make Love to You (lagu asal Boys II Men). Ruffedge turut berpeluang menyumbangkan Bila Rindu sebagai melengkapi Konsert Dekade itu, seakannya suasana dalam Plenary Hall mula hangat sewaktu itu. Alangkah bagus jika segmen ini dihadirkan lebih awal.
Mana mungkin lengkap konsert 10 tahun ini tanpa lagu keramat Terima Kasih Cinta dinyanyikan biarpun Afgan sudah menyanyikannya mungkin ratusan kali tetapi ia tetap lagu yang menyatukan figura ini dengan peminatnya, hingga dia mampu bertahan dan diterima selama sedekad.
Terima kasih juga buat Afgan kerana masih mewarnai hidup peminat dengan suara dan lagu merdu anda, semoga terus sukses untuk berdekad-dekad lagi, insya-Allah.
The post Afgan Serlah Sisi Matang Dalam Konsert Dekade appeared first on Her Inspirasi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://herinspirasi.com/gaya-hidup/afgan-serlah-sisi-matang-dalam-konsert-dekade/