10 Extension Google Chrome Yang Mesti Ada Untuk Pemasangan Baru
Ada beberapa extension atau addon yang sememangnya menjadi satu keperluan di mana saya tidak boleh meneruskan kerja tanpanya. Senarai ini adalah antara beberapa extension mesti ada pada mana-mana pelayar, sama ada yang berasaskan Chrome, atau Firefox. Namanya sama sahaja, cuma dalam artikel ini saya jadikan Chrome sebagai tapak pemasangan.
Berikut adalah extension yang saya maksudkan:
1. SmartAdBlock
Saya sudah tidak lagi menggunakan extension lain bagi tujuan menyekat iklan. SmartAdBlock ada kesemuanya yang diperlukan.
Ia akan menutup amaran untuk ‘cookies concern’, menyekat iklan pop naik, penjejak, dan ia juga akan melangkau pengesanan terhadap extension penyekat iklan bagi sesetengah laman yang mengimplementasikan ia.
2. AdBlocker for Gmail
Pun begitu, SmartAdBlock masih belum mampu untuk menyekat iklan yang berada dalam Gmail. Jadi, saya tambah AdBlocker for Gmail untuk bergandingan dengannya.
Seperti namanya itu, maka hanya itulah tujuan ia diciptakan. Ia akan menyekat ’embedded ads’ dalam Gmail dan anda hanya akan dapat lihat Gmail yang bersih dari sebarang pengiklanan.
Malangnya, kali terakhir extension ini dikemas kini adalah pada tahun 2018. Terpaksalah nampaknya kita gunakan ia sehingga ada pengganti lain yang lebih baik.
3. Bitwarden
Dalam pelbagai nama dan jenis pengurus kata laluan, hanya ini sahaja yang benar-benar serasi dengan saya. Saya pernah gunakan LastPass, tetapi lama kelamaan semakin kurang pula ciri yang saya rasakan penting.
Bitwarden pula hadir sebagai pengurus kata laluan bersumber terbuka, dan mempunyai paparan pemuka yang lebih mesra pengguna, lebih mudah difahami dan digunakan. Ia juga percuma, maka anda boleh gunakannya tanpa bimbangkan kekurangan yang disengajakan.
4. Buster
Tanpa Buster, tak lengkap rasanya. Buster ini ialah extension yang akan membantu anda melangkau captcha pada kebanyakan laman web. Ia akan menukar captcha dalam bentuk teka-teki kekotak kepada versi suara.
Selepas itu, ia akan membantu anda untuk selesaikan secara automatik. Anda tidak perlu buat apa-apa pun.
5. Dark Reader
Tema gelap dah jadi satu trend yang diikuti oleh pelbagai syarikat, organisasi, dan pembuat aplikasi. Sistem operasi seperti Windows, macOS, Linux, iOS dan Android juga mula memperkenalkan tema gelap masing-masing.
Tetapi pada pelayar dan laman web yang dilawati, belum tentu ianya gelap. Walaupun boleh ditetap melalui flags contohnya pada Chrome, atau about:config pada Firefox, saya tetap memilih Dark Reader kerana ianya semudah ABC.
Ada juga pilihan gaya gelap bagaimana yang anda mahu, oleh itu anda sendiri boleh menukar tetapan kegelapan yang lebih sesuai dengan jiwa anda.
6. Enhancer for YouTube
Saya memang penagih YouTube. Walaupun sudah langgan Netflix, saya langgan juga YouTube Premium untuk mendapatkan penstriman tanpa iklan (maaf, saya tidak menyokong YouTube Vanced kerana dengan YouTube Premium, kita masih lagi menyokong pencipta kandungan melalui bayaran yang dibuat).
Enhancer for YouTube akan mengubah pelbagai tetapan pada YouTube, termasuklah temanya. Saya lebih sukakan kombinasi berwarna hitam dan oren, oleh itu paparan YouTube saya diubah kepada sebegitu rupa.
Anda boleh terokai sendiri pelbagai tetapan yang ada padanya. Saya percaya anda juga akan suka.
7. Pushbullet
Sudah bertahun lamanya saya gunakan Pushbullet. Begitu mudah hendak menghantar nota, fail kecil, gambar, dan sebagainya lagi dari telefon ke komputer, serta komputer ke telefon.
Ia adalah medium penghubung paling mudah digunakan, dan tidak perlukan masa yang panjang untuk ditetapkan. Gunakan saja akaun Google untuk daftar masuk.
8. One-Click Reverse Image Search
Pada menu di pelayar Chrome, ia memberikan pengguna peluang untuk mencari gambar melalui Google Image Search. Tetapi bagaimana jika pengguna hendak cari melalui enjin carian lain pula?
One-Click Reverse Image Search sedia untuk membantu. Ia menyokong enjin carian Google, Bing, Yandex, TinEye, dan Baidu. Hanya perlu klik kanan dan pilih mana-mana enjin carian yang anda minati.
Saya sendiri lebih gemarkan Yandex untuk membuat carian gambar.
9. View Image & Download Image for Google
Sejak Google mengubah paparan pencarian imej/gambarnya, saya jadi ‘letih’. Nak tak nak, perlu lakukan sesuatu untuk menjadikan ia lengkap semula.
View Image & Download Image for Google ini akan menambah menu ‘View Image’ dan ‘Download Image’ pada hasil carian gambar di Google.
*Untuk sementara waktu, extension ini tidak dikemas kini dan tidak lagi berfungsi seperti biasa. Oleh itu, gantikan ia dengan extension View Image.
10. MindZip
Buat anda yang memang jenis pelupa, dan perlu sentiasa diingatkan kerana anda sedang belajar sesuatu, atau apa jua perkara yang anda ingin ingati, MindZip adalah pembantu terbaik untuk anda.
Saya sendiri gunakan MindZip untuk mengingati perkataan dari bahasa Mandarin yang sedang dipelajari sendiri.
Anda juga boleh lakukannya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/10-extension-google-chrome-yang-mesti-ada-untuk-pemasangan-baru/