Strategi Kemajuan Sistem Kesihatan Malaysia Terbina Selama Bertahun Tahun Shahril
PADA waktu sama Presiden Amerika Syarikat dikritik kerana menghentikan dana kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia meneruskan kesinambungan reputasi sebagai negara yang sentiasa bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa ke arah memajukan sistem kesihatannya.
Krisis wabak COVID-19 merupakan ujian besar kepada sistem kesihatan mana-mana negara.
Sebuah negara yang tidak bersedia, yang tidak melabur dalam memajukan sistem kesihatan (bukan hanya soal kualiti, malah capaian atau akses kepada semua), negara yang tidak jalin kerjasama bertahun-tahun lama dengan negara lain, akan terkesan dengan cukup cepat apabila wabak seperti COVID-19 datang mendadak.
Justeru, apabila berita hari ini melaporkan pengiktirafan saluran TV negara China, CGTN, terhadap Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah sebagai antara hanya tiga nama pakar kesihatan tersohor dunia khususnya dalam kendalian krisis Covid-19, kita wajar berbangga.
Tolak tepi soal sama ada pengiktirafan ini adalah kerana CGTN/China mahu menyindir Donald Trump yang dilihat tidak sebulu dengan Dr. Anthony Fauci (seorang lagi yang diiktiraf). Itu bukan tajuknya untuk kita.
Tajuknya, kita berbangga bukan hanya kerana ada penjawat awam yang diangkat statusnya di mata dunia. Bukan hanya kerana ia pengiktirafan kepada Kementerian Kesihatan dan negara keseluruhannya, seperti disebut Dr. Noor Hisham sendiri.
Malah, kita turut berbangga kerana ia merupakan satu lagi bukti bahawa strategi pembangunan sektor kesihatan Malaysia yang terbina berpuluh tahun semenjak kemerdekaan, adalah antara yang terbaik di dunia.
Kenapa?
Dari satu sudut, Malaysia mungkin tidak segagah Donald Trump dan Amerika Syarikat yang merupakan ekonomi terbesar dunia. Tetapi kita tetap menyumbang kepada pembangunan kesihatan serantau dan dunia.
Contohnya,
1) WHO pada tahun 2017 melaporkan puluhan mesyuarat teknikal WHO yang dibuat dan disokong oleh Kerajaan Malaysia pada 2009-2015, antara lain membincangkan kawalan penularan penyakit seperti chikungunya, denggi mahupun isu lain berhubung pengurusan kesihatan awam.
2) Malaysia membantu WHO dalam respon Taufan Haiyan di Filipina pada 2013 dan juga dalam respon wabak Ebola.
3) Malaysia menyumbang dana dan kepakaran dalam penganjuran sidang Jawatankuasa Serantau Pasifik Barat WHO tahun 2010, Forum Alam Sekitar dan Kesihatan tahun 2013.
4) Pusat Perkhidmatan Global WHO (yang mengurus segala macam soal perolehan, kewangan, IT dan operasi WHO) terletak di Cyberjaya bermula 2008.
5) Terkini, Malaysia terbabit dalam ujian anti-viral untuk COVID-19.
Apabila Malaysia dilihat aktif menyumbang dalam arena antarabangsa, di samping kemajuan hakiki seluruh sistem kesihatan, maka kita lebih mudah mendapat pengiktirafan dan lebih penting, kerjasama dan bantuan, dari negara lain.
Baik dari bantuan pakaian perlindungan diri, bekalan perubatan, mahupun kita harap kelak, kemudahan vaksin yang segera, itulah hasil suatu strategi kesihatan menyeluruh – merangkumi pelaburan yang mantap setiap tahun, diplomasi yang matang dan anjal, mahupun kerjasama dalam sektor teknologi merentasi negara.
Apa yang kita saksikan hari ini tidak datang secara tiba-tiba, tetapi adalah hasil rencana dan pelaksanaan bertahun-tahun oleh Kerajaan dan semua pemegang taruh terbabit – yakni pendekatan yang tidak menyombong, menyendiri ataupun mengambil jalan populis domestik untuk bergaduh dengan semua orang lain.
Benar, masih jauh lagi perjalanan kita sebagai sebuah negara.
Benar, barisan hadapan kita masih berjuang dalam keadaan yang barangkali tidak sempurna.
Dalam perang melawan COVID-19, kita belum menang. Masih banyak yang perlu diperbaiki. Tetapi tidak salah kiranya untuk kita bersyukur dan berbangga pada nafas yang sama.
Negara dan dunia suram lebih sebulan – bila tiba berita positif, kita renung dan raikan berpada-pada. – UMNO ONLINE
Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
16 April 2020
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/04/17/strategi-kemajuan-sistem-kesihatan-malaysia-terbina-selama-bertahun-tahun-shahril/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=strategi-kemajuan-sistem-kesihatan-ma