9 Ogos 1965 Terpisahnya Singapura Dari Malaysia
TERPISAHNYA MALAYSIA-SINGAPURA
Pada Hari Ini 9 Ogos 1965, selepas lebih dua tahun berada dalam Malaysia, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman mengumumkan di Parlimen mengenai keputusan kerajaan untuk memisahkan Singapura daripada Persekutuan Malaysia.
Dalam ucapannya, Tunku menghuraikan latar belakang yang menyebabkan beliau mengambil keputusan mengejut untuk memisahkan Singapura kerana tidak ada pilihan lain kecuali menyingkirkan Singapura yang membelakangkan segala keputusannya dengan Kerajaan Pusat.
“Kami telah mencuba sedaya upaya untuk mengelakkan pemisahan Singapura dari Malaysia tetapi kami tidak ada pilihan lagi kecuali menyingkirkannya,” ulas Tunku mengenai tindakan kontroversinya itu.
PERPISAHAN SINGAPURA DARI MALAYSIA
Pada 11 Ogos 1965, Tunku memaklumkan kepada Perdana Menteri British, Harold Wilson tentang pemisahan Singapura daripada Malaysia serta langkah-langkah yang diambil oleh Malaysia bagi memastikan Singapura tidak akan menjejaskan keselamatan Malaysia.
Keputusan nekad Tunku itu mengejutkan British kerana dibuat tanpa berunding terlebih dahulu dengan mereka seperti yang dipersetujui sebelum ini.
Tunku berkata, beliau sengaja tidak berunding dengan pihak British, Australia dan lain-lain kerana bimbang mereka mungkin menahannya daripada menyingkirkan Singapura.
Menurut Nik Anuar Nik Mahmud dalam buku Konfrantasi Malaysia-Indonesia (2000), sebenarnya hubungan antara Kuala Lumpur dengan Singapura tidak mesra sejak koloni itu menyertai Malaysia pada 16 September lagi.
Malah pimpinan Singapura telah bergeser dengan pimpinan Tanah Melayu ketika rundingan menggubal Perlembagaan Malaysia pada peringkat akhir lagi.
ANTARA PUNCA KERETAKAN
Melihat kepada sikap degil Singapura itu, Tunku pernah mengugut untuk membentuk Malaysia tanpa Singapura.
Keadaan itu hanya dapat diselamatkan dengan campur tangan pihak British. Tindakan Lee Kuan Yew mengkritik Tunku secara terbuka kerana bersetuju mengubah tarikh penubuhan Malaysia daripada 31 Ogos kepada 16 September 1963, turut menyinggung perasaan Tunku.
“Selain itu Kuan Yew juga membelakangkan Tunku apabila mengisytiharkan kemerdekaan Singapura secara unilateral pada 31 Ogos 1963.
“Pergeseran antara Tunku dengan Lee Kuan Yew memuncak selepas pilihan raya Singapura pada bulan September 1963. Pada pilihan raya itu semua calon UMNO-Perikatan Singapura kalah di tangan PAP” ( Nik Anuar Nik Mahmud 2000: 190).
Tunku terkejut kerana beliau menaruh harapan yang tinggi dengan kemasukan Singapura ke dalam Malaysia, maka orang Melayu yang menjadi minoriti di pulau itu akan terus menyokong UMNO malah menjadi pengikut setia yang lebih kuat.
Sebaliknya, dengan wajah muram Tunku telah melihat partinya di Singapura dihancurkan sama sekali oleh Kuan Yew.
UMNO Singapura menerima kekalahan yang memalukan itu dengan penuh emosional. Pada 27 September 1963, ahli UMNO Singapura membakar patung Kuan Yew.
Lily Zubaidah Rahim dalam bukunya, Dilema Singapura: Peminggiran Politik dan Pelajaran Masyarakat Melayu (2004) menyatakan, sepanjang tempoh penyatuan Singapura ke dalam Malaysia, Kuan Yew mencabar kedudukan dan hak istimewa berperlembagaan orang Melayu di Malaysia dengan mengatakan taraf pribumi orang Melayu tidak ada lebihnya jika dibandingkan dengan orang Cina, India dan masyarakat pendatang yang lain.
“Didorong sama ada oleh agenda politik yang menjurus untuk memajukan kepentingan politik PAP atau pun kerana memang betul-betul jahil tentang sejarah, budaya dan penduduk pribumi di rantau ini, Kuan Yew mengaitkan orang Melayu Malaysia daripada keturunan Indonesia sebagai pendatang yang sepatutnya setaraf dengan masyarakat pendatang yang lain” (Lily Zubaidah Rahim 2004: 20).
Indonesia pula menyambut baik Perpisahan Malaysia-Singapura dengan reaksi yang penuh gembira. Dalam propagandanya, Indonesia menekankan bahawa kepercayaannya selama ini bahawa Malaysia adalah projek neokolonialisme dan harapannya tidak lama lagi ia akan berkecai, seperti yang terjadi kepada Persekutuan Afrika Tengah dan Persekutuan Hindia Barat.
Menteri Luar Indonesia, Dr. Subandrio dalam ulasannya menyatakan, perpisahan itu membuktikan tohmahan Indonesia selama ini Malaysia adalah projek neokolonial, ternyata benar!
HIKMAH DAN KESIMPULAN
Bagi pemimpin Malaysia, pemisahan Singapura dan Malaysia tidak menjejaskan keutuhan Malaysia, sebaliknya mengukuhkan lagi kedudukannya serta melepaskan dirinya daripada bebanan politik yang terpaksa didukungnya.
Tun Abdul Razak pula menganggap kehadiran Singapura dalam Malaysia selama ini umpama ‘duri dalam daging’ yang lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikan yang diperolehinya. Malah penyingkiran Singapura suatu rahmat yang tersembunyi.
sumber: Pusat Maklumat Utusan
The post 9 Ogos 1965 : Terpisahnya Singapura dari Malaysia appeared first on Suara Viral Malaysia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suaraviral.org/9-ogos-1965-terpisahnya-singapura-dari-malaysia/