18 Penguatkuasa Ditahan Seludup Pati

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan 18 anggota penguatkuasa termasuk  seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain anggota  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam sindiket jenayah  terancang penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri ini,  sejak 2017.
Ketua Polis Johor,  Datuk Ayob Khan Mydin  Pitchay, berkata penahanan 18 anggota penguatkuasa itu susulan tangkapan  40 suspek sindiket penyeludupan PATI dalam operasi pada 4 Jun lalu.
"Hasil  maklumat yang diperolehi itu, Jabatan Siasatan Jenayah Johor (JSJJ)  melancarkan operasi susulan pada Isnin hingga awal pagi tadi dan berjaya  menahan 18 anggota penguatkuasa termasuk seorang pegawai kanan polis  negeri ini.
"Kesemua suspek membabitkan pegawai kanan polis  berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang bertugas di sebuah Ibu  Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini, seorang anggota pangkat rendah  Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi, dua anggota pangkat rendah bertugas di  Bukit Aman dan sembilan anggota pangkat rendah bertugas di IPD Kota  Tinggi.
"Polis Johor turut menahan dua pegawai ATM dan tiga anggota ATM lain-lain pangkat,'katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor,  di sini,  hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.
Mengulas  lanjut, Ayob Khan berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 24  hingga 41 tahun dan akan disiasat di bawah Seksyen 130V hingga Seksyen  130ZB BAB VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan  Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.
Beliau  berkata, hasil siasatan awal mendapati 18 penguatkuasa berkenaan  bersengkongkol dengan sindiket penyeludupan PATI dalam menyalurkan  maklumat termasuk operasi yang dijalankan pihak berkuasa negara ini  sekali gus menjadi dalang kebocoran maklumat dalaman.
"Suspek  penguatkuasa ini dipercayai menerima imbuhan sangat lumayan iaitu  sehingga RM10,000 setiap transaksi penyeludupan PATI malah turut dikesan  terbabit dalam penyeludupan dadah.
"Hasil siasatan  mendapati bayaran dibuat dalam bentuk tunai bagi menghilangkan jejak  wang jika ia dilakukan menerusi transaksi perbankan," katanya.
Ayob  Khan berkata, siasatan kini sedang menumpukan terhadap sindiket  penyeludupan yang mendalangi kegiatan anggota penguatkuasa yang ditahan  selain menyasarkan operasi di kawasan Pantai Barat Johor pula.
"Polis  percaya ada beberapa sindiket penyeludupan yang menjadi dalang kepada  pengkhianat ini dan mereka bukan terbabit dalam sindiket yang sama.
"Kita  juga tidak akan bertolak ansur dan melindungi mana-mana pegawai dan  agensi penguatkuasa sekiranya terbukti mereka benar-benar terbabit dalam  sindiket penyeludupan PATI, " katanya. - BH
 Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


  ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
   
  


 
 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/06/18-penguatkuasa-ditahan-seludup-pati.html