10 Idea Jana Pendapatan Sampingan Untuk Pelajar Ipta Ipts
Kehidupan sebagai pelajar IPT makin mencabar sejak akhir-akhir ni. Lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi dan suasana politik tanah air yang tak menentu.
Apa yang berlaku disekeliling kita, secara tak langsung turut memberi impak kepada golongan pelajar. Kalau kita yang dah bekerja ini pun terasa bebannya, apatah lagi golongan pelajar. Kita sedia maklum, lazimnya golongan pelajar ini adalah golongan yang tak mempunyai pendapatan sendiri. Mereka adalah golongan yang ada duit, tetapi tidak memiliki pendapatan.
Sumber duit mereka adalah sama ada dari pinjaman pendidikan, biasiswa, atau duit tabungan sendiri.
Sebagai golongan pelajar dan terpelajar, nak tak nak, anda perlu kreatif. Anda tak boleh hanya bergantung harap pada satu sumber kewangan semata-mata. Jika anda ada buat pinjaman PTPTN, sebaik-baiknya elakkan daripada menggunakan duit tu untuk hal-hal yang tak berkaitan dengan pelajaran.
Saya bagi contoh, tengok wayang tu ada kaitan dengan belajar tak? Beli rokok tu ada kepentingan untuk proses pembelajaran ke tak? Jadi fikir masak-masak sebelum anda nak belanjakan duit PTPTN untuk tujuan yang tak tentu hala.
Nanti anda juga yang akan pening kepala nak bayar balik duit pinjaman tu. Melainkan kalau anda sudah mempunyai strategi untuk membayar balik duit pinjaman tersebut dengan pantas, maka terpulang pada anda kalau nak joli sakan sekalipun.
Saya pun penah jadi student. Jadi, saya tahu bagaimana kehidupan yang perlu dilalui sebagai seorang pelajar. Ada masanya, kita juga ada keinginan yang perlu dipenuhi. Tetapi, semua tu bukannya percuma, dan nak tak nak, anda perlu bertanggungjawab terhadap apa-apa perbelanjaan yang anda lakukan sekiranya ianya bukan menggunakan wang anda sendiri.
Jika saya boleh kembali jadi pelajar macam zaman dulu-dulu, memang akan ada banyak perkara yang saya akan buat untuk dapatkan pendapatan tambahan bagi menampung perbelanjaan masa zaman belajar.
Dalam posting ini, saya kongsikan 10 idea yang pada saya ianya praktikal dan boleh dilakukan oleh golongan pelajar yang ingin menjana pendapatan sampingan. Jika anda tak mampu nak jalankan semua sekali, pilihlah mana-mana satu yang ada dalam senaraian dibawah ini untuk dilakukan. Semua ini boleh bantu anda untuk buat duit tambahan.
(1) Buat bisnes online berasaskan konsep dropship
Ada macam-macam produk yang anda boleh jual kat luar sana, sama ada gadget, smartphone, tablet, barangan kosmestik, makanan tambahan dan sebagainya. Semua produk ini boleh dijual menggunakan kaedah dropship sahaja.
Saya mencadangkan kaedah dropship ini memandangkan ia merupakan kaedah perniagaan yang agak rendah dari segi risiko. Anda selaku penjual tak perlu mengeluarkan modal yang besar bagi tujuan menyimpan stok. Fokus anda adalah untuk membuat kerja-kerja pemasaran dan dapatkan pembeli.
Grafik dibawah ini menerangkan secara ringkas, proses yang berlaku dalam perniagaan menggunakan konsep dropship.
Dalam bisnes berasaskan kaedah dropship, lazimnya kita tak perlu beli produk yang hendak diniagakan terlebih dahulu.
Persoalannya, adakah ini bermaksud anda tak perlu beli langsung produk untuk dijual tersebut? Bukan begitu. Kalau anda ada modal, bolehlah beli dalam satu atau dua unit produk sudah memadai. Produk yang ada dalam tangan ini, sangat berguna untuk anda buat konten pemasaran, ataupun untuk jual kepada pelanggan yang dekat dengan anda.
Bukan semua orang suka untuk menceburi bidang perniagaan. Bila sebut istilah perniagaan, bunyinya memang nampak gah! Tapi, bila kita kata dalam perniagaan ini, aktiviti utama dan yang paling penting kita perlu buat ialah kita kena jual barang, akan ada ramai yang mula mengerutkan dahi.
Bila sebut kena jual barang, akan ada pelbagai reaksi negatif, misalnya seperti
i. Saya tak pandai jual barang
ii. Saya malu nak jual barang
iii. Saya tak pandai nak cakap
iv. Saya tak reti nak yakinkan orang
v. Saya tak selesa berurusan dengan orang asing (stranger)
Lalu dengan pelbagai reaksi negatif ini, menyebabkan orang akan meninggalkan bidang perniagaan.
Tahukah anda, sebenarnya terdapat banyak cara dan strategi yang kita boleh lakukan bagi tujuan mendapatkan jualan?
Sesetengah orang terlalu fokus dengan kelemahan yang ada pada dirinya sehinggakan dia tak nampak, yang sebenarnya dia boleh berjaya dalam bidang jualan, asalkan dia sedar apa kekuatan yang ada pada dirinya dan dia menggunakan kekuatan tersebut.
Tak berapa faham?
Ok saya tak pandai nak cerita pasal orang lain, jadi saya bercerita tentang diri saya sendiri.
Bercakap dalam konteks membuat jualan, saya juga ada masalah-masalah berikut
i. Saya tak suka bercakap dengan orang yang saya tak kenal
ii. Saya agak pemalu untuk membuat temujanji dengan orang yang saya tak kenal
iii. Saya agak kurang selesa untuk berniaga di gerai
iv. Saya kurang pandai dalam public speaking atau membuat sales presentation
Walaupun saya ada banyak benda yang saya tak pandai, tapi kebanyakkan pendapatan yang saya hasilkan, datangnya daripada kerja-kerja menjual.
Persoalannya, bagaimana dan apa cara yang saya gunakan untuk membuat jualan?
Saya sebenarnya membuat jualan melalui konten yang saya hasilkan.
Memandangkan saya merupakan seorang penulis, maka kebanyakkan penulisan yang saya hasilkan, semuanya bertujuan untuk menjual sesuatu, sama ada secara terus (direct) atau secara tak langsung (indirect).
Sebagai contoh, kalau saya nak jual buku.
Saya tak akan tulis posting seperti “ayuh semua mari beli buku yang saya syorkan ini… buku ini bagus, menarik, murah, ditulis oleh penulis yang terkenal…”
Its a no no… Saya tak akan buat macam tu.
Sebaliknya, saya akan hasilkan sebuah konten (artikel) yang mana dalam artikel tersebut saya menulis review mengenai buku yang saya ingin jual tersebut.
Contohnya, buku berjudul “buat untung dengan rumah sewa” ini.
Saya tidaklah menjual buku tersebut secara direct, sebaliknya saya menjual dengan cara menghasilkan artikel review mengenai buku tersebut. Ok je cara yang saya guna tu, sebabnya saya masih tetap dapat jualan untuk buku tersebut.
Apa yang saya nak sampaikan disini ialah, carilah style atau cara menjual yang sesuai dan anda rasa selesa untuk lakukan. Tak perlu terikut-ikut dengan gaya orang lain. Kalau anda rasa gaya orang lain itu susah untuk diikuti, bukanlah bermaksud bidang jualan ini tak sesuai untuk anda, tetapi sebenarnya anda yang perlu terokai cara lain yang betul-betul kena dengan jiwa anda.
Bila anda sedar dengan perkara ini, In Shaa Allah anda akan nampak yang sebenarnya semua orang boleh berjaya dapatkan jualan dan boleh berjaya dalam bidang ini.
Bagaimana nak mulakan bisnes menggunakan konsep dropship ini?
Mari kita bermula dengan mencari pembekal yang menawarkan program dropship.
Kita gunakan laman web atau apps Shopee untuk cari pembekal.
Buka apps Shopee dan search keyword seperti “dropship” atau “dropship wanted”. Saya gunakan keyword “dropship wanted” dan berikut adalah paparan yang muncul diskrin saya.
Ramai yang belum tahu, dekat laman web Shopee ini juga sebenarnya ada banyak seller yang menawarkan program dropship. Dalam listing yang mereka lakukan, mereka akan masukkan ayat seperti “ejen dropship diperlukan”. Itulah sebabnya kita cari kata kunci “dropship” di Shopee.
Bila dah jumpa produk yang anda rasa berkenan, bolehlah hubungi penjual dan mula dapatkan persetujuan untuk mula menjalankan bisnes dropship anda sendiri.
Atau anda mungkin minat nak buat bisnes buku secara dropship?
Kalau anda lebih suka nak buat bisnes buku menerusi kaedah dropship, boleh hubungi syarikat Bookcafe yang dimiliki oleh PTS ini.
Mereka ada membuka program dropship dan anda boleh sertai mereka. Saya pun tak pasti, sampai bila program ini akan dibuka, jadi jika anda berminat, ada baiknya anda bertindak segera.
(2) Jalankan bisnes trading
Dalam bisnes trading, ada dua konsep yang anda perlu tahu, iaitu sama ada konsep B2B (Business to Business) ataupun B2C (Business to Consumer).
Konsep business to business ini ialah anda menjual atau menjadi pembekal kepada perniagaan milik orang lain.
Manakala dalam konsep business to consumer, anda menjual terus kepada pengguna akhir.
Untuk memudahkan penerangan, apa kata kita andaikan yang anda akan memilih sandwich sebagai produk yang anda akan niagakan.
Kenapa sandwich?
Ada beberapa sebab kenapa saya ambil contoh sandwich sebagai produk yang dipilih.
i. Semua orang kenal dan tahu apa itu sandwich
ii. Proses penyediaan sandwich tak begitu rumit
iii. Sesuai dimakan pada bila-bila masa
iv. Mudah untuk dibungkus
v. Kos pembuatan tidak terlalu besar
vi. Bahan mentah untuk hasilkan sandwich mudah untuk diperolehi
Jika anda memilih untuk menjual sandwich sebagai produk utama anda, anda boleh pilih sama ada
i. Nak jual secara pukal kepada kedai, cafe, gerai, pasaraya atau mungkin stesen minyak
ii. Jual satu per satu terus kepada pelanggan
Mana satu yang lebih baik?
Anda perlu sedar satu perkara. Anda adalah seorang pelajar. Anda akan sibuk dengan rutin harian seperti pergi ke kelas, siapkan assignment, bersedia untuk kuiz, presentation, aktiviti kelab, dan banyak lagi.
Matlamat kita sebagai pelajar adalah untuk buat duit sampingan. Mungkin sekitar RM500 – RM1,000 sebulan. Kita bukannya nak jadi peniaga sepenuh masa, dan bergantung seratus peratus dengan duit hasil jualan sandwich. Prioriti utama kita masih lagi terhadap pelajaran.
Justeru saya lebih mengesyorkan anda untuk lakukan kaedah pertama, iaitu business to business.
Kalau anda sudah ada pelanggan tetap, dalam kalangan kenalan dan kawan-kawan, mereka ini boleh beli terus dari anda.
Kebiasaannya, dalam business to business, anda boleh jual secara pukal tetapi dengan untung yang agak rendah.
Contohnya, kalau harga jual sandwich ialah RM4.00 pihak kedai akan beli dengan harga RM3.00
Perbezaan RM1.00 itu adalah keuntungan untuk kedai tersebut. Anda perlu pastikan, dari RM3.00 yang anda jual kepada pihak kedai, anda masih untung, sekurang-kurangnya RM1.00 – RM1.50.
Kelebihan cara bisnes ini ialah anda tak perlu nak jual satu per satu produk anda. Katakanlah ada 100 kotak sandwich, anda tak perlu tunggu pelanggan membeli kesemua 100 kotak tersebut. Satu pelanggan yang anda berjaya perolehi, sudah cukup untuk borong semua.
Untuk kaedah business to consumer, anda memang boleh dapat untung yang lebih tinggi. Namun persoalannya, adakah anda ada masa untuk jual satu per satu sandwich tersebut? Anda pasti, cara tersebut tak akan mengganggu masa anda untuk belajar kelak?
Justeru, pilihlah cara yang masih boleh berikan untung kepada anda. Pada masa yang sama tak mengganggu fokus anda untuk belajar.
(3) Berdagang matawang Kripto
Apa lagi cara yang boleh dilakukan oleh golongan pelajar untuk jana pendapatan sampingan?
Saya jawab, trading cryptocurrency.
Cara yang ketiga ini, saya tak nafikan, risikonya memang tinggi. Walaupun risikonya tinggi, namun dari segi pulangan yang boleh dihasilkan, juga sangat tinggi.
Adakah golongan pelajar patut jauhkan diri daripada aktiviti trading matawang kripto, memandangkan risikonya yang tinggi?
Saya agak berbelah-bahagi dalam hal ini.
Setelah berfikir agak dalam, saya akui memang ada segolongan pelajar yang memang patut lari jauh-jauh daripada aktiviti trading. In fact, bukan setakat pelajar, malahan mereka yang dah habis belajar, lecturer, engineer, doctor, pesara dan semua orang yang tak mempunyai ilmu yang baik dalam aktiviti trading, memang patut menjauhkan diri.
Kemudian, untuk berlaku adil, bagi mereka yang sanggup luangkan masa untuk belajar, apa itu pelaburan dan perdagangan matawang kripto, bagaimana ianya dilakukan, apakah teknik yang betul dalam melakukan aktiviti pelaburan dan perdagangan, golongan seperti ini patut duduk lebih rapat dengan aktiviti trading ini.
Tak adillah kalau nak kata semua golongan student kena jauhkan diri dengan aktiviti ini. Habis tu, bagaimana dengan student yang memang ambil jurusan pelaburan (investment)? Bagaimana student yang memang ambil jurusan kewangan (finance)? Subjek pelaburan ini memang ada termasuk dalam silibus mereka.
Kenapa trading matawang kripto dijadikan pilihan?
Ada beberapa sebab kenapa saya katakan trading ini bagus untuk dilakukan, tak kiralah sama ada anda golongan pelajar ataupun mereka yang sudahpun bekerjaya.
Saya ulang sekali lagi, aktiviti trading sangat berisiko. Saya sendiri pernah kerugian USD700 (RM3,200++) dalam masa kurang 5 minit, disebabkan kesilapan yang saya sendiri lakukan dalam membaca pergerakkan harga pasaran.
Walaubagaimanapun, kerugian dalam trading ini ada dua jenis, iaitu
i. Paper loss
Bilangan unit matawang kripto anda masih sama, cuma nilainya sahaja yang jatuh menjadikan harga pasaran lebih rendah berbanding harga ketika anda mula-mula beli dulu. Lazimnya, harganya akan naik semula cuma ia mungkin akan makan masa yang agak lama. Oleh yang demikian, anda perlu tahu membaca graf pergerakkan harga dan tahu melakukan analisa teknikal (technical analysis) bagi mengelakkan anda membeli pada waktu yang salah.
ii. Actual loss
Kerugian sebenar berlaku apabila anda menjual matawang kripto anda dalam keadaan harga pasaran lebih murah berbanding ketika anda beli aset tersebut.
Ada terlalu banyak yang boleh kita bincangkan mengenai topik pelaburan matawang kripto ini. Tapi saya kira ada baiknya kalau saya sentuh topik ini dilain masa.
Bagaimana cara untuk melakukan trading matawang kripto di Malaysia?
Kita boleh melakukan aktiviti beli dan jual matawang kripto melalui beberapa Digital Asset Exchanges (DAX) yang mendapat kelulusan dari Suruhanjaya Sekuriti (Securities Commision) Malaysia iaitu seperti
i. Luno Malaysia Sdn. Bhd
ii. MX Global Sdn Bhd
iii. SINEGY DAX Sdn Bhd
iv. Tokenize Technology (M) Sdn. Bhd
Daripada 4 senarai DAX diatas, saya hanya ada pengalaman melakukan aktiviti beli dan jual matawang kripto dengan Luno sahaja. Anda boleh membuka akaun secara percuma di platform Luno melalui pautan ini.
Saya cerita dari aspek asas, untuk buat duit dengan matawang kripto ini, ada beberapa perkara yang kita perlu tahu.
i. Beli ketika harga murah dan jual apabila naik harga
Dalam kata lain, anda beli aset kripto ketika harganya berada di paras support, dan jual aset tersebut apabila harganya naik. Setelah anda jual aset tersebut, tunggu sehingga harganya jatuh kembali ke paras support atau berdekatan dengan paras support, kemudian barulah anda beli semula.
ii. Anda perlu belajar cara baca graf
Selagi tak pandai baca graf, selagi itu elakkan untuk terlibat dengan pembelian matawang kripto.
Graf diatas ini adalah graf pergerakkan harga untuk matawang kripto XRP (ripple) berbanding USDT (Tether).
Dari graf diatas, apakah tindakan yang anda akan ambil? Adakah
i. Beli XRP dengan harga USD0.4709
ii. Masuk pasaran niaga hadapan (futures) dan jual XRP dengan harga USD0.4709
iii. Tak buat apa-apa.
iv. Cari pasangan cryptocurrency lain yang menunjukkan pattern graf yang lebih menarik
Basically, bagi orang yang ada ilmu, soalan saya ini sangat mudah untuk dijawab. Oleh yang demikian, saya amat-amat menyarankan untuk anda yang nak melibatkan diri dalam aktiviti ini untuk menimba ilmu sebanyak-banyaknya.
Dalam perdagangan kripto ini, ada ketikanya kita perlu tunggu masa yang betul-betul sesuai untuk masuk ke dalam pasaran dan membeli aset tersebut. Bila kita tahu, bila masa yang tepat untuk beli, tak mustahil untuk anda dapat hasilkan profit sekitar 5% – 10% dalam masa yang singkat.
Adakalanya, anda hanya perlu tunggu tak sampai seminggu untuk pelaburan anda menghasilkan keuntungan sebanyak 10%. Ini sudah tentu berbeza dengan lain-lain instrumen pelaburan yang ada diluar sana, yang mana kita perlu tunggu at least setahun untuk tahu, berapakah dividen yang bakal kita terima.
Saya pun tak suka nak bandingkan antara epal dengan oren, jadi saya kira cukuplah saya katakan trading crypto ini boleh memberikan pulangan yang besar dalam masa yang singkat, dan pada masa yang sama, anda juga berdepan dengan risiko kehilangan semua modal anda dalam masa yang singkat.
Justeru, kalau nak masuk dalam bidang ini, sila belajar dengan bersungguh-sungguh! Melaburlah di platform yang betul, jangan nanti anda ditipu pula oleh scammer.
iii. Melabur atau berdaganglah dengan jumlah yang anda sanggup hilang
Ikut logik akal, siapa yang sanggup kehilangan semua duit yang ada pada dirinya? Sudah tentu tak ada seorang pun yang sanggup biarkan duitnya hilang begitu sahaja.
Tapi, maksud “melabur dengan jumlah yang anda sanggup hilang” ini merujuk kepada sejumlah wang, yang jika ianya hangus lebur sekalipun, ia tak menjejaskan kehidupan anda. Anda masih boleh menjalani kehidupan seperti biasa tanpa ada sebarang masalah.
Ya, memang akan terasa sakit hati, sebab duit pelaburan dah hangus, dah rugi… tapi kerugian tersebut tak sampai mengakibatkan kehidupan anda jadi huru-hara. Itulah maksudnya.
Berapa amaun yang anda sanggup hilang?
RM100? RM500? RM1,000?
Eh…. tunggu sekejap. Student ini, ada ke duit sebanyak tu untuk dilaburkan di pasaran kripto?
Janganlah anggap semua student tu sama sahaja latar belakangnya.
Ada student yang sebelum menyambung pengajian, dia pernah bekerja selama beberapa tahun dan ada duit simpanan sendiri.
Ada student yang ambil cuti panjang untuk menyambung pelajaran. Walaupun dia student, tapi gaji masih jalan.
Ada student yang memang datang dari keluarga yang agak senang, jadi tak ada masalah pun untuk dia mencuba sesuatu yang baru.
Pada pandangan saya, lebih awal anda didedahkan dengan selok-belok bidang pelaburan, itu lebih baik. Kalau boleh, kita tak nak nanti keluar berita-berita yang kurang menyenangkan seperti
i. Warga emas ditipu oleh sindiket menawarkan pelan pelaburan yang tak wujud
ii. Pesara guru kerugian RM40,000 akibat ditipu oleh scam pelaburan
Kenapa perkara tersebut boleh terjadi?
Puncanya adalah kurang ilmu. Orang yang kurang ilmu berkaitan pelaburan memang agak sukar untuk membezakan antara pelaburan yang betul dengan yang menipu. Oleh yang demikian, saya berpendapat, lebih awal anda dapatkan ilmu yang betul tentang pelaburan, lebih baik.
(4) Buat duit melalui kutipan sewa secara sublet
Kaedah sublet ini, jika dibuat pengiraan dengan betul, kita bukan sahaja boleh dapat buat duit sampingan malahan ada kebarangkalian juga kita akan dapat tinggal dirumah tersebut secara percuma.
Baiklah mungkin anda nak tau, apa yang dimaksudkan dengan sublet?
Sublet ini sebenarnya merujuk kepada perbuatan menyewa sebuah rumah, kemudian rumah tersebut disewakan pula kepada penyewa yang baru, bagi tujuan mendapatkan keuntungan.
Baca juga: Buat untung dengan rumah sewa
Cara untuk buat duit dengan sublet ini sebenarnya tidaklah begitu sukar dari segi teorinya. (dari segi praktikal, anda mungkin akan berdepan dengan beberapa cabaran)
Mula-mula sekali, anda sewa sebuah rumah yang lokasinya sangat strategik dan berhampiran dengan kampus atau kolej tempat anda belajar.
Langkah seterusnya, anda ajak rakan-rakan sekelas untuk tinggal sekali bersama dengan anda dengan bayaran sewa yang dipersetujui.
Pastikan, bayaran sewa yang bakal dibayar oleh rakan-rakan anda nanti, apabila ditolak dengan bayaran sewa kepada tuan rumah, masih ada baki yang tinggal.
Sebagai contoh, tuan rumah menetapkan kadar sewa RM900 sebulan.
Anda mengajak kawan-kawan untuk tinggal bersama, dan kutipan sewa dari kawan-kawan anda adalah sebanyak RM1,200.
Dalam contoh versi ringkas ini, lebihan sebanyak RM300 yang bakal anda perolehi setiap bulan itu tadi adalah keuntungan milik anda.
Menarik, kan? Tak perlu pening-pening nak buat bisnes. Anda hanya perlu kutip duit sewa dari housemate anda sudah membolehkan anda untuk buat duit.
(5) Jual servis PELIK di Fiverr
Kita pergi ke peringkat global. Ada satu laman web yang dikenali sebagai Fiverr yang anda boleh jadikan platform untuk anda jual servis atau bakat anda.
Saya sendiri sudah beberapa kali menggunakan laman web ini untuk mendapatkan perkhidmatan seperti
i. Design logo
ii. Design e-book ecover
iii. Pemasangan theme wordpress
Saya suka guna Fiverr sebab disini terdapat ramai freelancer yang menawarkan perkhidmatan mereka dengan harga yang berbaloi mengikut bentuk perkhidmatan yang mereka tawarkan.
Biasanya saya akan cuba kenalpasti freelancer tempatan terlebih dahulu, itu pun kalau ada. Kalau tak ada, barulah saya akan pilih mana-mana freelancer yang saya yakini mampu untuk berikan perkhidmatan seperti yang saya mahukan.
Jadi, apa kaitan laman web Fiverr ini dengan golongan pelajar yang ingin menambahkan pendapatan?
Kaitannya ialah, jika anda mempunyai kemahiran yang diperlukan oleh orang lain, misalnya kemahiran menulis artikel, kemahiran membuat design logo, kemahiran menghasilkan video dan sebagainya, anda boleh menggunakan Fiverr ini untuk menjual kemahiran anda.
Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, Fiverr ini merupakan laman web luar negara. Ada banyak negara yang turut menggunakan laman web ini, untuk mendapatkan perkhidmatan yang mereka perlukan.
Ini bermakna, apabila anda menjual kemahiran anda dilaman web ini, potensi pelanggan yang bakal anda perolehi tak terhad kepada orang Malaysia sahaja. Sebaliknya anda boleh dapat pelanggan dari pelbagai negara.
Kalau anda rajin untuk explore laman web Fiverr ini, anda akan temui bermacam-macam jenis servis yang agak pelik. Mungkin ada antaranya yang anda sendiri tak pernah terfikir. Apa pun, cubalah tengok dulu ya.
(6) Blogging
Saya mula menceburkan diri dalam bidang penulisan blog ini sekitar tahun 2009. Masa tu, saya masih lagi belajar di UiTM Shah Alam. Waktu saya masih belajar dulu, tak banyak peluang dan program yang saya boleh sertai bagi tujuan untuk buat duit sampingan.
Pada zaman tersebut, media sosial yang popular adalah Myspace dan juga Friendster. Kebanyakkan pengguna akaun media sosial tak begitu aktif seperti sekarang ini. Saya masih ingat lagi, dulu kalau nak login ke media sosial, saya perlu ke cyber cafe berhampiran. Rasanya tak salah kalau saya katakan, waktu tu tak banyak rumah yang ada komputer peribadi.
Kalau ada komputer sekalipun, besar kemungkinan tak ada langganan internet. Situasi pada ketika dulu, kebanyakkannya sama ada
i. Dekat rumah tak ada komputer, dan tak ada internet
ii. Dekat rumah ada komputer, tapi tak ada internet
iii. Dekat rumah ada komputer, ada internet, tapi sambungan internet sangat slow
iv. Ada komputer, ada internet, dan sambungan internet just nice
Sudah tentu, suasana pada masa tersebut sangat jauh beza dengan sekarang ini. Sekarang ini, boleh dikatakan hampir setiap orang ada smartphone sendiri. Malahan, tak pelik kalau ada orang yang mempunyai komputer desktop, ada laptop, ada tablet, dan ada smartphone.
Kalau dulu, orang tak minat nak buat blog sebab ada kekangan dari segi
i. Tak ada komputer atau laptop
ii. Tak ada sambungan internet
Tapi pada hari ini, masalah seperti diatas hampir tiada. Bukannya langsung tak ada, masih lagi ada cuma ianya dah tak seperti dulu. Saya faham, masih terdapat kategori pelajar yang datang dari keluarga yang susah dan tak mampu untuk memiliki komputer. Walaupun begitu, kesusahan tersebut bukanlah satu bentuk kesusahan yang mustahil untuk diatasi.
Saya juga bukanlah datang dari keluarga yang senang. Waktu saya masih student dulu, saya akan buat kerja part time bila cuti semester. Sebahagian dari duit gaji yang saya terima, saya akan simpan sedikit. Bila dapat duit PTPTN, saya gunakan duit tersebut untuk beli laptop.
Laptop saya yang pertama, saya beli menggunakan duit gaji saya kerja part time, campur duit PTPTN dan campur dengan duit belanja yang keluarga saya berikan. Akhirnya dapat juga beli sebuah laptop, yang sangat membantu untuk tujuan buat assignment, buat kerja-kerja research dan boleh guna untuk buat kerja-kerja penulisan blog.
Kerajaan juga ada memberikan bantuan laptop percuma kepada golongan yang berkelayakan. Anda perlu sentiasa alert dengan bantuan-bantuan seperti ini, dan kena cepat ambil peluang.
Bagi anda yang sudah mempunyai peralatan yang lengkap, ada laptop dan ada sambungan internet, manfaatkan apa yang sudah ada dalam tangan. Kalau setakat nak hasilkan pendapatan tambahan dalam sekitar RM100 – RM500 setiap bulan, ia boleh diperolehi melalui aktiviti penulisan blog.
Baca juga: Adakah blogging masih relevan?
Macam yang saya sedang buat sekarang ni. Tulis blog. Saya mula menulis blog ketika zaman saya masih lagi belajar dan saya masih lagi menulis blog hingga sekarang. Pada mulanya saya menulis hanya sekadar nak mencuba. Alhamdulillah, dari sekadar nak mencuba rupanya saya boleh hasilkan pendapatan dari kerja-kerja penulisan ini.
Akhirnya saya buat keputusan untuk menulis dengan lebih serius dan belajar segala teknik dan strategi penulisan yang ada diluar sana. Saya belajar apa itu teknik Search Engine Optimization (SEO) dan saya juga belajar apa itu teknik penulisan copywriting.
Teknik SEO campur dengan teknik copywriting inilah yang memberikan income yang konsisten kepada saya.
Kalau anda masih lagi seorang student, dan anda sudah mula membina blog anda sendiri, percayalah bila anda habis belajar nanti, anda sudah mempunyai sumber pendapatan anda sendiri, walaupun pada waktu itu anda masih belum mula bekerja.
Biasanya tempoh pembelajaran adalah sekitar 3 ke 4 tahun. Jika dalam masa ini, anda ada memperuntukkan masa untuk membuat kerja-kerja penulisan, ketika anda habis belajar nanti, tak pelik kalau blog anda sudah mula memberikan income sekitar USD100 – USD200 secara konsisten setiap bulan.
Kenapa saya sebut matawang USD? Bukannya RM?
Sumber pendapatan blog ini lazimnya datang dari program pengiklanan. Salah satu program pengiklanan yang bagus untuk disertai adalah Google Adsense.
Google akan membayar secara automatik ke akaun bank anda, apabila pendapatan terkumpul anda melalui program pengiklanan ini telah mencecah amaun USD100.
Pada waktu catatan ini saya tulis, nilai USD100 adalah bersamaan dengan RM470.
Cuba bayangkan kalau setiap bulan anda berjaya hasilkan USD200 minima dari program pengiklanan ini, berapa agaknya income anda dalam RM ketika itu?
Ya, lebih kurang RM940!
Hanya dari blogging.
Berita baiknya ialah, apabila anda menulis blog, anda bukan sahaja boleh buat duit melalui program pengiklanan, malahan anda boleh buat duit dari pelbagai cabang, antaranya
i. Program Affilate
Dalam program ini, anda berperanan sebagai seorang ejen promosi dan anda akan dibayar apabila hasil kerja pemasaran yang anda lakukan itu nanti, berjaya menghasilkan jualan.
Baca juga: Apa itu program affiliate marketing
ii. Penulisan Advertorial
Anda boleh mengambil upah untuk mempromosikan produk orang lain di blog anda. Bayaran yang anda boleh kenakan adalah sekitar RM30 – RM200 untuk sebuah artikel. Biasanya, blog yang sudah berusia, ada yang mengenakan bayaran yang lebih tinggi untuk sebuah posting, boleh menghampiri sekitar RM500 – RM1,000 untuk sebuah blogpost.
Kadar upah ini juga sebenarnya tak tetap. Ia bergantung kepada klien, berapa jumlah yang dia sanggup bayar, dan setakat mana dia yakin terhadap kemahiran penulisan yang ada pada penulis blog tersebut.
Kalau kena bayar RM1,000 untuk satu artikel tapi dari artikel tersebut, klien boleh dapat sales RM5,000++ bukankah itu masih lagi menguntungkan?
Jika ini merupakan kali pertama anda mendengar tentang istilah advertorial, dan anda minat untuk mengetahui dengan lebih lanjut, boleh baca artikel ini.
Klik untuk baca: Apa itu Advertorial
iii. Servis review produk
Servis review produk ini nampak macam lebih kurang sama dengan penulisan advertorial, tapi ia lebih spesifik terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan yang dipromosikan.
Ada banyak golongan usahawan diluar sana yang sebenarnya memerlukan perkhidmatan review dari anda. Sama ada mereka ini adalah usahawan produk kosmetik, produk makanan, ataupun usahawan tempat penginapan.
Review yang anda hasilkan untuk mereka boleh memberi impak positif terhadap perniagaan yang mereka lakukan.
Siapa yang sesuai untuk buat duit dengan blogging?
Kerja-kerja blogging ini sinonim dengan kerja penulisan.
Oleh yang demikian, mereka yang minat menulis dan suka membaca memang cukup sesuai untuk buat duit dengan cara ini.
(7) Affiliate Marketing
Saya ada sentuh sedikit mengenai program affiliate semasa saya bercerita mengenai topik blogging. Kali ini saya cerita spesifik tentang affiliate marketing sahaja.
Saya khuatir kalau ada yang beranggapan, kalau nak berjaya buat duit melalui affiliate marketing, mesti kena ada blog dulu, baru boleh berjaya. Kalau tak ada blog, susah nak berjaya buat duit. Sebenarnya ia kurang tepat.
Ada beberapa individu yang saya kenali, turut menghasilkan pendapatan yang lumayan melalui affiliate marketing, tetapi mereka ini tidak menggunakan blog sebagai platform pemasaran yang utama. Sebaliknya mereka menggunakan kaedah pemasaran seperti
i. Media sosial
Mereka menggunakan FB profile, FB Fanpage, dan ada juga yang menggunakan iklan berbayar FB Ads
ii. Youtube
Mereka membina channel Youtube dan menghasilkan konten dalam bentuk video
iii. Google Adwords
Ini merupakan kaedah iklan berbayar melalui Google.
iv. Email marketing
Kaedah pemasaran emel merupakan kaedah pemasaran yang cukup berkesan, namun tak ramai yang menggunakan kaedah ini. Boleh jadi sebab kos untuk melanggan sistem autoresponder menjadi penghalang kenapa cara ini sudah jarang digunakan.
Anda nak belajar teknik buat duit dengan affiliate? Boleh muat turun panduan dihalaman ini.
Kejayaan anda dalam program affiliate marketing ini, amat berkait rapat dengan kemampuan anda membina kempen pemasaran yang dapat meyakinkan bakal pembeli. Jika ramai yang tertarik dengan produk yang anda promosikan, maka banyaklah jualan yang bakal anda hasilkan. Dengan ini, komisen yang bakal anda perolehi juga akan jadi semakin besar.
(8) Sertai Network Marketing Program
Network marketing program adakalanya turut dipanggil dengan istilah Multi Level Marketing (MLM) program. Apa sebenarnya bisnes MLM atau network marketing program ini?
Network Marketing atau Multi Level Marketing (MLM) ini sebenarnya hanyalah salah satu daripada kaedah pemasaran yang digunakan oleh sesebuah syarikat, dalam memastikan produk yang dikeluarkan atau dijual dapat sampai kepada pengguna akhir.
Sebenarnya, bila kita betul-betul faham, apa benda sebenarnya bisnes MLM ini, kita akan nampak, ia sebenarnya bukanlah sesuatu yang sangat ajaib hingga ia mampu menjadikan orang yang menyertainya akan jadi kaya raya.
Kalau nak jadi kaya melalui bisnes MLM, ia agak sukar, melainkan anda memang mempunyai network yang sangat besar. Tapi kita bercakap mengenai golongan pelajar. Lazimnya, student ini memang tak mempunyai network kenalan yang besar, melainkan sebilangan sahaja yang memang betul-betul popular, ada ramai peminat, disenangi orang ramai dan sebagainya.
Kebanyakkan dari kita, berada dalam kategori student biasa-biasa. Kita masuk ke universiti sebab kita nak belajar dan bercita-cita untuk tamatkan pengajian dengan segulung ijazah. Bukannya nak bina network atau nak buat duit.
Walaupun saya kata, sukar untuk jadi kaya melalui bisnes MLM, namun ini tak bermaksud anda tak akan berjaya buat duit. Jadi kaya dengan berjaya buat duit, adalah dua topik yang berbeza.
Rata-rata individu yang mendengar istilah MLM, akan terus terfikir hal-hal yang kurang menyeronokkan seperti kena cari-cari orang, kena pergi meeting tengah-tengah malam, edar pamplet dan sebagainya. Jika itu yang anda fikirkan, saya boleh katakan, anda patut lari jauh-jauh dari program seumpama itu.
Saya sarankan, anda carilah dulu bisnes MLM atau networking yang betul-betul sesuai dengan jiwa anda. Biar saya berikan anda satu contoh bisnes yang anda boleh sertai.
Bisnes yang saya maksudkan adalah bisnes PG Mall.
Apa benda bisnes PG Mall ini?
PG Mall ini sebenarnya adalah sebuah online marketplace yang menjual barangan dari pelbagai jenis dan kategori. Kalau anda layari laman web PG Mall ini, anda akan dapat lihat terdapat beratus ribu produk yang dijual di platform tersebut.
Apa yang menarik dengan PG Mall ini ialah, mereka ada menawarkan peluang untuk buat duit melalui program yang mereka beri nama sebagai “program consumerchant”. Consumerchant ini sebenarnya adalah gabungan dua perkataan, iaitu consumer dan juga merchant.
Prinsip consumerchant yang dipraktikkan oleh PG Mall ini memang lain dari yang lain. Setakat ini, memang tak ada lagi platform e-commerce yang boleh bagi tawaran yang sama macam yang ditawarkan di PG Mall.
Dalam eko-sistem consumerchant ini, pihak PG Mall akan berkongsi keuntungan (profit sharing) yang PG Mall terima daripada setiap pembelian yang anda lakukan di PG Mall, dan sebahagian keuntungan tersebut akan dipulangkan kepada anda dalam bentuk cash back.
Selain itu, untuk menjadikan program ini lebih menarik lagi, apabila anda mengajak lebih ramai orang untuk menjadi pelanggan di PG Mall, anda juga akan dapat insentif dari pembelian yang dilakukan oleh setiap pelanggan yang anda berjaya rekemen untuk membeli di PG Mall.
Justeru, lebih ramai orang yang anda ajak untuk jadi pelanggan di PG Mall, lagi besar income yang anda boleh hasilkan. Saya tak bercadang untuk bercerita dengan panjang lebar mengenai program ini disini. Jika anda masih belum pernah menjadi member di PG Mall, anda boleh daftar secara percuma sahaja disini.
Untuk anda yang perlukan maklumat yang lebih banyak mengenai program ini, boleh baca posting berikut ya.
i. Pengenalan kepada Bisnes PG Mall
ii. Cara buat duit dengan PG Mall
iii. Cara beli barang dari PG Mall
Pesanan saya, cari bisnes networking yang betul, nescaya anda tak akan rasa malu dan tak akan rasa terbeban untuk mempromosikan perniagaan tersebut.
(9) Jadi content creator
Zaman sekarang adalah zaman orang buat marketing menggunakan kandungan (content).
Menarik ataupun tidak sesebuah kempen pemasaran bergantung kepada jenis konten yang dicipta. Tapi adakah kerja-kerja menghasilkan konten ini merupakan kerja senang?
It depends.
Jika anda secara natural memang adalah seorang yang kreatif, kerja-kerja menghasilkan konten adalah suatu kerja yang tak begitu sukar. Walaubagaimanapun, individu yang kreatif, sebenarnya mempunyai tahap kreatif yang berlainan, antara satu sama lain.
Kita ambil contoh, individu yang menyertai pertandingan lawak di tv misalnya. Jika ada 12 kumpulan yang menyertai, kita boleh katakan setiap orang adalah individu yang kreatif. Tetapi, kenapa ada lawak yang kita langsung tak gelak, dan ada lawak yang boleh buat kita ketawa sampai keluar air mata?
Point saya ialah, tahap kreativiti setiap orang adalah berlainan. Skil yang ada pada seseorang individu, mungkin dapat memuaskan hati sekelompok manusia, tetapi skil yang sama dilihat kurang menarik, membosankan, dan terlalu try hard. Key take away yang saya nak sampaikan ialah, anda boleh puaskan hati segolongan manusia, golongan yang lain pula akan buat endah tak endah, dan akan ada kelompok yang langsung tak minat dengan hasil kerja anda.
Nak puaskan hati setiap orang? Itu kerja mustahil. Lebih make sense, kita fokus pada sekelompok yang memang hargai hasil kerja kita.
Kita kembali kepada idea, untuk jadi content creator. Jika kita lihat situasi diluar sana, sebenarnya ada banyak pihak yang perlukan khidmat kita.
i. Usahawan yang menggunakan media sosial memerlukan konten baru
ii. Blogger memerlukan konten
iii. Youtuber memerlukan konten
iv. Tiktoker memerlukan konten
Sesetengah orang lebih suka hasilkan konten mereka sendiri. Saya termasuk dalam golongan ini. Saya kurang berminat menggunakan khidmat orang lain dalam menghasilkan konten untuk kegunaan saya sendiri. Walaubagaimanapun, kecenderungan saya ini mungkin akan berubah dimasa akan datang.
Pada masa yang sama, terdapat banyak juga individu yang tak kisah menggunakan konten orang lain.
Jika anda ingin menawarkan khidmat menghasilkan konten untuk mereka, of course dengan harga yang dipersetujui bersama, mereka ini tak ada masalah untuk membeli konten dari anda.
Asalkan konten tersebut original, mempunyai input yang baik, dan pada masa yang sama ada potensi untuk memberi jualan kepada pemilik perniagaan. Mereka pasti tak kisah untuk melaburkan wang untuk membeli konten yang anda hasilkan.
Buat duit sebagai content creator disini, saya fokuskan kepada mereka yang nak hasilkan konten bagi tujuan untuk dijual. Jika anda adalah penulis, anda akan jadi seorang ghostwriter. Iaitu anda menulis bagi pihak penulis lain.
Kalau dalam idea sebelum ini, iaitu menjadi penulis blog, atau menjadi individu yang membangunkan channel Youtube anda sendiri, ia juga termasuk dalam kategori content creator. Cuma bezanya, content yang anda hasilkan disini akan digunakan oleh pihak lain yang bersedia untuk membayar hasil kerja anda.
10. Tusyen dan personal coaching
Ok personal tutor. Itupun jika anda mempunyai kefahaman dan penguasaan yang baik dalam subjek-subjek tertentu. Ada banyak sebenarnya student yang TAKUT GAGAL dan tak kisah untuk keluarkan modal sebagai upah untuk belajar dari anda. Semua ni supaya mereka dapat kekalkan score CGPA yang baik.
Kalau anda tak berapa yakin nak mengajar rakan-rakan sebaya ataupun yang mungkin lebih berusia dari anda, boleh juga ofer servis personal tutor kepada adik-adik yang baru nak ambik exam SPM dan sebagainya.
Sebenarnyakan… bila kita perhalusi, ada banyak betul peluang untuk kita buat duit yang terhidang kat luar sana. Anda perlu korbankan sesuatu, untuk dapatkan sesuatu yang berharga. Dalam konteks nak buat duit bagi golongan pelajar ni misalnya, anda terpaksa korbankan masa untuk anda bersuka ria, masa untuk tidur, dan bersosial dengan rakan-rakan anda untuk buat duit.
Penutup
Saya berkawan dengan individu dari pelbagai latar belakang. Ya, ada yang kaya, ada yang sederhana, ada yang miskin, ada yang acah-acah kaya, ada yang hidupnya selalu tak ada duit dan banyak lagi. Saya tak memilih untuk berkawan. Jika individu tersebut ikhlas untuk berkawan, saya akan sambut salam perkenalan tersebut.
Tetapi kalau dia ada agenda tersembunyi, biasanya dekat peringkat awal lagi kita boleh rasa tak sedap hati.
Dalam banyak-banyak kawan yang saya kenali, saya seronok berkawan dengan individu yang tak ada masalah duit.
Orang yang tak ada masalah duit ini
i. Tak semestinya dia kaya
Hidupnya biasa-biasa je. Cuma bagi dia, duit bukan isu besar. Dia tak terlalu bermewah-mewahan, tak membazir, tak gila shopping dan beli barangan yang tak perlu.
ii. Tetap ada hutang
Dia tetap ada hutang. Malahan hutang dia mungkin lebih besar daripada hutang yang saya ada. Tetapi dia tidaklah terbeban dengan hutang tersebut. Cukup masa, dia akan bayar hutang-hutang tersebut, dan tetap ada duit lebihan untuk tujuan saving serta investment.
iii. Hidup lebih tenang
Dia boleh buat apa sahaja yang dia nak, asalkan ada kemahuan. Nak habiskan masa di gym? Boleh. Nak pergi travel? Boleh. Semua boleh.
Apa persamaan yang ada pada mereka?
Dari pemerhatian saya, individu seperti ini lazimnya mempunyai persamaan iaitu mempunyai pekerjaan yang membayar gaji yang bagus ataupun dia mempunyai bisnes dan sumber pendapatan kedua yang mampu memberikan income tambahan yang baik untuk menampung gaya hidup mereka.
Baiklah, apa yang saya kongsikan dalam artikel tentang menjana pendapatan tambahan untuk student ini sebenarnya adalah sesuatu yang boleh dilakukan oleh hampir setiap orang. Sengaja saya ketengahkan idea-idea yang ada nilai untuk dipraktikkan, seperti blogging, affiliate marketing, trading dan sebagainya.
Anda akan dapati, aktiviti yang saya sebutkan disini, anda boleh terus praktikkan walaupun setelah tamat pengajian.
Kenapa nak stop blogging, walaupun setelah habis belajar kalau dari blog tu boleh dapat income?
Kenapa nak stop buat affiliate marketing, kalau dari situ masih boleh buat duit?
Kenapa nak stop buat trading, sedangkan ilmu ini boleh dimanfaatkan sepanjang hayat! Nak trade saham, forex, emas dan sebagainya, semuanya boleh gunakan ilmu trading yang sama.
Satu ilmu yang tak diajar di universiti adalah ilmu buat duit. Kenapa? Mungkin ilmu buat duit ini dikhuatiri akan mengganggu fokus para pelajar yang sepatutnya fokus pada jurusan yang diambil, akhirnya lebih tertarik untuk buat duit berbanding menghabiskan pengajian. Wallahua’lam.
Justeru, saya berpendapat, jika anda berjaya menemui satu formula bagaimana nak buat duit, saya percaya anda berpotensi untuk menjalani kehidupan yang lebih baik berbanding rakan-rakan lain yang tak pernah peduli pun untuk explore cara-cara nak buat duit dari zaman belajar lagi.
Apa yang penting, jangan sampai terabaikan pelajaran anda!
Moga bermanfaat.
The post 10 Idea jana pendapatan sampingan untuk pelajar IPTA/ IPTS appeared first on Blog Sabree Hussin.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.sabreehussin.com/10-idea-jana-pendapatan-sampingan-untuk-pelajar-ipta-ipts/