10 Tahun Tempoh Mengutip Pengalaman Yang Cukup Berharga
Assalamualaikum dan selamat tahun baru,
walaupun dah masuk 18 hari di tahun baru, tahun ini memulakan dengan aktiviti yang berbeza. Hampir 2 minggu di tahun baru berada di tanah suci Mekah dan Madinah untuk mengerjakan umrah dan ziarah di sana.
Pengalaman baru yang cukup mengujakan dan memberikan sudut pandang baru mengenai umur yang masih berbaki di dunia ini.
10 tahun tempoh yang boleh jadi lama dan sekejap
Apabila merenung semula tempoh 10 tahun yang telah berlaku, begitu banyak kesilapan dan kejahilan yang telah dilalui oleh aku. Memang begitulah adat kehidupan, andai tidak melakukan kesilapan, bermakna kita tidak berbuat apa-apa.
Pesan seorang guru yang baik pekertinya, tidak mengapa andai kita melakukan kesilapan, yang penting kita usah ulangi kesilapan yang sama.
guru kehidupan
Namun sepanjang 10 tahun ini, ada beberapa kali aku mengulangi kesilapan yang sama, dengan beranggapan situasi itu adakan berubah. Bertahun-tahun berlalu, dan sebenarnya hasilnya tetap sama.
Sebenarnya aku telah nampak polar situasi tersebut, namun kerana pelbagai sebab, aku tetap menjebakkan diri untuk terjerumus semula dengan situasi yang sama dan akhirnya aku yang menjadi mangsa untuk dihentam dan dipersalahkan.
Kesilapan sekali tidak bermakna kita tidak boleh ubah menjadi baik
Andai kita hanya fokus pada kesilapan yang lalu, kita tidak akan dapat bergerak lebih maju ke hadapan. Hidup di dunia ini hanyalah persinggahan, namun ianya perlu diuruskan.
Andai kita tidak uruskan, bagaimana kita ingin menghadapi alam akhirat yang kekal abadi nanti? Pasti ianya akan menjadi sukar.
Menjadikan umur Rasulullah sebagai sandaran, aku hanya tinggal 27 tahun sahaja lagi untuk hidup di dunia ini. Ianya nampak seakan panjang, namun sebenarnya ianya sangat pendek.
Itupun andai benar umur ini panjang, mungkin juga selepas sahaja menerbitkan artikel ini, umur aku akan tamat. Tiada siapa yang tahu, rahsia Allah yang hanya Beliau yang Maha Mengetahui.
Hidup di dunia untuk persiapan ke akhirat
Hidup di dunia ini hanyalah sementara, duit, perniagaan atau apa sahaja yang kita usahakan, perlulah untuk dijadikan persiapan untuk kita menuju alam akhirat.
Apa guna mendapat kejayaan dunia andai kejayaan itu hanya menyebabkan kita lebih dekat ke neraka Allah, nauzubillah.
Kejayaan itu amat penting, namun biarlah ianya disandarkan dengan agama, bukan sekadar kejayaan yang kita definisikan hanya dengan teori manusia.
Hidup di dunia ini bukan untuk mendapat puji sanjung daripada manusia, biarlah tidak cantik dipandangan manusia, andai usaha yang kita lakukan itu, adalah usaha yang dianjurkan oleh agama, usaha yang disukai oleh Rasulullah.
Puluhan tahun hidup di didunia ini, baru pertama kali merasai erti sebenarnya untuk usahakan dengan meletakkan agama di hadapan. Walaupun belum berjaya lagi menjadikannya amalan yang istiqamah, namun ianya telah terbentang luas.
Sebelum ini aku banyak terlalu fokus untuk mencapai kejayaan dunia hingga mengabaikan amanah menjaga tubuh badan agar sihat, menjaga makan minum agar teratur, menjaga perhubungan kekeluargaan, rakan taulan dan banyak lagi.
Semoga 10 tahun yang mendatang ini, akan ada banyak perubahan lebih baik agar aku dapat menjadi hamba Tuhan yang lebih baik dan menurut segala perintah Tuhan.
Aminn ya rabb.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.eizil.com/10-tahun-dalam-kehidupan/