Doakan Yang Terbaik Buat Anak Saya Polis Ambil Keterangan Pihak Sekolah
Negara sekali lagi dikejutkan dengan insiden tragis melibatkan seorang pelajar yang terjatuh dari bangunan asrama sekolah. Hati ibu mana yang tidak luluh melihat keadaan anak yang terlantar tidak sedarkan diri.
Lantaran kejadian itu, polis kini membuka kertas siasatan berhubung kejadian pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata siasatan masih dijalankan dan beberapa individu telah dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk kakitangan sekolah.
Datuk Shazeli Kahar, Ketua Polis Selangor. – Gambar fail/BERNAMA
“Siasatan masih berterusan. Rakaman percakapan individu-individu juga telah diambil bagi membantu siasatan polis, termasuk daripada pihak sekolah,” katanya.
Menurut beliau, siasatan merangkumi pelbagai sudut, antaranya aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakan.
Katanya lagi, sebarang spekulasi mengenai punca kejadian, termasuk dakwaan unsur buli, masih terlalu awal untuk disahkan.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa dikenali sebagai Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, seorang pelajar aktif yang turut memegang jawatan dalam biro agama asrama. Mangsa mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan di bahagian kiri dan kanan otak, rahang patah serta paru-paru cedera berdasarkan hasil imbasan CT scan.
Bapa saudara mangsa, Muhammad Aidil Mansor, 34, memaklumkan keadaan anak saudaranya kini kritikal dan masih dalam pemantauan doktor.
“Anak saya masih dalam pemantauan doktor, keadaannya kritikal. Sekarang saya tidak mampu berkata-kata tetapi harapan kami biarlah dia selamat,” luah ibu mangsa dengan sebak.
Kejadian ini bukan sahaja meruntun hati keluarga mangsa, malah turut menjadi peringatan buat semua pihak agar aspek keselamatan, kesejahteraan serta kebajikan pelajar di asrama sentiasa diberi perhatian. Doa orang ramai kini mengiringi Ahmad Irfan agar terus kuat berjuang melawan saat getir ini.
Sumber: astroawani
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/doakan-yang-terbaik-buat-anak-saya-polis-ambil-keterangan-pihak-sekolah/