Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pnb Tan Sri Desa Pachi Meninggal Dunia
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Desa Pachi Meninggal Dunia
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif pertama Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Mohd Desa Pachi dilaporkan meninggal dunia pada Ahad.
Bagaimanapun, punca pemergian Allahyarham tidak dimaklumkan kepada orang ramai.
Menerusi hantaran Nik Hasyudeen di Facebook, Allahyarham Desa Pachi banyak berjasa kepada negara sepanjang hayatnya dan merupakan seorang yang berprofil rendah, namun memiliki pengaruh besar.
“Banyak kali ketika saya menghadiri Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA, saya akan bertemu dan bertegur sapa dengan beliau
“Walaupun sudah berusia, beliau tetap mengikuti perkembangan profesion perakaunan. Malah, dia merendah diri seperti tidak mahu orang kenal siapa dia,” kata beliau.
Allahyarham Desa Pachi merupakan antara anak Melayu yang dihantar ke Australia di bawah Pelan Colombo.
Melalui pelan ini, pihak Barat memilih anak-anak Melayu yang berpotensi untuk diberi biasiswa belajar di luar negara sehingga mencapai kejayaan dan kepakaran yang tinggi.
Seperti beberapa anak Melayu yang lain termasuk Jaafar Hussin, Kassim Sulong dan Azman Hashim, Desa Pachi lulus peperiksaan perakaunan profesional dan menjadi seorang Chartered Accountant.
Pernah menjadi CEO PNB yang pertama
Menurut Dr. Nurmazilah Mahzan, mantan CEO Institut Akauntan Malaysia, nombor keahlian Allahyarham Desa Pachi ialah 0004. Allahyarham adalah di antara orang terawal yang mendaftar dengan badan kawal selia berkenaan.
Akauntan muda ini kemudiannya berkhidmat dengan Shell di Malaysia dan kemudiannya menubuhkan firma perakaunan Desa Megat & Co yang menjadi asas kepada KPMG yang dikenali pada hari ini.
Allahyarham Desa Pachi telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Nasional Berhad (PNB) yang pertama.
Jawatan berkenaan bukannya mudah kerana mahu wujudkan sebuah institusi yang baharu. Cabarannya lagi tinggi apabila Pengerusinya pula ialah Tun Ismail Ali yang terkenal dengan integriti dan disiplin yang tinggi.
Setelah berkhidmat di PMB, Allahyarham terlibat dengan Fleet Group. Apabila Bank of Commerce dibangunkan oleh Fleet Group, Allahyarham menyertai kumpulan perbankan ini. Bank ini kini dikenali sebagai CIMB.
Seperti akauntan-akauntan generasi awal negara yang lain, Allahyarham terkenal dengan integritinya. Sukar untuk bekerja dengan Tun Ismail Ali jika tidak menepati kriteria tersebut
Malah, dalam Fleet Group yang mempunyai hubungan rapat dengan UMNO, integriti tetap menjadi keutamaan.
“Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa beliau, merahmati beliau dan memasukkan beliau di kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan diberikan kejayaan,” ujar hantaran itu lagi.
BACA: Lelaki Nazak Serahkan Wang Simpanan Kepada Bekas Teman Wanita
Sumber: Nik Hasyudeen via Facebook
The post Bekas Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Desa Pachi Meninggal Dunia appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/09/15/bekas-ketua-pegawai-eksekutif-pnb-tan-sri-desa-pachi-meninggal-dunia/