40 Tahun Hidu Bau Najis Babi Di Tasek Gelugor
KIRA-kira 1,000 penduduk di beberapa kampung berhampiran di Sungai Kereh dekat Tasek Gelugor terpaksa menghidu bau busuk najis babi dari ladang ternakan di situ.
Masalah yang berlarutan hampir 40 tahun itu masih tidak dapat diselesaikan walaupun kerajaan negeri sudah memperkenalkan Enakmen Penternakan Babi 2016.
Penduduk, Mohd Fiqree Zainuddin, 33, berkata dia yang tinggal berdekatan sungai itu bagaikan hilang kata-kata setiap kali berbicara mengenai masalah pencemaran yang berlaku.
"Sudah ramai penduduk kampung meluahkan penderitaan yang dialami dan melakukan pelbagai aduan dari peringkat bawah hingga atasan tetapi tetap sama hingga kami sudah penat serta lali kerana tiada sebarang tindakan diambil.
"Saya melihat lebih baik tutup saja punca air yang mengalirkan najis babi untuk membasmi pencemaran bau tetapi sampai sekarang tiada sebarang tindakan dilakukan," katanya ketika ditemui di Kampung Tok Bedu, semalam.
Tinjauan mendapati pencemaran Sungai Kereh berpunca daripada pelepasan najis babi dari ladang ternakan dekat Kampung Selamat.
Memburukkan keadaan, kawasan itu juga sering terjejas dengan banjir mengakibatkan kesan besar kepada Kampung Pokok Machang, Kampung Lubuk Meriam, Kampung Tonsun, Kampung Lahar Yooi, Kampung Sungai Korok dan Kampung Seberang Tok Dol.
Difahamkan, terdapat 74 kandang membabitkan 100,000 babi di kawasan penternakan berkenaan.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penternak Babi Pulau Pinang, Wong Soon Ping berkata, isu pencemaran itu sudah lama berlaku dan dia sering mendapat aduan daripada penduduk.
"Saya ambil maklum aduan penduduk dan berusaha mencari jalan penyelesaian sehingga kerajaan negeri memperkenalkan Enakmen Penternakan Babi 2016 bagi menjadikan sistem penternakan secara tradisional digantikan kepada sistem moden.
"Saya menyahut seruan itu kerana tidak mahu mementingkan diri. Ini kerana jika penternak babi tidak ikut undang-undang sampai bila pun masalah pencemaran ini tidak akan selesai," katanya.
Katanya, dia menyeru semua penternak babi tradisional mengubah kepada sistem moden sebelum undang-undang dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2022.
"Jangan bagi penduduk kampung marah dengan menjadi penternak babi dan menjaga perasaan orang lain," katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) memandang serius pencemaran yang berlaku pada sungai berkenaan hingga kerajaan negeri meluluskan enakmen berkenaan.
"Enakmen Penternakan Babi akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2022 yang mana apabila tiba saja tarikh itu maka tiada lagi sistem penternakan babi secara terbuka dibenarkan.
"Pada masa ini, penternak diberi moratorium dan dikehendaki mengemukakan pelan kandang babi tertutup sebelum 31 Disember 2020 selain penternak juga diberi tempoh membina ladang tertutup sebelum 31 Disember 2021," katanya.
#Metro
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.penangkini.com/2020/08/40-tahun-hidu-bau-najis-babi-di-tasek.html