Ada 18 Lubang Di Tubuh Kapten Hardev Bukti Kekejaman Pkm
JARANG kita dengar kisah keperwiraan orang Sikh dalam menentang komunis di Malaysia. Tetapi seperti mana kaum-kaum lain, mereka juga sama-sama bangun menentang kekejaman orang-orang Chin Peng.
Salah seorang daripada mereka adalah Kapten Hardev Singh.
Pada pagi 11 April 1975, Kapten Hardev telah mempelawa rakannya, seorang juruterbang helikopter Nuri, Mejar Nur Ibrahim Sulaiman untuk bersarapan pagi dengannya di Kem 6 Briged, Sungai Petani, Kedah.
Kedua-dua mereka perlu bertolak ke Kem Gubir, bezanya Kapten Hardev akan menggunakan jalan darat manakala Mejar Nur Ibrahim akan menerbangkan helikopter itu. Setelah selesai bersarapan, mereka pun berpisah dengan team masing-masing.
Mejar Nur Ibrahim yang tiba lebih awal di kem tersebut kemudian mengisi minyak helikopternya.
Kira-kira pukul 11 pagi, dia terdengar bunyi tembakan dan di situlah dia diberitahu rombongan Kapten Hardev telah diserang hendap komunis tidak jauh dari kem tersebut.
Sebaik saja mendengar berita itu, Mejar Nur Ibrahim kemudian melompat masuk ke sebuah lagi helikopter Nuri yang ditugaskan untuk mengambil anggota yang terbunuh/ cedera dalam serang hendap berkenaan.
Memandangkan lokasi serang hendap agak sempit, mereka mengambil keputusan untuk mengambil mangsa-mangsa dengan hanya menggunakan tali (wincing).
Mejar Nur Ibrahim ketika itu membantu kuatermaster penerbangan menarik/ mengusung mangsa-mangsa ke dalam perut helikopter tersebut.
Namun alangkah hibanya beliau apabila salah satu mayat dalam pengusung itu adalah tak lain dan tak bukan, Kapten Hardev sendiri, sahabat yang baru beberapa jam tadi bersarapan pagi bersamanya!
Darah membasahi pakaian pegawai berketurunan Sikh itu. Difahamkan peluru pengganas komunis penuh ditubuhnya, terdapat 18 lubang kesemuanya!
Yang membanggakan, menurut cerita anggota tentera dalam rombongan tadi, Kapten Hardev masih lagi sempat mencabar pihak komunis walaupun tubuhnya ditembak berkali-kali oleh pengganas berkenaan.
16864731_10155038621278050_3673167967232166000_n
Paling memilukan, rupanya Kapten Hardev ketika itu baru 16 hari menyambut ulang tahun pertama perkahwinan dengan gadis kesayangannya.
Selamat jalan Kapten Hardev, kita semua terhutang budi dengan jasa dan pengorbanannya.
Namun di Kajang, siap ada upacara menyanjung pengganas komunis kelmarin dan kita pun tak buat apa-apa kerana kononnya itu majlis tertutup cuma.
Semalam pula ada majlis besar-besaran memperingati perjanjian damai PKM di Hat Yai yang menyaksikan ada di antara mereka dengan bangga memperagakan kembali pakaian komunis.
MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/12/04/ada-18-lubang-di-tubuh-kapten-hardev-bukti-kekejaman-pkm/