Adab Bagi Penuntut Ilmu
Al-Imam Abdul Wahhab As-Sya'rani rahimahullah telah menyebut di dalam kitabnya [[ Irsyadul Tholibin Ila Maratib al-Ulama al-Amilin ]] :
Di antara Adab bagi Penuntut Ilmu adalah :
9) Bersungguh-sungguh untuk beramal dengan hadis-hadis Fadhoil keseluruhannya , walaupun dikatakan bahawa hadis tersebut Dhoif pada Sanadnya.
Sesungguhnya hadis-hadis tersebut tidak keluar daripada Agama hatta Hadis-Hadis yang Maudhu' sekalipun.
Ini kerana , jika tidak kerana cahaya Syariah ( Agama ) yang menunjukkan perkara tersebut , maka orang yang mereka-reka hadis tersebut tidak akan diberi petunjuk untuk mengetahui nama Hukum bagi hadis yang dia reka lebih-lebih lagi dalilnya.
Cuba kamu perhatikan Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam :
(( لا سبق إلا في نصل أو خف أو حافر ))
Maksudnya : [Hadiah bagi] Pertandingan atau perlumbaan yang dianjurkan hanyalah sepatutnya diberikan kepada pertandingan memanah, lumba Kuda atau lumba unta .
Sebahagian orang yang mereka-reka hadis menambahkan perlumbaan keempat iaitu جناح yang bermaksud lumba burung ketika melihat sebahagian Khalifah pada zaman tersebut gemar berlumba burung.
Jika tidak ada riwayat tentang kelebihan sebahagian pertandingan dan perlumbaan maka sudah tentu pereka hadis tersebut tidak akan mampu melafazkan perkataan perkataan yang keempat tersebut.
Jika tidak kerana adanya riwayat tentang kelebihan surah di dalam Al-Quran dan doa-doa maka golongan pereka Hadis tidak akan mampu untuk mencipta hadis baru kerana ianya tidak boleh untuk diqiaskan kelebihannya dengan sesuatu.
@ Saya berkata : Cuba lihat Wahai para penuntut Ilmu yang benar bagaimana cara pandang al-Imam Abdul Wahhab As-Sya'rani rahimahullah tentang hadis-hadis Dhoif termasuk hadis Maudhu' sekalipun.
Beliau berpandangan bahawa kesemuanya itu terdapat padanya pancaran Syariah.
Ini kerana mereka yang mereka cipta hadis tidak akan mampu untuk mengeluarkan perkataan sedemikian melainkan terdapat padanya sandaran daripada Syara'.
Namun yang menjadi celaan kepada mereka adalah kerana mereka menyandarkan ucapan tersebut kepada Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam.
Disebabkan itulah kata beliau kita sering mendengar para ulama Muhaddisin dan Fuqaha' mengatakan :
" Lafaz ini tidak disebutkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam namun maknanya Sahih bertepatan dengan Syariah"
Ini adalah pandangan seorang ulama yang menggabungkan Ilmu Syariah dan Haqiqah.
Berbeza dengan orang Awam sekarang yang tidak melalui disiplin ilmu yang benar, hanya sekadar dengar-dengar dan copy paste. Kemudian mereka menyebut :
" Buat apa ingin beramal dengan yang Dhoif, sedang Hadis Sohih masih berlambak"
Perkataan ini memberi maksud:
1) Hadis Dhoif kesemuanya tidak boleh beramal dengannya. Maka ini sudah bercanggah dengan pandangan Jumhur Muhaddisin yang menyebutkan bahawa hadis Dhoif yang menepati syarat tertentu maka tiada masalah untuk diamalkan.
2) Mereka seolah-olah memahami perkataan Dhoif itu dengan maksud lemah pada Sanad hadis dan Matannya sekaligus. Sedangkan Dhoif itu boleh jadi hanya Dhoif pada Sanadnya tetapi Sohih pada Matannya dan begitulah sebaliknya.
Orang Awam bukan tugasnya untuk menilai hadis. Orang Awam tugasnya adalah menuntut Ilmu dan Adab. Agar keluar daripada Jahil dan Biadap.
Orang yang mengajar orang Awam pula , bukanlah seronok menyuruh orang awam memeriksa hadis sendiri menggunakan perisian Telefon dan Maktabah Syamilah. Namun perlu mendidik mereka Adab sebelum sibuk memeriksa hadis. Hadas kecil dan Hadas besar mereka sendiri pun masih keliru sudah sibuk nak periksa Hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam.
Semoga Allah taala memuliakan para Ulama Ummah keseluruhannya, semisal al-Imam Abdul Wahhab As-Sya'rani rahimahullah . Kesemua ini adalah barakahnya Baginda sallallahu alaihi wasallam. Maka saya akan sebutkan :
جزى الله عنا سيدنا محمدا صلى الله عليه وسلم ما هو أهله ♥️♥️
جزى الله عنا سيدنا محمدا صلى الله عليه وسلم ما هو أهله ♥️♥️
جزى الله عنا سيدنا محمدا صلى الله عليه وسلم ما هو أهله ♥️♥️
kredit- Ustaz Nazrul Nasir
( https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2795631337116622&set=a.156300901049692&type=3 )
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pemudattbc.blogspot.com/2019/11/adab-bagi-penuntut-ilmu.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+KeArahMencariRedhanya+(Ke+Arah+mencari+redhaNYA)