Ada Apa Dengan Malam Nisfu Sya Ban
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمدالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
“Allah akan muncul (rahmat dan pengampunannya) kepada seluruh makhlukNya pada malam Nisfu Sya’ban dan mengampunkan seluruh makhlukNya kecuali orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang saling bermusuhan”[ HR Al-Tabrani ]
Sebenarnya tiada amalan khusus yang diwajibkan pada malam Nisfu Sya’ban. Adalah menjadi bid’ah jika kita mewajibkan ibadat-ibadat tertentu pada malam itu namun melakukan sebarang ketaatan pada malam itu sebagai memenuhi malam yang sangat istimewa itu adalah tidak dilarang. Membaca Al-Quran dari mana-mana surah termasuk surah Yasin juga dikira sebagai satu ketaatan. Hendak membaca banyak kali pun tiada halangan tetapi bukan bilangan yang dikejar, tetapi bacalah dengan memenuhi hak-hak bacaan yang sebenar dan lakukanlah dengan tertib, tadabbur dan ta’aqqul
Baca sekali dengan tartil dan penuh penghayatan jauh lebih baik dari membacanya secara tergesa-gesa untuk mengejar bilangan. Selepas itu bacalah apa-apa doa yang kita hajati kepada Allah. Tidak terikat dengan doa yang biasa dibaca sebelum–sebelum ini. Namun kalau kita berhasrat membaca doa yang sedia ada pun tiadalah halangannya selama mana kita tidak menganggap ibadat-ibadat tadi adalah agenda wajib pada malam itu. Lakukanlah solat-solat sunat mutlak ataupun solat sunat yang disunnahkan oleh Nabi SAW pada bila-bila masa seperti solat sunat tasbih dan sebagainya pada malam itu. Pada keesokkan harinya jika ada yang sudah melazimi dan memperbanyakkan berpuasa dari awal bulan Sya’ban bolehlah meneruskan puasa sunatnya
Namun ada satu tawaran hebat dari Allah SWT pada malam itu. Iaitu tawaran pengampunanNya pada malam itu sangat lumayan namun terdapat dua golongan yang terkeluar dari tawaran berkenaan. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadith yang diperakui oleh ulama sebagai hadith yang paling sahih berkaitan dengan kelebihan malam Nisfu Sya’ban:
“Allah akan muncul (rahmat dan pengampunannya) kepada seluruh makhlukNya pada malam Nisfu Sya’ban dan mengampunkan seluruh makhlukNya kecuali orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang saling bermusuhan”[ HR Al-Tabrani ]
Kelebihan khas pada malam itu ialah tawaran pengampunan terbuka luas. Ibadat yang paling utama pada malam itu ialah membersihkan diri, keluarga dan masyarakat dari gejala-gejala syirik dan semua perkara yang mengarah kepada kesyirikan. Alangkah baiknya pada malam itu masyarakat diingatkan bentuk-bentuk fahaman yang membawa kepada pegangan menidakkan kuasa mutlak Allah SWT seperti fahaman yang menfokuskan manusia dan kehendaknya agar dipenuhi, melihat hukum-hakam agama sebagai penghalang kepada kebebasan mutlak individu, fahaman meletakkan aqal melepasi nas-nas syarak, menghalalkan dan mengiktiraf hubungan terlarang dan sebagainya. Ini adalah contoh-contoh menidakkan kuasa mutlak Allah dan mengecilkan had kuasa agama pada ruang lingkup yang terhad dan selebihnya diserahkan hak kuasanya ditentukan oleh makhlukNya
Ibadat yang paling utama pada malam itu ialah menamatkan permusuhan sesama saudara-saudara Islamnya. Jangan kita tersilap, hadir ke masjid beramai-ramai, membaca surah Yasin sampai tiga kali, berdoa selepas itu memohon keampunan namun masih menyimpan permusuhan sesama sendiri yang akan menghalang pengampunan Allah SWT. Dalam isu kelebihan malam berkenaan, Allah meletakkan sebaris orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan sebagai golongan yang terkeluar dari tawaran pengampunan Allah SWT
Alangkah indahnya pada malam itu umat Islam saling memaafkan di antara satu sama lain. Jika ini akan berlaku nasib umat Islam nescaya akan berubah, Ramadhan yang bakal menjelang akan dinikmati keberkesanannya dan satu Syawal akan dihadiahkan kepada umat ini kemenangan yang hakiki
ARTIKEL INI DIBAWAKAN UNTUK ANDA OLEH IRIJAL. JOM SERTAI IRIJAL DI :🎗 telegram.me/IRijalOfficial🎗 fb.com/IRijalOfficial🎗 instagram.com/IRijalOfficial🎗 twitter.com/IRijalOfficial🎗 www.mohdnoorshawal.com🎗 shopee.com.my/IRijalStore
اللهم صل على محمد وآل محمد
(Allahumma salli 'ala Muhammad wa ali Muhammad)سُبْحَانَ اللّهِ وَ بِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللّهِ الْعَظِيمِ
(SubhanAllahi wa biHamdihi, SubhanAllahil adzim)
سبحانك اللهم وبحمدك أشهد ان لا إله إلا أنت أستغفرك وآتوب إليك
(Subhanakallahumma wabihamdika asyhadu allaailaaha illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaika)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.mohdnoorshawal.com/2019/04/ada-apa-dengan-malam-nisfu-syaban.html