36 Pelancong Asing Di Pulau Kapas Menjalani Saringan Kesihatan
   Ahmad Rabiul Zulkifli 

Seramai  36 pelancong asing termasuk empat kanak-kanak dari Jerman, Sepanyol,  Itali, Belgium, Sweden dan Denmark menjalani ujian saringan kesihatan  untuk mencegah penularan wabak Covid 19 di Pulau Kapas. -Foto  NSTP/Ghazali Kori  MARANG:  Seramai 36 pelancong asing termasuk empat kanak-kanak dari Jerman,  Sepanyol, Itali, Belgium, Sweden dan Demark yang berada di Pulau Kapas  menjalani saringan kesihatan, semalam.
Pengerusi  Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman, berkata
keseluruhan pelancong asing yang berada di semua pulau di Terengganu  seramai 71 orang dan 36 daripadanya berada di Pulau Kapas.
“Mereka berada di pulau sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.
“Apabila  PKP bermula pada 18 Mac lalu, sebahagian besar pelancong asing yang  sepatutnya pulang pada hari berikutanya tidak dapat pulang ke negara  asal kerana pelbagai alasan dan sekatan.
“Tidak kurang juga  pelancong yang mengambil keputusan untuk terus menetap di pulau sehingga  PKP berakhir kerana berasa lebih selamat berbanding pulang ke negara  masing-masing,” katanya ketika ditemui ketika membuat lawatan ke Pulau  Kapas, semalam.
Yang turut hadir, Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad  Faisal Tun Abdul Razak dan Ketua Polis Daerah Marang, Deputi  Superintendan Mohd Zain Mat Dris.
Ariffin berkata, saringan  kesihatan dijalankan secara berkala ke atas semua pelancong asing  sepanjang PKP untuk memastikan mereka bebas daripada segala penyakit  termasuk COVID-19.
“Kami tidak menghalang mereka untuk pulang ke negara asal sekiranya mereka boleh berbuat demikian.
“Bagaimanapun,  untuk pulang mereka perlu berhubung dengan kedutaan negara  masing-masing dan menguruskan tiket penerbangan pulang.
“Kerajaan  negeri akan membantu daripada segi pengangkutan ke pejabat kedutaan  negara mereka di Kuala Lumpur atau terus ke Lapangan Terbang  Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.
Tambahnya,  sehingga kini enam pelancong dari Jerman akan ke pulang ke Jerman dalam  tempoh terdekat dan ia diuruskan kerajaan negeri bersama Kedutaan Jerman  di Kuala Lumpur.
“Empat daripadanya akan bertolak pulang  pada Selasa ini dan kos pengangkutan ke KLIA itu ditanggung sepenuhnya  kerajaan negeri,” katanya.
Menurutnya, segala kos  penginapan dan makan minum selama berada di pulau ditanggung pelancong  sendiri selain perbincangan bersama dengan tempat penginapan  masing-masing.
“Sebahagiannya ada yang terpaksa tinggal di  rumah penginapan biasa yang lebih murah dan sebahagiannya kekal di hotel  mewah bergantung kepada kemampuan masing-masing.
“Sehingga  kini semua pelancong asing yang berada di Pulau Perhentian, Pulau  Redang dan Pulau Tenggol bebas daripada COVID-19 dan berada dalam  keadaan baik,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/04/36-pelancong-asing-di-pulau-kapas.html