5g China Dan Rusia Bekerjasama Bangunkan Teknologi
China dan Rusia telah meningkatkan perkongsian mereka yang sememangnya rapat, ke tahap yang lebih dahsyat dengan keputusan untuk meningkatkan hubungan dua hala ke "perkongsian strategik penyelarasan di era baru" yang diumumkan oleh Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Rusia Vladimir Putin di Moscow.
Huawei, syarikat teknologi China yang dianggap sebagai ancaman keselamatan oleh Amerika Syarikat, telah menandatangani perjanjian dengan syarikat telekom Rusia, MTS, untuk membangunkan rangkaian 5G di negara itu bermula tahun 2020 depan.
Perjanjian itu ditandatangani dalam pertemuan antara pemimpin China, Xi Jinping dan presiden Rusia, Vladimir Putin di Moscow.
Menurut MTS, perjanjian itu akan menyaksikan "pembangunan teknologi 5G dan pelancaran perintis rangkaian generasi kelima pada 2019-2020".
Guo Ping, salah seorang pengerusi syarikat Huawei berkata, beliau "sangat gembira" dengan perjanjian itu "dalam bidang kepentingan strategik seperti 5G".
Pada mesyuarat di Moscow antara Putin dan Xi, pemimpin China itu menggelar rakan sejawatnya itu sebagai "kawan rapat", dengan menyatakan bahawa mereka telah bertemu hampir 30 kali dalam tempoh 6 tahun yang lalu dan lawatan itu adalah yang ke-9 oleh Xi ke Rusia sejak 2012.
"Kami akan menguatkan sokongan bersama kami mengenai isu-isu utama," kata Xi Jinping.
Sementara itu, hubungan Moscow dan Amerika Syarikat telah terkesan dengan mendadak disebabkan oleh krisis Ukraine, perang di Syria dan tuduhan campur tangan Kremlin dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2016, sementara China terlibat dalam perang perdagangan dengan Washington.
Xi juga berkata bahawa perlindungan dan pendekatan unilateral semakin meningkat dan dasar kekukuhan dan hegemonisme semakin mengambil alih.
Selepas bertemu dengan Xi Jinping, Vladimir Putin memberitahu bahawa kesepakatan kedua-dua negara mengenai isu global adalah di 'tahap yang belum pernah berlaku'.
Huawei telah mengalami kekacauan sejak Mei 2019, apabila pentadbiran Trump mengharamkan syarikat-syarikat AS daripada menjual peralatan berteknologi tinggi kepada Huawei atas syak wasangka ia mengintip untuk Beijing.
Pakar mengatakan keputusan AS, yang akan berkuatkuasa dalam masa 3 bulan, mengancam kelangsungan syarikat yang mana sangat bergantung pada cip AS untuk telefonnya.
Beberapa syarikat telah menjauhkan diri dari Huawei, termasuk Google, yang mana sistem Androidnya melengkapkan majoriti telefon pintar di dunia.
Penglibatan Huawei dalam rangkaian 5G Britain juga telah menyebabkan politik sensitif dan kerajaan Theresa May menegaskan tiada keputusan telah dibuat mengenai isu itu.
KRONOLOGI PERANG 5G AS-HUAWEI
Garis masa perang Amerika Syarikat-Huawei.
1 Dis 2018: Atas permintaan AS, Meng Wanzhou ditangkap oleh pihak berkuasa Kanada semasa persinggahan di Montreal. Permintaan itu dibuat berhubung dengan tuduhan bahawa Huawei melanggar sekatan ke atas Iran dengan menjual peralatan ke negara itu melalui sebuah syarikat.
6 Disember 2018: China menuntut pembebasan Meng, menyatakan bahawa dia tidak melanggar undang-undang AS atau Kanada.
8 - 9 Disember 2018: China memanggil duta-duta Kanada dan AS untuk bertemu dengan pegawai-pegawai mereka di mana mereka sekali lagi menuntut pembebasan Meng, memberi amaran akan kesan-kesan serius jika permintaan itu tidak dipenuhi.
10 Disember 2018: Dua orang rakyat Kanada ditahan di China dalam apa yang dipercayai sebagai satu tindak balas terhadap penahanan Meng.
11 Disember 2018: Meng dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM40 juta. Dia diwajibkan memakai peranti pemantau pada pergelangan kaki dan menyerahkan pasportnya. Presiden Trump mengatakan bahawa dia mungkin akan campur tangan jika ia akan membantu perang perdagangan yang sedang berlangsung.
16 Januari 2019: Bapa Meng, Ren Zhengfei yang juga pengasas dan CEO Huawei, memberitahu wartawan asing bahawa Huawei mematuhi undang-undang, termasuk sekatan eksport di mana sahaja ia beroperasi.
22 Januari 2019: China menuntut bahawa AS menarik balik waran tangkap ke atas Meng.
24 Januari 2019: Huawei mengumumkan bahawa ia akan melancarkan telefon pintar generasi kelima yang boleh dilipat di Kongres Dunia Mudah Alih di Barcelona.
28 Januari 2019: Jabatan Negeri AS membuka semula tuduhan terhadap Meng dan Huawei. Ia mendakwa bukan sahaja melanggar sekatan tetapi juga pencurian rahsia perdagangan.
29 Januari 2019: China mengatakan bahawa ia akan mempertahankan syarikatnya dan menggesa AS untuk menghentikan penganiayaan terhadap Huawei.
25 Februari 2019: Huawei melancarkan 5G Mate X baru. Trump tweet mengenai perang perdagangan dengan China dan pasaran menjadi tidak menentu.
Huawei: Kuasa besar yang tidak takut untuk bertarung
Meskipun provokasi yang telah berlaku, reaksi oleh kepimpinan Huawei terhadap tuduhan terhadapnya oleh AS memperlihatkan mereka sebagai sebuah syarikat yang tidak takut untuk bertempur.
Walaupun dengan anak perempuannya di bawah tahanan rumah dan menghadapi ekstradisi, pengasas Huawei Ren Zhengfei sangat tegas dalam kenyataan awamnya, memberitahu BBC:
"Amerika Syarikat tak akan mampu menghancurkan kami".
Dan walaupun Presiden Trump jelas tidak menyukai hakikat bahwa Huawei sedang menerajui perlumbaan 5G ini, dia juga mengakui bahawa syarikat-syarikat AS harus memenangi pertarungan ini melalui persaingan dan bukannya dengan sekatan.
Terlalu kuat untuk ditewaskan
Kebangkitan Huawei sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah sangat luar biasa. Mungkin apa yang sangat membimbangkan AS adalah hakikat pengaruh syarikat ini di Eropah semakin meluas, terutamanya melibatkan infrastruktur mudah alih.
Di sesetengah negara Eropah, Huawei menyumbang 50.8% daripada infrastruktur mudah alih sedia ada dan angka-angka ini akan terus meningkat apabila syarikat itu menyempurnakan 5G.
AS dengan jelas memahami betapa pentingnya perkara ini, terutamanya apabila hubungan antara Huawei dan kerajaan China kelihatan sangat rapat.
Apa yang sangat lucu dan ironinya adalah kerajaan AS mahu mengurangkan kuasa salah satu syarikat teknologi terbesar di China, sedangkan hubungan Donald Trump dengan syarikat teknologi terkemuka AS sendiri dan pengasasnya adalah dalam keadaan tegang.
Dalam perlumbaan 5G ini, Huawei telah menjadi satu kuasa yang terlalu penting dalam pembangunan teknologi 5G dan tak mungkin akan lenyap begitu sahaja walaupun apa sahaja serangan dilakukan oleh Amerika Syarikat.
CHINA BAKAL SEKAT FIRMA AMERIKA SYARIKAT
Selepas Amerika Syarikat menekan Huawei, kali ini ia giliran China yang akan mengeluarkan senarai hitam mengenai "syarikat dan individu asing yang tidak boleh dipercayai", membalas tindakan Amerika Syarikat yang menjadikan syarikat gergasi telekomunikasi Huawei sebagai sasaran dalam perang perdagangan antara kedua-dua negara ini.
Pengumuman itu dibuat sehari sebelum Beijing dijangka menaikkan tarif ke atas RM240 bilion dalam bentuk barangan Amerika Syarikat, yang ditutup seminggu bermula dengan peningkatan ancaman balas oleh China terhadap kerana Presiden Donald Trump menyenarai hitam Huawei.
Jabatan Perdagangan AS memasukkan Huawei dalam "senarai entiti" atas dasar keselamatan negara pada 16 Mei 2019, satu langkah yang menghalang akses gergasi China ini kepada komponen buatan AS yang diperlukan untuk peralatannya.
Jurucakap Kementerian, Gao Feng berkata senarai itu termasuk "perusahaan asing, organisasi atau individu yang tidak mematuhi peraturan pasaran, menyimpang daripada kontrak atau mengenakan sekatan atau menghentikan bekalan kepada perusahaan China untuk tujuan bukan komersil dan dengan serius merosakkan hak sah dan kepentingan perusahaan Cina".
Langkah-langkah terperinci terhadap firma yang tersenarai akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Pengumuman itu diraikan di media sosial China, di mana ia digambarkan oleh sesetengah pihak sebagai "menewaskan seseorang dalam permainan mereka sendiri."
Tindakan oleh China ini muncul bertujuan untuk menekan syarikat-syarikat asing untuk mengekalkan hubungan komersial dengan Huawei, manakala Washington dilaporkan juga mempertimbangkan untuk menambah firma pengawasan Cina ke dalam senarainya atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia.
Google, yang mana sistem operasi Androidnya sangat penting untuk telefon Huawei adalah antara syarikat yang telah mengumumkan bahawa mereka akan mematuhi perintah AS.
Salah satu rakan kongsi Huawei yang penting iaitu ARM Holdings, pereka semikonduktor British yang dimiliki oleh kumpulan Japan Softbank berkata, mereka mematuhi sekatan yang dikenakan AS.
"Beberapa entiti asing telah melanggar peraturan pasaran biasa dan semangat kontrak mereka" untuk memotong bekalan dan "mengambil tindakan diskriminasi lain terhadap syarikat-syarikat China yang merosakkan hak dan kepentingan sah mereka dan membahayakan keselamatan nasional dan kepentingan negara China," kata Gao Feng.
Ahli ekonomi APAC di IHS Markit, Rajiv Biswas, berkata keputusan China untuk membuat senarai hitam ini adalah "tindakan penalti untuk memberi isyarat bahawa China juga boleh menyasarkan firma AS".
Beliau berkata sekatan itu boleh menyerupai senarai entiti yang dikeluarkan oleh AS, yang menyekat penjualan teknologi oleh firma AS kepada syarikat dalam senarai.
Menurut Zhang Yansheng, ketua penyelidik di Pusat Pemikiran China Center for International Economic Exchange, senarai entiti China ini akan membantu melindungi rantaian bekalan global berasaskan peraturan.
"Pada masa lalu, transaksi komersial adalah berasaskan kontrak, tetapi kini mereka boleh diubah atas isu yang kononnya dikaitkan dengan keselamatan ," kata Zhang Yansheng.
Dalam hal ini, firma yang sangat merosakkan syarikat atau rantaian bekalan mungkin menghadapi hukuman atau sekatan.
Pegawai Di White House Minta Tangguh 2 Tahun Sekatan Keatas Huawei
Pejabat Pengurusan dan Belanjawan (OMB) di White House menerusi pengarah bertindak, Russel T. Vought telah meminta sekatan perdagangan yang dilaksanakan keatas Huawei ditangguhkan bagi tempoh sehingga 2 tahun lagi.
Memetik laporan daripada Wall Street Journal, permintaan penangguhan tersebut telah dihantar kepada Naib Presiden, Mike Pence serta sembilan ahli Congress yang lain.
Menurut jurucakap OMB, penangguhan itu adalah bertujuan untuk memastikan syarikat yang berurusan dengan kerajaan Amerika Syarikat atau menerima geran dan pinjaman persekutuan mempunyai masa untuk menamatkan hubungan perdagangan dengan Huawei serta syarikat China yang tersenarai dalam Akta Kebenaran Pertahanan Negara (NDAA).
Semua agensi kerajaan persekutuan akan dihalang dari menggunakan peralatan Huawei pada tahun ini, tetapi sekatan bagi kontraktor kerajaan persekutuan dan organisasi yang mendapat geran dari kerajaan akan ditangguh untuk jangka masa 2 tahun lagi.
Penangguhan itu juga dikatakan mungkin diminta untuk dianjak ke tempoh yang lebih lama iaitu 4 tahun.
Semoga memberi manfaat.
BACA INI JUGA:
Samsung Sudah Mulakan Kajian Internet 6G Ketika China-AS Masih Dalam Perang Perdagangan!14 Penjaga Rahsia Kunci Internet Yang Ramai Tidak Pernah Tahu
sumber: 1 | 2 | 3 | 4
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sentiasapanas.com/2019/06/teknologi-5g-china-dan-rusia-berkerjasama.html