5 Cara Allah Swt Memakbulkan Doa
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمدالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Bagaimanakah cara Allah memakbulkan doa hamba-hambanya? Ini memerlukan penjelasan yang tersirat dan maknawi.
Sesungguhnya akal kita yang terbatas tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang maha luas. Fahaman kita tentang makbulnya sesuatu doa mungkin hanya mampu menyingkap selapis daripada kenyataan itu, tetapi di sisi Allah punyai makna dan tafsiran yang berlapis-lapis.
Untuk menyingkap rahsia itulah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah seorang yang berdoa kepada Allah dengan doa kecuali Allah akan memberikan kepadanya, sama ada dengan dikabulkan segera di dunia lagi. Atau disimpankan untuknya kebaikan di akhirat atau ditutupkan (kifarat) dosanya setakat doanya selama dia tidak doakan unsur-unsur dosa, memutuskan silaturrahim atau mohon disegerakan. Maka sahabat berkata: 'Ya Rasulullah bagaimana doa minta segera itu?’ Baginda berkata: ‘Seseorang itu berdoa, aku berdoa Tuhanku, maka perkenanlah segera!" (Riwayat al-Tirmizi)
Melalui hadis ini para ulama telah merumuskan bahawa doa itu dikabulkan menerusi pelbagai kaedah dan keadaan. Antaranya termasuk :
1- Doa itu dikabulkan serta-merta
Kebanyakan doa yang diajukan oleh para Rasul dan Nabi dikabulkan serta-merta. Begitu juga doa orang yang benar-benar soleh di sisi-Nya. Seperti Ibn Abbas ketika meminta hujan semasa umat Islam dilanda kemarau yang dahsyat. Belum pun sempat beliau meletakkan tangannya ke bawah, hujan telah turun mencurah-curah.
2- Dikabulkan pada waktu lain
Sering juga sesuatu doa walaupun baik, dan datang daripada orang yang baik, pada waktu yang baik. tetapi Allah tangguhkan ke waktu lain. Hal ini kerana Allah sayangkan hamba-nya itu. Allah sengaja berbuat demikian bagi mengujinya sehingga seorang hamba itu bersedia untuk menerima nikmat-nikmatNya.
Misalnya, Allah kurniakan kekuasaan setelah ada dalam hati seseorang ada rasa tawaduk dan sifat adil, supaya dia boleh menjadi pemerintah yang baik apabila sudah berkuasa.
3- Menghindarkan bahaya
Doa kita kadang-kadang dikabulkan Allah dengan dihindarkan daripada bahaya yang mungkin datang. Kita tidak tahu apa bahaya yang ada di hadapan, lalu Allah datangkan halangan. Boleh jadi kita akan ditimpa penyakit yang kronik, mengalami kemalangan jalan raya, difitnah atau sebagainya. Namun dengan doa yang kita panjatkan kepada Allah, Allah SWT selamatkan kita sebagai ganti apa yang didoakan.
4- Allah berikan sesuatu yang lebih baik di akhirat
Hidup di dunia cuma sementara. Akhirat itu yang lebih baik dan lebih kekal. Beruntunglah jika kita mendapat sesuatu kurnia di akhirat berbanding kurnia di dunia ini. Kadang-kadang Allah menahan kekayaan yang kita pinta di dunia kerana Allah hendak memberikan kita kekayaan di akhirat. Kekayaan di akhirat bererti syurga.
Menyedari hakikat ini, seharusnya kita tidak akan jemu berdoa dan tidak akan berputus asa hanya kerana doa kita belum ataupun tidak dikabulkan di dunia. Kita tahu doa itu akan menjadi 'saham akhirat’.
5- Dijadikan kifarat kepada dosa-dosa
Manusia sentiasa berdosa kepada Allah sama ada yang disengajakan atau tidak disengajakan. Dosa adalah pendinding untuk kita mendapat bantuan, keampunan dan kasih sayang Allah. Kita mengharapkan dosa itu diampunkan dengan taubat. Dan untuk itu kita diwajibkan untuk bertaubat atas dosa-dosa yang kita sedari.
Namun, apakah jaminan taubat kita telah diterima sekalipun telah menempuh syarat-syaratnya? Dan bagaimana pula dosa yang kita lakukan tanpa kita sedari? Mana mungkin kita bertaubat atas dosa-dosa yang kita rasa kita tidak melakukannya? Itu lebih sukar diatasi.
Maka di sinilah peranan doa-doa yang kita panjatkan kepada Allah, doa-doa itu menjadi sebab untuk dosa-dosa kita itu diampunkan walaupun bukan itu yang kita pohonkan daripada Allah. Orang yang berdoa kepada Allah, sentiasa disayangi-Nya. Tanda sayang Allah kepadanya ialah mengampunkan dosa-dosa orang itu walaupun dia tidak meminta ampun.
Inilah kehebatan dan kebesaran sifat Allah; al-Afu (Yang Maha Pemaaf ) dan al-Ghaffar (Yang Maha Mengampuni) yang salah satunya ialah Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya walaupun hamba yang berdoa itu tidak meminta ampun
Dapatlah kita simpulkan disini, tidak kiralah siapa pun kita, dalam keadaan apa pun kita, berdoa lah, jangan sesekali kita biarkan seharian kita berlalu tanpa berdoa kepadaNya... Sedangkan dalam solat seharian kita juga mengandungi doa-doa yang disusun dengan pengetahuan Yang Maha Esa melalui Nabi SAW yang diajarkan kepada kita. Semoga bermanfaat...
ARTIKEL INI DIBAWAKAN UNTUK ANDA OLEH IRIJAL. JOM SERTAI IRIJAL DI :🎗 telegram.me/IRijalOfficial🎗 fb.com/IRijalOfficial🎗 instagram.com/IRijalOfficial🎗 twitter.com/IRijalOfficial🎗 mohdnoorshawals.com🎗 shopee.com.my/IRijalStore
اللهم صل على محمد وآل محمد
(Allahumma salli 'ala Muhammad wa ali Muhammad)سُبْحَانَ اللّهِ وَ بِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللّهِ الْعَظِيمِ
(SubhanAllahi wa biHamdihi, SubhanAllahil adzim)
سبحانك اللهم وبحمدك أشهد ان لا إله إلا أنت أستغفرك وآتوب إليك
(Subhanakallahumma wabihamdika asyhadu allaailaaha illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaika)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.mohdnoorshawal.com/2018/11/5-cara-allah-swt-memakbulkan-doa.html