A R Badul Redha Namun Yakin Wujud Kelalaian Dalam Kematian Anaknya
Bapa kepada Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya iaitu pelakon & pelawak lagenda, A.R Badul menyifatkan bahawa dia redha dengan apa yang menimpa anaknya namun mengakui juga kecewa dengan kejadian tersebut. A.R Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 69, berkata, dia yakin wujud kelalaian sepanjang latihan sehingga mengakibatkan anaknya maut dalam kejadian berkenaan.
“Apa yang berlaku kepada arwah adalah dia tertembak ketika menjalankan latihan pagi tadi. Baju kalis peluru yang dipakainya tidak mampu menahan tembakan itu dan ia sangat menyedihkan,” katanya.
Menurut Badul, dia faham dengan tugas anggota komando yang berdepan risiko nyawa tetapi insiden kematian arwah yang berusia 36 tahun itu terjadi ketika dia sedang menjalani latihan. Beliau bagaimanapun enggan melulu membuat kesimpulan sebaliknya menanti maklumat penuh daripada pihak berkaitan.
“Saya sedih sebab saya merasakan kejadian ini berlaku akibat kelalaian. Mengenai tanggungjawab seorang askar kepada negara, saya faham. Mereka sering jatuh, patah dan cedera. Sekiranya meninggal dunia ketika berkhidmat untuk negara atau meleraikan penunjuk perasaan saya boleh terima"
BACA: Anak AR Badul Hantar Mesej Terakhir, Sebagai Tanda Perpisahan
Menurut A.R Badul, jenazah anaknya diuruskan sepenuhnya oleh pihak tentera dan diterbangkan ke semenanjung.
“Urusan jenazah diuruskan sepenuhnya oleh pihak tentera. Jenazah mungkin akan dikebumikan sama ada di Kuala Lumpur atau di Perak iaitu kampung halaman isterinya,” ulasnya lagi.
Mejar Mohd Zahir Armaya meninggal dunia pada jam 9:20 pagi tadi (4 September 2019) ketika melakukan latihan untuk persembahan. Allahyarham yang berusia 36 tahun meninggalkan seorang balu dan seorang anak termasuk dua anak daripada perkahwinan terdahulunya.
Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin. | OH! MEDIA
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/09/ar-badul-redha-namun-yakin-wujud.html