Kanak Kanak 3 Tahun Jatuh Dari Tingkat 18 Ditemui Selamat
Berita luar biasa ini benar-benar menyentuh hati ramai ibu bapa. Seorang budak lelaki berusia 3 tahun jatuh dari tingkat 18, namun ditemui masih hidup dalam keadaan sedar. Insiden yang berlaku di Hangzhou, China pada 15 Julai lalu ini menjadi tular dan mendapat perhatian luas di media sosial bukan sahaja kerana kejadian yang mencemaskan, tetapi kerana pengakhiran yang sangat mengejutkan dan menyentuh hati.
Terjaga Dari Tidur, Panjat Tingkap
Menurut sumber, kejadian berlaku sewaktu mangsa ditinggalkan bersama datuk dan neneknya. Mereka keluar sebentar membeli barang dapur, dengan sangkaan bahawa cucu mereka sedang tidur lena. Sebagai langkah keselamatan, mereka mengunci pintu rumah.
Namun siapa sangka, si kecil itu terjaga, berjalan ke bilik air dan dipercayai memanjat ke tingkap melalui mangkuk tandas. Lebih membimbangkan, tingkap di rumah itu tidak mempunyai jeriji keselamatan, menjadikan situasi lebih berisiko.
Jatuh Dari Tingkat 18, Diselamatkan Pokok
Apa yang berlaku selepas itu ibarat satu keajaiban. Ketika jatuh, tubuh anak kecil ini terlanggar tingkap terbuka di tingkat 17, yang mengubah arah kejatuhan. Selepas itu, dia tersangkut pada sebatang pokok besar yang tumbuh berhampiran bangunan.
Pokok inilah yang menyerap impak kejatuhan dan menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu. Seorang penduduk yang sedang lalu di kawasan itu terlihat si kecil terbaring di tanah dan segera menghubungi pengurusan bangunan. Mangsa segera dibawa ke hospital untuk rawatan kecemasan.
Bunga merah menajdi simbolik penghormatan dan keraian menurut tradisi Cina- Foto South China Morning Post
Patah Tangan Tapi Kepala Tak Terjejas
Hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu mengalami patah tangan kiri, ketegangan tulang belakang dan kecederaan organ dalaman. Namun yang luar biasanya, otaknya tidak mengalami sebarang kecederaan! Satu keajaiban yang sukar dijelaskan dengan logik.
Doktor yang merawat menyifatkan insiden ini sebagai miracle atau keajaiban. Ketika sedar, si kecil sempat meminta ayahnya membelikannya mainan robot Bumblebee menunjukkan keadaan mental dan emosinya masih stabil.
Sebagai tanda syukur, si ayah yang dikenali sebagai Zhu menggantung bunga merah besar pada pokok yang menyelamatkan anaknya sebagai simbol penghargaan dan kehormatan dalam budaya masyarakat Cina.
Namun dalam masa yang sama, netizen mengecam kecuaian penjaga yang membiarkan tingkap tanpa jeriji serta meninggalkan kanak-kanak tanpa pemantauan rapi. Antara komen tular ialah:
“Jaga kucing pun orang tutup semua tingkap, apatah lagi anak.”
Keselamatan Anak Tak Boleh Dikompromi
Kisah budak 3 tahun jatuh dari tingkat 18 ini wajar dijadikan pengajaran besar buat semua ibu ayah, lebih-lebih lagi yang tinggal di kediaman bertingkat tinggi.
Berikut langkah keselamatan yang wajib dititikberatkan:
✅ Pasang jeriji keselamatan pada setiap tingkap dan balkoni.
✅ Elakkan letak perabot berhampiran tingkap – anak mudah panjat.
✅ Kunci bilik air dan ajar anak agar tidak bermain di dalamnya.
✅ Gunakan monitor bayi atau kamera keselamatan di rumah.
✅ Jangan tinggalkan anak kecil sendirian walaupun sekejap.
Sebagai ibu ayah, kita tidak mampu mengawal semua perkara, tetapi kita boleh mengurangkan risiko.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/kanak-kanak-3-tahun-jatuh-dari-tingkat-18-ditemui-selamat/