16 960 Premis Disanitasi Babitkan 16 162 Operasi Di Seluruh Negara
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

 ISMAIL Abd. Muttalib (tengah) merasmikan kedai IKS Majlis Daerah Maran di Maran, Pahang hari ini.MARAN:  Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Task Force  Sanitasi Awam Covid-19 telah menjalankan 16,162 operasi sanitasi awam  sejak 30 Mac tahun lalu sehingga semalam.
Timbalan Menteri Perumahan dan  Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, ia  melibatkan 16,960 premis membabitkan 3,150 pusat perniagaan, 1,827  (perumahan), 3,424 (tempat awam), 373 (pasar raya) dan 8,186 bangunan  kerajaan.
Beliau berkata, operasi itu  melibatkan 146 zon iaitu 96 zon merah, 12 zon jingga, 32 zon kuning dan  enam zon hijau mengikut pengkelasan Pejabat Kesihatan Daerah ( PKD) yang  ditetapkan Kementerian Kesihatan. 
Tambahnya, bilangan operasi  (kumulatif) membabitkan 5,215 di zon merah, 903 (zon jingga), 5,808 (zon  kuning), 4,216 (zon hijau), manakala premis yang disanitasi di zon  merah 5,234, zon jingga (1,192), zon kuning ( 6,301) dan zon hijau  (4,233).
“Kesemua zon merah telah dilaksanakan  sanitasi dan operasi task force akan diteruskan di kawasan yang  diputuskan bersama oleh Kementerian Kesihatan.
“Operasi sanitasi akan terus  digerakkan dan memberi keutamaan kepada lokaliti kes berdasarkan  bilangan kes Covid-19 yang terkini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan kedai industri kecil dan sederhana (IKS) bekas  tentera tidak  berpencen Majlis Daerah Maran (MDM) di sini hari ini.
Ismail berkata, operasi sanitasi  terkini membabitkan 86 sanitasi meliputi 39 zon merah, tiga zon jingga,  tujuh zon kuning dan satu zon hijau membabitkan 12 buah negeri dan satu  Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurutnya, antara premis yang  disanitasi ialah ibu pejabat polis daerah, balai polis, balai bomba,  sekolah kerajaan, stesen pengangkutan awam, pasar awam, rumah ibadat,  pasaraya, perumahan awam, sekolah tahfiz, pusat perniagaan dan  lain-lain.
Tambah beliau, seramai 158,258 orang tenaga digunakan untuk kerja-kerja sanitasi.
“Dalam pada itu sebanyak 13,032  kenderaan digunakan yang membabitkan 12,533 buah kenderaan Jabatan Bomba  dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 499 buah kenderaan syarikat konsesi  JBPM,” katanya. – UTUSAN 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/02/16960-premis-disanitasi-babitkan-16162.html