6 Maut Dalam Kebakaran Di Ipoh
6 Maut Dalam Kebakaran Di Ipoh. Inilah berita sedih yang melanda negara kita 11 Disember 2018 kira-kira jam 1.15 tengah hari. Daripada 6 yang maut dalam kebakaran ini 5 daripada mereka adalah remaja belasan tahun yang berkawan baik.
6 Maut Dalam Kebakaran Di Ipoh
Lima pekerja di sebuah premis perniagaan pengatur cara majlis di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju, di sini yang maut dalam kejadian letupan dan kebakaran premis berkenaan hari ini dipercayai rakan sekampung.
Kesemua mangsa terbabit yang berusia 16 hingga 19 tahun berasal dari Kampung Sri Aman, Menglembu, di sini dan dipercayai bekerja sambilan di premis berkenaan termasuk memasang khemah untuk majlis.
Mereka dikenali sebagai Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, Mohammad Nuraiman Abdul Rahman dan Mohamad Ekmal Izzuddin Mohd Kamari, masing-masing berusia 16 tahun manakala dua lagi ialah Ahmad Faizal Aminuddin, 17 dan Muhamad Azhar Shah Rosli, 19.
Dalam kejadian jam 1.54 tengah hari itu, majikan mereka dikenali sebagai P Thiagarajan, 40, turut dipercayai terkorban.
Keenam-enam mangsa berkenaan dilaporkan rentung dan polis memaklumkan identiti kesemua mangsa hanya boleh dikenal pasti dan disahkan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Aminuddin Tan, 50, bapa kepada Ahmad Faizal, berkata anak keempat daripada lima beradik itu ada memaklumkan tidak dapat menonton bola sepak (perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2018) malam ini kerana perlu bekerja.
“Kali terakhir saya jumpa anak saya pagi tadi kira-kira jam 8 pagi, dia tengok saya, saya tengok dia dengan pandangan kosong tetapi tidak bercakap apa-apa antara kami.
“Saya sepatutnya kerja tetapi sepanjang hari saya tidak bekerja kerana rasa tidak sedap hati.
“Pandangan terakhir anak saya berulang-kali bermain di fikiran,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.
Mohd Husni Kasman, 47, bapa kepada Mohammad Nor Ikram pula berkata, anaknya meminta wang sebelum keluar rumah untuk pergi bekerja pagi tadi.
“Dia minta RM5 pada saya untuk duit belanja ke tempat kerja tetapi saya agak terkilan kerana tidak mempunyai wang tukar kecil.
“Nasib baik maknya ada duit kecil dan berikan duit itu kepadanya,” katanya sambil sebak.
Seorang lagi bapa mangsa, Abdul Rahman Bahak, 45, berkata anak sulungnya, Mohammad Nuraiman menghantarnya ke tempat kerja kerana ingin meminjam motosikalnya pagi tadi.
“Dia memang mahu bekerja sambilan sebab mahu tolong saya dan maknya. Pagi tadi, ketika dia hantar saya ke tempat kerja, saya ingatkan dia supaya pulang awal namun tidak sangka dia terus ‘tidak pulang’,” katanya.
Mohd Kamari Talib, 52, bapa kepada Mohamad Ekmal Izzuddin pula berkata, anak keduanya daripada tiga beradik itu mengikut rakan sekampung untuk memasang khemah.
“Kami sempat bersarapan roti canai bersama sebelum anak saya itu keluar membonceng motosikal rakannya dan hanya memberitahu ingin memasang khemah.
“Saya tidak tahu dia bekerja kerana dia masih bersekolah dan tahun depan akan ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Dia ada beritahu ingin kumpul wang untuk ambil lesen motosikal selepas ulang tahun kelahirannya pada 29 November lalu di mana wang yang terkumpul sekarang sebanyak RM140,” katanya.
Sementara itu, Azizon Razlan, 43, ibu kepada Muhamad Azhar Shah pula berkata, anak keempat daripada 10 beradik itu sudah dua bulan bekerja.
“Semalam dia beritahu hari ini dia kerja dan ingin pinjam motosikal kakaknya serta tidak berkelakuan pelik.
“Dia memang seorang anak yang rajin dan sering membantu adik-adiknya serta paling rapat dengan adik bongsunya yang baru berusia empat tahun,” katanya. -SUMBER BH ONLINE-
The post 6 Maut Dalam Kebakaran Di Ipoh appeared first on Berita Viral Terkini.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://beritaviralterkini.com/6-maut-dalam-kebakaran-di-ipoh/