10 Aktiviti Menarik Di Kuching Family Friendly
10+ Aktiviti Menarik di Kuching – Family Friendly!
Kuching adalah merupakan ibu negeri Sarawak dan destinasi yang kaya dengan budaya, alam semula jadi, serta keindahan landskap. Tidak ketinggalan juga, makanan tempatan dan minimum yang anda wajib cuba. Bandaraya ini menawarkan pelbagai pengalaman unik untuk para pengunjungnya.
Terdapat banyak perkara menyeronokkan yang anda boleh lakukan apabila berkunjung ke Kuching tidak kiralah anda datang bersendirian, bersama rakan atau seisi keluarga.
Dalam artikel ini, kami akan kongsikan 10+ aktiviti menarik di Kuching yang boleh dilakukan untuk menjadikan percutian anda satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
BACA JUGA: Bahasa Sarawak: Perkataan & Contoh Ayat
Senarai Tempat & Aktiviti Menarik di Kuching, Sarawak
1. Bersiar-siar di Kuching Waterfront
Kuching Waterfront adalah salah satu tempat yang paling popular dan meriah di Kuching. Apabila berkunjung ke sini, anda boleh pergi ke beberapa tarikan lain yang terletak berdekatan seperti Fort Margherita, Jambatan Darul Hana dan sebagainya.
Sumber: Google Review
Selain itu, waterfront juga tempat yang ideal untuk anda berjalan-jalan santai sambil menikmati pemandangan serta memerhati budaya tempatan dan merasai makanan tempatan Sarawak.
2. Mengenali Budaya Tempatan di Muzium Budaya Borneo
Untuk mengetahui lebih banyak info mengenai budaya tempatan Sarawak, anda boleh berkunjung ke Muzium Budaya Borneo yang terletak di tengah-tengah bandar Kuching.
Sumber: Borneo Cultures Museum
Muzium ini menawarkan pengalaman interaktif dan imersif yang membolehkan pengunjung menyelami kepelbagaian budaya, tradisi, dan cara hidup masyarakat pribumi Borneo. Tiket masuk adalah RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak dan warga emas.
Tips: Luangkan masa sekurang-kurangnya 2-3 jam untuk meneroka muzium ini sepenuhnya. Jangan lupa untuk mencuba aktiviti interaktif seperti memakai pakaian tradisional secara maya dan menyertai bengkel kraftangan yang ditawarkan.
3. Melawat Kampung Budaya Sarawak
Seterusnya, aktiviti menarik di Kuching yang anda boleh lakukan ialah melawat ke Kampung Budaya Sarawak. Ia terletak di kaki Gunung Santubong dan destinasi terbaik untuk mengenali budaya unik serta kepelbagaian etnik di Sarawak.
Sumber: Google Review
Di sini, anda boleh melihat dan masuk ke rumah-rumah tradisional pelbagai suku seperti Iban, Melanau, dan Orang Ulu yang lengkap dengan perincian autentik.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh menyaksikan demonstrasi seni kraf, menari menggunakan buluh, mencuba baju tradisional dan sebagainya. Ada banyak aktiviti interaktif yang anda boleh cuba di sini.
Sumber: Google Review
Bukan itu sahaja, terdapat juga sesi persembahan yang diadakan di dalam dewan teater mini pada masa tertentu. Sesi persembahan ni dah termasuk sekali dengan tiket masuk, jadi tak perlu bayar apa-apa untuk menonton persembahan.
Tips: Kawasan kampung ini luas, jadi pastikan anda memakai kasut yang sesuai untuk berjalan jauh. Kasut yang selesa akan memudahkan anda menerokai setiap rumah tradisional dan aktiviti lain.
4. Meneroka Taman Negara Bako
Taman Negara Bako di Sarawak adalah tempat yang sangat menarik untuk dilawati, terutamanya jika anda suka alam semula jadi.Di taman ini, anda boleh melihat monyet Proboscis yang unik, babi berjanggut, dan macam-macam lagi hidupan liar.
Selain itu, taman ini juga sesuai untuk mereka yang suka mendaki. Ada beberapa trek yang disediakan mengikut tahap. Sepanjang jalan, anda akan terserempak dengan pelbagai jenis haiwan dan tumbuhan yang menarik.
Sumber: Google Review
Jangan juga lupa untuk menikmati pemandangan pantai yang cantik dan formasi batu yang unik hasil hakisan selama berjuta-juta tahun. Unik sangat!
Untuk sampai ke sini, anda perlu naik bot kecil selama 20 minit dari Kampung Bako. Perjalanannya cukup menyeronokkan.
Tips: Jangan lupa pakai kasut yang selesa, air, dan sunscreen sebab cuaca boleh tahan panas. Sebaik pergi pada waktu pagi. Peluang tengok haiwan liar pun lebih tinggi pada waktu pagi. Bawa ubat nyamuk atau pakai insect repellent okay. Anda juga boleh menginap di chalet yang ada di Taman Bako sekiranya ingin merasai pengalaman bermalam di alam semulajadi.
5. Mengunjungi Muzium Negeri Sarawak
Mengunjungi Muzium Negeri Sarawak yang terletak di Kuching juga salah satu aktiviti menarik di Kuching yang boleh dilakukan oleh semua peringkat umur. Muzium ini merupakan muzium yang tertua di Borneo.. Ia ditubuhkan pada tahun 1888 oleh Charles Brooke, Raja Putih Sarawak yang kedua.
Di muzium ini, anda boleh menemui pelbagai koleksi menarik, termasuk artifak arkeologi, spesimen sejarah semula jadi, dan pameran etnografi yang menggambarkan kehidupan tradisional penduduk asli Sarawak.
Sumber: Google Review
Salah satu tarikan utamanya adalah koleksi binatang Borneo yang dikumpulkan oleh naturalis terkenal, Alfred Wallace. Muzium ini terletak berdekatan sahaja dengan Muzium Budaya Borneo.
Menariknya lagi, tiket masuk ke muzium ini adalah percuma. Anda boleh berkunjung ke sini dari Isnin hingga Jumaat antara pukul 9 pagi hingga 4:45 petang, atau pada hujung minggu dari pukul 10 pagi hingga 4 petang.
6. Tawar Menawar di Pasar Satok
Pasar Satok atau kini dikenali sebagai Medan Niaga Satok, adalah salah satu pasar paling terkenal di Kuching, Sarawak. Pasar ini terletak di Petra Jaya dan menjadi tumpuan penduduk tempatan sekaligus pelancong luar yang ingin merasai suasana pasar tradisional di Sarawak.
Sumber: Google Review
Terdapat pelbagai jenis barang dijual di pasar ini antaranya ialah hasil pertanian tempatan, makanan laut (ikan, udang, sotong semuanya segar-segara!). kraftangan tradisional, pakaian etnik, hingga makanan yang menggugah selera.
Antara keistimewaan Pasar Satok adalah, di sini, anda boleh menjumpai barangan unik yang sukar dijumpai di tempat lain. Contohnya seperti anyaman tradisional Dayak, kain batik Sarawak, produk rotan, serta pelbagai jenis produk tempatan yang autentik. Harga yang ditawarkan pula sangat berpatutan.
Tips: Untuk menikmati suasana pasar yang lebih meriah dan pilihan yang lebih banyak, anda disarankan untuk berkunjung ke Pasar Satok pada hujung minggu.
7. Mengunjungi Kubah National Park
Sekiranya anda sukakan aktiviti fizikal dan alam semulajadi, anda boleh berkunjung ke Kubah National Park yang terletak hanya 20 km dari pusat bandar Kuching. Taman ini terkenal dengan pelbagai spesies flora dan fauna, termasuk katak unik yang “bercahaya” pada waktu malam.
Sumber: Google Review
Di sini, anda boleh melakukan aktiviti mendaki, bermandi air terjun dan sebagainya. Laluan trekking di sini menawarkan pengalaman mendaki yang santai hingga mencabar dan membawa anda melalui hutan hujan lebat, air terjun seperti Air Terjun Rayu, dan kawasan penuh orkid liar.
Tempat ini juga popular untuk aktiviti birdwatching kerana terdapat pelbagai spesies burung eksotik yang ada di sini.
Sumber: Google Review
Kalau nak bermalam, anda boleh tempah chalet yang disediakan atau bawa khemah sendiri untuk didirikan kelak.
Tips: Sewa pemandu arah untuk pengalaman trekking yang lebih selamat.
8. Melawat Pusat Pemulihan Orang Utan Semenggoh
Nak tengok orang utan? Berkunjunglah ke Pusat Pemulihan Orang Utan Semenggoh. Pusat pemulihan ini sudah lama beroperasi. Sejak tahun 1975 lagi tau dan telah menjadi rumah kepada lebih 20 ekor orang utan separa liar.
Sumber: Google Review
Yang menarik tentang Pusat Pemulihan Orang Utan Semenggoh ni, kita boleh tengok orang utan yang dah dilepaskan ke hutan simpan seluas 653 hektar. Kadang-kadang mereka balik ke pusat untuk makan, terutamanya bila makanan dalam hutan kurang.
Ada dua sesi pemberian makanan setiap hari – pagi dari 9 hingga 10 pagi, dan petang dari 3 hingga 4 petang. Tapi ingat, tak semestinya kita akan nampak orang utan sebab mereka bebas bergerak dalam hutan.
Sumber: Google Review
Baru-baru ni pada awal 2022, Semenggoh dapat berita gembira bila tiga anak orang utan baru dilahirkan. Ini kali pertama dalam sejarah pusat ni ada tiga kelahiran dalam masa yang singkat macam tu. Memang seronok dengar berita macam ni sebab ia menunjukkan program pemulihan mereka berjaya.
Kalau nak pergi, senang je. Boleh naik teksi atau Grab dari Kuching. Tiket masuk pun tak mahal, dan ada buggy ride kalau tak nak jalan kaki. Lagi satu, selain tengok orang utan, di sini kita boleh belajar banyak tentang usaha pemuliharaan hidupan liar kat sini.
Jadi, kalau korang ada peluang ke Sarawak, jangan lupa singgah Pusat Pemulihan Orang Utan Semenggoh ni. Memang berbaloi!
9. Mendaki Gunung Santubong
Anda mesti pernah dengar cerita lagenda pasal Gunung Santubong kan? Hah, inilah masanya untuk anda mendaki gunung lagenda ini. Gunung setinggi 810 meter memang sesuai untuk mereka yang sukakan cabaran.
Sumber: AllTrails
Laluan mendaki di sini agak mencabar tapi memang berbaloi. Di hujung pendakian anda akan dapat melihat pemandangan hutan, pantai Santubong, dan Laut China Selatan. Sepanjang pendakian, anda berpeluang untuk melihat air terjun kecil, flora tropika, dan kalau bertuah, mungkin jumpa monyet atau haiwan lain.
Tips: Mulakan pendakian awal pagi untuk mengelakkan cuaca panas. Pastikan anda membawa bekalan air yang mencukupi, makanan ringan, dan pakaian yang sesuai. Adalah disarankan untuk menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong tempatan untuk pendakian yang lebih selamat.
10. Bersantai di Pantai Damai Sarawak
Bersantai di Pantai Damai di Sarawak juga salah satu aktiviti menarik di Kuching yang tidak boleh dilepaskan. Pantai Damai ini terletak berdekatan sahaja dengan Gunung Santubong.
Antara tarikan utama Pantai Damai termasuk aktiviti seperti melihat lumba-lumba di perairan Santubong, bersantai di pantai, melihat matahari terbenam dan sebagainya.
Sumber: Google Review
Sumber: Google Review
Pengunjung juga boleh menikmati resort mewah seperti Damai Beach Resort, yang menawarkan kemudahan seperti kolam renang, spa, dan aktiviti rekreasi.
Untuk sampai ke Pantai Damai, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan Grab dengan kos antara RM45-80 satu hala. Atau, anda juga boleh menyewa kereta untuk memudahkan perjalanan anda.
11. Singgah di Masjid Negeri Sarawak
Masjid Negeri Sarawak atau lebih dikenali sebagai Masjid Jamek Negeri Sarawak adalah salah satu ikon yang paling dikenali di Kuching. Dengan reka bentuk yang terinspirasi dari masjid-masjid di Istanbul, masjid ini mempunyai kubah utama yang megah serta 40 kubah kecil yang menambah keindahan seni bina.
Sumber: kontraktor kubah masjid
Salah satu ciri menarik tentang masjid ini adalah tiang-tiangnya yang unik, yang menyerupai kedudukan tangan ketika berdoa. Masjid ini boleh menampung sehingga 10,000 jemaah pada satu masa.
Selain itu, masjid ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dewan persidangan dan perpustakaan, menjadikannya pusat aktiviti sosial dan pendidikan yang aktif.
Suasana di sekitar masjid yang tenang dan pemandangan indah menjadikannya lokasi yang ideal untuk bersantai dan mengambil gambar. Jadi, jika anda berada di Kuching, jangan lupa singgah ke masjid ini.
12. Berkunjung ke Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh
Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh di Sarawak adalah salah satu tarikan pelancongan yang unik dan menarik. Sekiranya anda ingin merasai pengalaman budaya yang autentik dengan melawat rumah panjang Sarawak, ini adalah destinasi yang ideal.
Dibina pada tahun 1818, struktur rumah panjang ini telah wujud selama hampir 200 tahun dan masih kukuh sehingga kini.
Sumber: TripAdvisor
Yang menariknya, walaupun sudah lama ditubuhkan, Rumah Panjang Annah Rais bukan sekadar artifak sejarah yang statik. Ia masih merupakan komuniti yang hidup dengan kira-kira 150 pintu dan penduduk berjumlah sekitar 1,500 orang.
Pengunjung boleh melihat sendiri bagaimana kehidupan tradisional bercampur dengan kemodenan, di mana rumah panjang ini kini dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih.
Di sin juga anda boleh menyelami budaya Bidayuh, Rumah Panjang Annah Rais menawarkan pelbagai aktiviti menarik.
Anda boleh menikmati persembahan tarian tradisional, mencuba makanan tempatan seperti ayam buluh dan pakis liar, dan bahkan menginap di salah satu bilik homestay untuk pengalaman yang lebih menyeronokkan.
Tempah tiket masuk untuk mana-mana tarikan di Sarawak atau tour day melalui KLOOK untuk pengalaman percutian yang mudah dan penjimatan berganda.
Klook.com
Penutup
Kuching adalah destinasi yang menawarkan pelbagai pengalaman menarik, daripada keindahan alam semula jadi hingga warisan budaya yang kaya. Jom rancang percutian anda ke Kuching dan rasai sendiri keunikan bandar ini!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/aktiviti-menarik-di-kuching/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=aktiviti-menarik-di-kuching