Yang Di Pertuan Agong Selesai Jalani Rawatan Keracunan Makanan Di Ijn
Kumara Sabapatty
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah AlMusta’in Billah telah selesai menjalani rawatan keracunan makanan dan intervensi di Institut Jantung Negara (IJN).
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda telah dinasihatkan oleh pakar perubatan IJN untuk menjalani rawatan susulan di institut tersebut.
Tambah beliau, rawatan keracunan makanan bermula apabila Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke IJN pada malam 21 September lalu.
“Rawatan intervensi pula dilakukan susulan penimejan MRI keesokan hari iaitu pada 22 September 2020 yang telah menunjukkan kecederaan yang telah dialami oleh Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.
“Seperti sedia maklum, Seri Paduka Baginda sangat aktif berkecimpung dalam beberapa jenis sukan, antaranya polo berkuda, bolasepak, skuasy, hoki dan golf.
“Rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah berlangsung dengan jayanya pada 24 September lalu dan Seri Paduka Baginda kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Fadil, YDPA telah dinasihatkan untuk menjalani rawatan susulan dengan pengawasan rapi pasukan Pakar Perubatan IJN.
Ujar beliau, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat pulang ke Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan itu.
Justeru jelas beliau, baginda amat tersentuh hati dengan keprihatinan rakyat terhadap keafiatannya dan menzahirkan penghargaan serta terima kasih kepada seluruh rakyat yang telah mendoakan kesejahteraan baginda.
Pada masa sama Ahmad Fadil berkata, baginda turut menasihati rakyat supaya menjaga kesihatan masing-masing dan sentiasa berwaspada serta mematuhi ketetapan oKerajaan dan tatacara kebiasaan baharu berikutan situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia yang kian meningkat.
“Al-Sultan Abdullah menzahirkan kebimbangan Seri Paduka Baginda atas jumlah kes positif Covid-19 yang naik secara mendadak ini yang mana sehingga 27 September 2020, terdapat 150 kes baharu yang telah dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,919 kes.
“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran Seri Paduka Baginda berikutan peningkatan kepada sebanyak 36 kes positif Covid-19 di Semenanjung Malaysia setelah kembali dari negeri Sabah, yang telah dikesan daripada 20 hingga 27 September, 2020.
“Kendati pun, seluruh rakyat turut diseru bersama-sama mendoakan semoga Al-Sultan Abdullah dikurniakan kesembuhan dengan segera dan kesihatan berpanjangan,” katanya.-MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/09/yang-di-pertuan-agong-selesai-jalani.html