Adun Bugaya Manis Muka Meninggal Dunia

KOTA KINABALU: Adun Bugaya, Manis Muka Mohd Darah, meninggal dunia di Hospital Gleneagles hari ini. Sumber Warisan berkata wakil rakyat berusia 65 tahun itu dimasukkan ke hospital kerana masalah buah pinggang.
“Beliau dimasukkan di unit rawatan rapi (ICU) semalam dan meninggal dunia tengah hari tadi,” katanya.
Pada pilihan raya negeri yang lalu, Manis mempertahankan Bugaya dengan majoriti 6,005 undi selepas mendapat 8,557 undi.
FMT sedang mendapatkan respon daripada pemimpin Warisan.
---
Calon DUN Bugaya Manis Muka dedah rahsia di sebalik nama
SEMPORNA - Sebaik mendengar atau melihat namanya, pasti ramai yang tercari-cari  dan ingin mengetahui siapakah empunya tuan badan pemilik nama seunik itu  - Manis Buka Mohd Darah.
Rasa ingin tahu membawa wartawan  Bernama untuk mengenali dengan lebih dekat figura berusia 65 tahun itu  dan telah berkunjung ke kediamannya di Kampung Bugaya dekat sini  baru-baru ini bagi mengetahui rahsia di sebalik nama yang barangkali  hanya satu dalam sejuta.
Apabila diajukan soalan bagaimana beliau  mendapat nama berkenaan, calon Parti Warisan bagi kerusi Dewan Undangan  Negeri (DUN) Bugaya itu, yang juga ibu kepada lima anak lelaki dan lima  anak perempuan, tersenyum manis sebelum memulakan cerita.
“Sebenarnya  nama ini adalah asal usul daripada nenek moyang saya kerana dulu di  kepulauan (sebuah pulau di Semporna) itu, wanita tercantik namanya Manis  Muka. Sebab itu arwah ibu bapa saya memberikan saya nama Manis Muka,”  katanya.
Bagaimanapun, beliau yang lebih popular dengan panggilan  ‘Manis Muka’ dalam kalangan masyarakat Semporna dan Sabah amnya,  berkata, berlaku kesilapan ketika pendaftaran apabila nama Manis Muka  yang sepatutnya didaftarkan telah tersalah eja sehingga menjadi Manis  Buka.
Disebabkan keunikan nama itu, Manis Muka berkata, beliau  sering menjadi tumpuan sejak sekolah rendah malah sering dicari oleh  pelawat yang berkunjung ke sekolahnya.
“Saya menangis dan meminta  arwah bapa menukar nama saya sebab saya selalu kena cari tapi bapa saya  cakap jangan, kerana itu nama nenek moyang saya,” katanya.
Begitu  pun, Manis Muka tetap berbangga dengan keunikan namanya kerana ia  berjaya memperkenalkan diri beliau kepada ramai pemimpin tertinggi UMNO  sewaktu menyertai parti itu sebelum ini.
“Pernah suatu ketika  saya terdengar sewaktu Perhimpunan Agung UMNO, Datuk Seri Hishammuddin  Tun Hussien berkata (beliau) mahu mencari siapa perwakilan yang namanya  Manis Buka ini sebab ini nama ganjil... sedangkan dia tidak sedar saya  berada di belakangnya,” katanya.
Manis Muka, yang mempertahankan  kerusi DUN Bugaya, berdepan pertandingan tujuh penjuru dengan calon  daripada Perikatan Nasional (PN), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu  (USNO), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan  dua calon bebas.
Katanya, ini merupakan kali pertama kawasan itu  menyaksikan pertandingan sehingga tujuh penjuru namun beliau yakin  mampu mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti yang lebih banyak  kali ini.
Bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1985 dan  pernah memegang beberapa jawatan seperti Ketua Wanita UMNO Semporna,  Manis Muka kini merupakan Ketua Wanita Warisan Semporna. - Bernama
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
 ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
  
  
  


 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://www.mindarakyat.net/2020/11/adun-bugaya-manis-muka-meninggal-dunia.html