10 Kali Gagal Temu Duga Oku Ternak Keli
   Dziyaul Afnan Abdul Rahman 
 
   LEBIH  10 kali gagal ketika menghadiri temu duga pekerjaan, seorang pemuda  orang kurang upaya (OKU) tekad mengusahakan ternakan ikan keli di  Kampung Kurong Tengar, Kangar.
Nor Badrul Iman Azmi, 35, berkata,  meskipun perniagaan itu diusahakan secara kecil-kecilan, namun  pendapatan diperoleh hasil titik peluh sendiri.
“Kalau  diikutkan lebih 10 kali temu duga kerja saya hadiri, hingga ke Selayang  dan Negeri Sembilan semata-mata untuk memperoleh pekerjaan.
“Tetapi,  belum rezeki untuk saya merasa gaji tetap jadi saya reda. Bukan tidak  sedih, tetapi setiap kali sesi temu duga soalan penemuduga pasti  tertumpu pada keadaan kaki saya yang cacat akibat kemalangan sewaktu  kecil.
“Saya sedar peluang pekerjaan itu sudah tertutup rapat,” katanya ketika ditemui di sini.
Bagaimanapun,  katanya, selepas memikirkan abang yang juga OKU pembelajaran dan ibu  sudah tidak mampu bekerja, dia nekad menjalankan perniagaan ternakan  ikan keli.
Katanya, dia memulakan perniagaan kira-kira lima tahun  lalu dengan berbekalkan modal daripada kakak sulung, dan mendapat  seliaan Jabatan Perikanan.
“Tipulah jika tidak gagal pada  peringkat permulaan perniagaan, malah saya pernah orang kerana  menjalankan perniagaan ikan sungai.
“Selain itu, saya juga pernah  kerugian ribuan ringgit kerana kolam diserang memerang serta benih ikan  mati akibat kepanasan cuaca,” katanya yang mempunyai diploma dalam  bidang perhotelan.
Namun, kini, dia mampu berdiri di atas kaki sendiri menyara keluarganya hasil usahanya sendiri.
Pada masa sama, dia berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi bimbingan untuk mencari jalan keluar.
“Pada  mulanya saya ke JIM untuk mendapatkan kad pengesahan OKU. Tetapi,  rezeki saya diberi bimbingan untuk keluar dari keadaan susah.
“Sebagai usahawan OKU, saya menasihati rakan senasib supaya banyakkan bersabar menempuh dugaan.
“Jangan terlalu merendah diri untuk mencuba sesuatu dan sentiasa mengintai peluang berniaga,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/01/10-kali-gagal-temu-duga-oku-ternak-keli.html