5 Bahaya Vape Yang Tidak Diketahui Ramai
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, budaya vape semakin meningkat naik sehinggakan golongan muda termasuk wanita tanpa segan silu vape di hadapan khalayak ramai kerana menyangka menghisap rokok elektronik itu tidaklah bahaya.
Malah, industri vape terus berkembang saban tahun dengan menjana berbilion ringgit.
Tabiat vape asalnya wujud kononnya sebagai alternatif lebih baik kepada merokok namun adakah dakwaan ini sebenarnya betul?
Kali ini, mari lihat beberapa kesan buruk dan bahaya vape kepada manusia.
1. Vape tidak 100% selamat
Antara dakwaan popular berkaitan vape adalah ianya 100% selamat berbanding merokok – dakwaan ini ternyata tidak tepat dan hanyalah helah untuk menggalakkan orang ramai membeli produk berkaitan vape.
Vape memanaskan nikotin (diekstrak daripada tembakau), perasa dan bahan kimia lain untuk menghasilkan aerosol yang anda sedut.
Rokok tembakau biasa mengandungi 7,000 bahan kimia, kebanyakannya beracun dan walaupun kita tidak tahu dengan tepat apa bahan kimia dalam vape itu tidak bermakna ianya selamat.
Selain nikotin, cecair vape biasanya mengandungi gliserol (gliserin sayuran) dan propylene glycol (PG), dan bahan kimia yang digunakan untuk perasa.
Walaupun bahan-bahan ini dianggap selamat untuk digunakan dalam kosmetik dan makanan, risiko jangka panjang untuk menyedut bahan ini tidak diketahui dan terus dikaji.
Pada Februari 2020, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat mengesahkan 2,807 kes kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan e-rokok atau vape dan 68 kematian disebabkan oleh keadaan itu.
Artikel berkaitan: 13 Bahaya Merokok Pada Tubuh Badan
2. Kesan buruk pada jantung dan paru-paru
Nikotin adalah bahan utama dalam rokok biasa dan rokok elektronik dan ia menyebabkan ketagihan.
Nikotin menyebabkan anda ketagih terhadapnya dan mengalami gejala penarikan diri jika anda mengabaikan keinginan tersebut.
Nikotin adalah bahan toksik, ia meningkatkan tekanan darah anda dan memacu adrenalin anda yang meningkatkan kadar denyutan jantung anda dan kemungkinan mendapat serangan jantung.
KKM juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa banyak kes berkaitan rokok elektronik (Evali) telah dikesan oleh pihaknya seperti yang diterbitkan oleh akhbar Harian Metro ”Vape tidak selamat, 17 kes Evali dikesan – KKM”
3. Menggalakkan anak-anak bawah umur menghisap vape
Di awal kemunculan vape, ianya dilihat sebagai sebuah trend sehinggakan ramai anak muda tanpa segan silu menghisap vape di khalayak ramai.
Malah, ramai yang tidak pernah langsung menghisap rokok terus menghisap vape kerana mereka merasakan ianya langsung tidak mempunyai kesan buruk dan bahaya terhadap tubuh badan mereka.
Lebih malang lagi, segelintir daripada mereka adalah kanak-kanak bawah umur yang merasakan mereka tidak tertakluk kepada undang-undang seperti mana pengharaman rokok bagi individu di bawah umur.
Kini dengan undang-undang yang diperketatkan, keadaan lebih terkawal.
4. Menyebabkan ketagihan
Kedua-dua rokok elektronik dan rokok biasa mengandungi nikotin, yang mana kajian mengatakan ketagihan terhadapnya sama seperti ketagihan terhadap heroin dan kokain.
Lebih buruk lagi, setiap pengeluar cecair vape bebas menentukan kadar peratusan nikotin yang lebih terdapat dalam produk mereka di mana segelintir pengeluar didapati meletakkan nikotin yang lebih banyak dalam cecair vape mereka.
Dengan ketagihan yang disebabkan oleh nikotin ini, maka tabiat vape bukanlah cara yang berkesan untuk berhenti merokok kerana pengguna akan ketagih pula menghisp vape.
5. “Gateway” memulakan tabiat merokok
Menurut kajian, tabiat hisap vape juga merupakan satu ”gateway” untuk golongan kanak-kanak memulakan tabiat menghisap rokok.
Apabila mereka menyangka vape itu tidak bahaya, lama-kelamaan akan timbul keingin pula untuk menghisap rokok. (Sumber: JKN Perlis).
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/bahaya-vape/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=bahaya-vape