4 Evolusi Wang Kertas Video
Kuala Lumpur: Lakaran wajah Hang Tuah, lukisan harimau, gajah serta haiwan yang berkait rapat dengan Tanah Melayu ketika itu pernah dicadangkan sebagai wang kertas contoh sebelum pengenalan wang kertas sebenar.
Kira-kira 15 wang kertas contoh yang memaparkan pelbagai rekaan serta ilustrasi pernah dicadangkan kepada pihak kerajaan sebelum pengenalan kepada wang kertas yang diguna pakai hari ini.
Kurator Galeri Numismatik dan Galeri Bank Negara Malaysia (BNM), Muzium dan Galeri Seni BNM, Wan Muhammad Danial Wan Omar berkata, ilustrasi wajah Hang Tuah antara wang kertas contoh yang pernah dicadangkan.
“Ilustrasi itu hanyalah satu imej rekaan cadangan pencetak dan ini termasuk lukisan haiwan yang berkait rapat dengan sejarah Tanah Melayu ketika itu.
“Bagaimanapun, semua cadangan wang kertas contoh itu tidak diterima dan akhirnya sebagai penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong yang pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad dipilih,” katanya ketika ditemui, semalam.
Wan Muhammad Danial berkata, ilustrasi wajah Hang Tuah itu dicadangkan oleh pencetak Wilkinson & Co Ltd, England manakala lukisan harimau belang dicadangkan oleh Thomas De La Rue & Company Limited.
Beliau berkata, wang kertas di negara ini sudah melalui empat siri evolusi bermula pada 1967 sehingga kini yang menampilkan pelbagai tema di dalam wang kertas.
“Bagi siri wang kertas pertama iaitu pada 1967 hingga 1982, wang kertas negara menampilkan tema corak geometri yang ketika itu menjadi amalan di peringkat global.
“Siri kedua pula pada 1982 hingga 1996 dengan ciri artifak kebudayaan dan tema ini menampilkan elemen budaya serta kemajuan seni bina yang melambangkan identiti negara seperti bangunan Parlimen dan Tugu Negara.
“Wang kertas mengalami evolusi untuk siri ketiga pada 1996 hingga 2011 dan ketika itu tema yang dipilih adalah Wawasan 2020 menjadi sumber inspirasi yang digagaskan oleh kerajaan bagi mencapai status negara maju,” katanya.
Menurutnya, siri keempat yang merangkumi tempoh 2012 hingga kini pula menampilkan ciri keunikan negara dalam mempromosikan keunikan flora serta fauna di Malaysia.
Katanya, setiap penghasilan wang kertas baharu mempunyai beberapa kriteria yang sentiasa dititikberatkan iaitu aspek keselamatan terkini bagi mengelakkan pemalsuan dan ia mesti mudah dikenali oleh orang ramai termasuk orang cacat penglihatan.
“Untuk tujuan reka bentuk, BNM akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan seperti Kementerian Kewangan, Persatuan Orang Buta Malaysia, Kementerian Pelancongan, Jawatankuasa Penasihat Wang Kertas dan Duit Syiling serta syarikat percetakan wang,” katanya.
Sumber : Harian Metro
The post 4 evolusi wang kertas [Video] appeared first on MYKMU.NET.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/10/03/4-evolusi-wang-kertas-video/