10 Perkara Perlu Dilakukan Selepas Memasang Ubuntu 20 04 Lts
Ubuntu 20.04 LTS dengan kod nama ‘Focal Fossa’ ialah versi Long Term Support terbaru dari Ubuntu. Membawakan pelbagai pembaharuan, ia dilihat sebagai antara versi LTS terbaik yang pernah diterbitkan oleh Canonical.
Jika anda antara pengguna yang sudah selesai memasang Ubuntu 20.04 dan tertanya-tanya apakah antara perkara yang boleh dilakukan sebaik pertama kali boot ke desktop, ini ialah beberapa perkara yang saya sendiri buat.
Anda boleh ikut perkongsian panduan ini sekiranya masih ada yang belum dilakukan lagi. Saya memasang Ubuntu ini dengan pemasangan minimal, oleh itu mungkin ada beberapa perkara yang lebih terpaksa saya buat. Ayuh kita ke perkara pertama.
1. Kemas Kini Sistem Operasi
Ya, ia sememangnya sistem operasi yang baru sahaja dilepaskan, tetapi bukan bererti tiada sebarang kemas kini diberikan. Ubuntu 20.04 mempunyai meter kesegaran sebanyak 100%, dan untuk tapak sistem operasi nampaknya sudah pun ada kemas kini baginya.
Kemungkinan untuk Software Updater keluar secara automatik adalah tinggi, tetapi jika ia tidak keluar, anda boleh klik butang ‘Show Applications’ untuk menggunakannya.
2. Nyahaktif Title Bar Pada Firefox
Firefox mempunyai paparan antaramuka yang sudah cukup baik. Akan tetapi ‘Title Bar’ yang ada pada bahagian atasnya sangatlah mengganggu terutama kepada mereka yang menggunakan monitor kecil seperti laptop.
Anda boleh nyahaktif dengan mudah melalui Menu – Customize – dan buang tanda centang pada kotak Title Bar.
3. Kecilkan Saiz Dock
Saiz Dock lalai (default) bagi pelancar aplikasi Ubuntu ialah 48. Anda boleh lihat pada paparan tangkap layar berikut bagaimana saiznya ketika mula-mula boot ke desktop.
Ianya sangat besar dan pada saya kurang sesuai dilihat sebagai sesuatu yang terbaik dalam menggambarkan Ubuntu kepada pengguna ‘luar’. Jadi saya kecilkan ia kepada 32. Anda boleh kecilkan mengikut kemahuan anda sendiri.
4. Cuba Dark Mode/Theme
Jika dilihat pada tangkap layar di atas, terdapat tema baharu pada pilihan yang diberikan. Saya menggemari tema gelap tersebut. Ia bukan tema lalai, tetapi tidak susah pun untuk menukarkannya.
Anda boleh lihat bagaimana Nautilis/Files kelihatan setelah tema ditukar. Malangnya tema gelap ini tidak menukar paparan antaramuka GNOME Shell menjadi gelap juga.
5. Tukar Mirror
Jika anda rasakan kelajuan muat turun bagi pemasangan aplikasi atau kemas kini tidak beberapa pantas, anda boleh menukar ‘mirror’ bagi memastikan ia sentiasa yang paling hampir dengan lokasi anda dan paling laju.
Anda boleh lakukannya dengan membuka Software & Updates – Other… – Select Best Server.
6. Pasang Codec Ekstra
Sayangnya, kerana prinsip menyokong sumber terbuka, bererti Ubuntu masih lagi tidak memasang beberapa codec proprietary yang diperlukan oleh sistem. Untuk itu, anda perlu memasangnya sendiri. Mujurlah tidak sukar bagi pemula, walaupun terpaksa juga gunakan Terminal.
Bukalah Terminal, dan masukkan perintah ini:
sudo apt install ubuntu-restricted-extras
Apabila sampai kepada konfigurasi font (rujuk gambar di bawah), gunakan papan kekunci untuk halakan ke perkataan <Ok> itu. Tekan kekunci Enter.
Sama juga seperti ini, gunakan papan kekunci untuk halakan ke perkataan <Yes> dan tekan kekunci Enter.
7. Aktifkan Minimize-On-Click
Dalam banyak perkara, saya masih kurang faham kenapa ciri ini tidak dimasukkan secara natif ke dalam Ubuntu. Sudah bertahun lamanya, Ubuntu menggunakan pelancar aplikasi/Dock tetapi pihak pembangun tidak pernah memandang ia sebagai ciri yang diperlukan.
Mujurlah juga tidak susah untuk aktifkannya, tetapi sekali lagi kita perlu lancarkan Terminal. Gunakan perintah berikut untuk aktifkan ia:
gsettings set org.gnome.shell.extensions.dash-to-dock click-action 'minimize'
8. Pasang GNOME Tweaks
GNOME Tweaks ialah aplikasi kecil yang berfungsi untuk membantu pengguna mengubah beberapa fungsi yang ada pada GNOME Shell dan juga paparan antaramukanya. Anda boleh pasang GNOME Tweaks dengan menekan pautan di bawah:
GNOME Tweaks
9. Pasangkan Integrasi Gnome Shell Extension
Apalah ertinya menggunakan Gnome Shell tanpa memanfaatkan pula Gnome Shell Extension. Dengan adanya pelbagai extension ini, anda akan dapat mengubah paparan GNOME menjadi rupa bentuk atau ciri yang anda mahu.
Untuk itu, gunakan perintah ini bagi memasangnya:
sudo apt install chrome-gnome-shell
Jangan lupa, pasangkan juga extension bagi pelayar web Chrome/Chromium iaitu GNOME Shell Integration. Untuk Firefox, anda boleh pasangkan di sini: Firefox GNOME Shell integration.
10. Pasang Aplikasi Lain Yang Diperlukan
Ada banyak aplikasi lain yang boleh dipasangkan pada Ubuntu bagi melengkapkan lagi sistem operasi. Antara yang boleh dicadangkan, dan juga yang saya sendiri gunakan ialah:
1. SMPlayer (pemain media/video).
2. XnView MP (pemapar gambar).
3. OpenOffice (suit pejabat).
4. GIMP (aplikasi penyunting gambar).
5. Guake Terminal (terminal alternatif).
Sekian sahaja perkongsian kali ini. Jangan lupa kongsikan artikel ini kepada rakan-rakan anda!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/perkara-perlu-dilakukan-selepas-memasang-ubuntu-20-04-lts/