3 Aktivis Dikompaun Rm2 000 Sertai Bantahan Bendera Hitam
  B Nantha Kumar  
Tiga aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat dikenakan kompaun RM2,000 susulan menyertai bantahan 'flash mob' di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam.
SSR  berkata, Mohammad Alshatri Abdullah, Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar dan  Muhammad Nur Taufiq Azhar dikenakan kompaun selepas kira-kira tiga jam  memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Kompaun  dikeluarkan atas kesalahan mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan  Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam  Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang melarang  perhimpunan.
Mohamad Alshatri ketika dihubungi mengesahkan kompaun tersebut.
Dia juga berkata pihaknya sedang menimbang sama ada untuk mencabar kompaun tersebut di mahkamah atau tidak.
"Kami  juga merasakan pengeluaran kompaun sejurus selepas dipanggil beri  keterangan pada polis menunjukkan dua darjat antara rakyat biasa dan  para pemimpin politik, yang mana siasatan dijalankan terlebih dulu  sebelum kompaun dikeluarkan," katanya. 
Katanya lagi, pihaknya  akan sentiasa sedia bekerjasama dengan polis tetapi berharap tiada  "perbezaan prosedur operasi standard (SOP)" antara rakyat dan ahli  politik.
"Kami akan umumkan langkah seterusnya dalam masa terdekat," katanya lagi.
Himpunan semalam diadakan bagi menyuarakan bantahan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan gagal menangani wabak Covid-19.

Himpunan  tersebut juga membangkitkan tiga tuntutan, iaitu agar Muhyiddin Yassin  meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, sidang Parlimen akan  diadakan secara penuh dan moratorium diperluaskan kepada semua.
Sementara  itu, Parti Ikatan Demokratik (Muda) dalam kenyataan menyifatkan kompaun  tersebut sebagai amalan dua darjat dalam penguatkuasaan SOP.
"Peserta protes #KeluardanLawan mematuhi SOP kesihatan dan bersuara untuk rakyat terhadap kerajaan yang gagal.
"Jika  mahu hukum kesalahan SOP, biarlah adil, saksama dan tidak berbeza-beza  antara rakyat dan menteri," kata Muda, sambil membangkitkan masa yang  diambil sebelum Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dikenakan kompaun kerana melanggar SOP.
Dalam  pada itu, SSR berkata kompaun yang dikenakan itu tidak akan  menghentikan pihaknya daripada mengadakan protes pada masa akan datang.
"Kami  juga masih berpegang teguh kepada tiga tuntutan terhadap kerajaan PN,  iaitu agar Muhyiddin letak jawatan selaku perdana menteri, sidang  parlimen penuh diadakan serta moratorium automatik untuk semua,"  katanya.
NGO Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) pula menegaskan rakyat  tetap tetap ada hak untuk bebas bersuara dan menyertai himpunan aman,  walaupun di tengah-tengah wabak.
Pengarah Eksekutif Suaram Sevan  Doraisamy berkata, penularan Covid-19 terus meningkat walaupun dengan  pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dan penguatkuasaan darurat.
Pada  masa sama, katanya, tindakan terhadap mereka yang bersuara terus  meningkat, terutama menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan  'ordinan berita palsu' (Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021).
"Dalam konteks politik inilah SSR menganjurkan flash mob semalam. 
"Suaram  sekali lagi menyuarakan sokongan kepada SSR dan berpendirian kompaun  yang dikeluarkan adalah satu bentuk intimidasi yang jelas bertentangan  dengan prinsip kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman yang  termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/3-aktivis-dikompaun-rm2000-sertai.html