5 Tindakan Jika Terjumpa Kad Pengenalan Orang Lain
Sekiranya kita terjumpa kad pengenalan orang lain atas kaunter, terjatuh atas jalan, atau macam-macam situasi lain, terdapat tindakan yang perlu kita lakukan menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kadang kala, situasi seperti ini memang selalu berlaku, dan kadang-kadang kita sendiri tidak pasti apa perlu dibuat.
Berikut diterangkan apakah langkah atau tindakan yang boleh diambil sekiranya kita berada dalam situasi berkenaan.
Apa Itu Kad Pengenalan?
Di Malaysia, setiap warganegara Malaysia wajib mendaftar dan mempunyai kad pengenalan sebagai identiti pengenalan diri.
Kad pengenalan di Malaysia dikenali sebagai MyKad merupakan kad pengenalan pintar untuk warganegara Malaysia yang diperkenalkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kad ini berfungsi sebagai dokumen identiti rasmi bagi individu berumur 12 tahun dan ke atas yang dilengkapi dengan cip yang menyimpan maklumat peribadi pemilik dan boleh digunakan untuk pelbagai aplikasi.
Akta utama yang mengawal kad pengenalan di Malaysia ialah Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78), yang memperuntukkan pendaftaran penduduk, pengeluaran MyKad, dan kesalahan berkaitan, serta menjadikan pengenalan diri wajib bagi warganegara Malaysia berumur 12 tahun ke atas.

Jenis Kad Pengenalan
JPN mengeluarkan 3 jenis Kad Pengenalan kepada orang awam iaitu:
MyKad
MyPR
MyKAS
i- MyKad
Pemegang Kad Pengenalan ini berstatus Warganegara Malaysia.
Kelayakan kepada seseorang yang mempunyai Sijil Kelahiran / Sijil Anak Angkat / Sijil Warganegara / Pengesahan Taraf Kewarganegaraan / Borang Warganegara / Lampiran A (JAKOA).
ii- MyPR
Pemegang Kad Pengenalan Pemastautin Tetap berstatus Bukan Warganegara.
Kelayakan berdasarkan permit masuk daripada Jabatan Imigresen Malaysia.
iii- MyKAS
Pemegang Kad Pengenalan Pemastautin Sementara berstatus Bukan Warganegara.
Dikeluarkan kepada seseorang yang dilahirkan di Malaysia tetapi taraf kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan dan tempoh sah laku adalah 5 tahun daripada tarikh kad dikeluarkan.

Terjumpa Kad Pengenalan Orang Lain
Jika kita terjumpa kad pengenalan orang lain, pihak JPN menggariskan beberapa tindakan yang boleh dibuat seperti:
1- SERAHKAN TERUS KE PEJABAT JPN TERDEKAT
Ini sangat membantu pihak JPN dalam menyemak, menghubungi dan merekodkan penyerahan kepada pemilik asal.
Lokasi Pejabat JPN boleh disemak menerusi pautan https://www.jpn.gov.my/my/hubungi-kami/direktori-cawangan.
2- JANGAN SIMPAN TERLALU LAMA
Kad Pengenalan ialah dokumen pengenalan RASMI NEGARA, ini bagi mengelakkan salah faham atau risiko keselamatan.
3- SERAHKAN KEPADA PIHAK BERKUASA (BALAI POLIS)
Jika tiada pejabat JPN berdekatan, orang awam boleh serahkannya di Balai Polis terdekat untuk proses seterusnya.
4- JANGAN AMBIL GAMBAR, KONGSI ATAU MUAT NAIK
Ini bagi elakkan risiko penyalahgunaan peribadi, melanggar privasi pemilik, dan boleh menyebabkan maklumat disalahguna.
5- SERAHKAN TANPA BUKA, TANGGAL ATAU MEROSAKKAN
Berikan dalam keadaan asal kad pengenalan supaya pihak JPN dapat menguruskannya mengikut prosedur.

Kesalahan Menyimpan Kad Pengenalan Orang Lain
Tindakan menyimpan kad pengenalan orang lain adalah merupakan sebuah kesalahan di dalam undang-undang.
Ini bermakna, memegang atau menyimpan kad pengenalan orang lain adalah satu kesalahan, kecuali bagi pegawai yang diberi kuasa di bawah Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Berkuasa Memegang Kad Pengenalan
Pegawai yang diberi kuasa memegang kad pengenalan adalah seperti:
Pegawai pendaftaran
Pegawai polis
Pegawai kastam
Anggota tentera (yang bertugas menjaga dan mengawas)
Pegawai awam (yang diberi kuasa oleh Ketua Pengarah)

Soalan Lazim
Apakah undang-undang yang menyatakan kesalahan memegang kad pengenalan orang lain? Kesalahan memegang kad pengenalan orang lain adalah di bawah Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Apakah hukuman kepada mereka yang menyimpan kad pengenalan orang lain? Individu tersebut boleh dipenjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Siapakah pegawai yang diberi kuasa untuk memegang atau menyimpan kad pengenalan orang lain? Pegawai yang diberi kuasa adalah seperti berikut:
– Pegawai pendaftaran
– Pegawai polis
– Pegawai kastam
– Anggota tentera (yang bertugas menjaga dan mengawas)
– Pegawai awam (yang diberi kuasa oleh Ketua Pengarah)
Info Lanjut
Info lanjut mengenai perkara ini, sila layari laman web JPN iaitu https://www.jpn.gov.my/.
Baca juga: Cara Guna Setel Untuk Subsidi RON95, Tak Payah Scan MyKad Lagi!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/terjumpa-kad-pengenalan/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=terjumpa-kad-pengenalan