Wan Fayhsal Dakwa Ada Yang Jual Buah Pinggang Sebab Tak Dapat Keluarkan Kwsp
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebelum ini membuat dakwaan penjualan buah pinggang pada sidang media di Parlimen semalam apabila mendesak kerajaan meluluskan satu lagi pusingan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Jika pengeluaran yang disasarkan (KWSP) tidak diluluskan, apakah cadangan kerajaan untuk membantu rakyat yang sedang bergelut, sehingga ada yang terpaksa menjual buah pinggang, atau berjalan kaki dari Johor ke Istana Negara,” katanya.
Ahli Parlimen Machang itu mendapat kecaman orang ramai selepas klip kenyataannya tular di media sosial.
Selain itu seorang doktor yang juga pakar dalam bidang pendermaan organ menyatakan rasa kesal dengan dakwaan Wan Fayhsal itu..
Dr Abdul Jabbar Ismail berkata sememangnya ada keluarga yang keberatan untuk menderma organ orang tersayang yang meninggal dunia kerana bimbang doktor hanya bekerja untuk sindiket penjualan organ.
"Terdapat stigma sebenar (untuk menderma organ). Mereka sudah banyak menderita kehilangan orang tersayang dan terpaksa berdepan dengan kami bertanyakan soalan seperti ini.
“Sebab itu saya katakan apabila ahli parlimen yang dipilih membuat kenyataan kebudak-budakan dan tidak bertanggungjawab seperti ini, ia akan menghalang usaha kami untuk membantu lebih 30,000 pesakit ESRF yang menjalani hemodialisis,” katanya dalam satu siri ciapan Twitter hari ini.
ESRF merujuk kepada kegagalan buah pinggang peringkat akhir, yang tidak boleh disembuhkan dengan hemodialisis dan hanya pemindahan organ untuk menggantikan buah pinggang yang rosak membolehkan pesakit menjalani kehidupan yang agak normal.
Jabbar menceritakan pengalamannya semasa berkhidmat sebagai penyelaras pendermaan organ di Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu Sabah dari 2019 hingga 2020.
Seperti kebanyakan orang lain, Jabbar menyatakan bahawa menjual organ adalah haram.
Dia juga berkata pemindahan haram akan menjadi sangat sukar untuk dijalankan.
“Amat sukar untuk melakukan pemindahan buah pinggang jika anda terpaksa melakukannya secara rahsia kerana perolehan dan pemindahan buah pinggang memerlukan pasukan yang besar.
“Perolehan, pengangkutan, mencegah kecederaan iskemia (masa iskemia) semasa pengangkutan,” katanya.
Melakukannya di hospital juga tidak boleh, katanya, kerana organ itu perlu berdaftar dengan Pusat Sumber Transplan Nasional.
Selanjutnya, katanya, penerima organ memerlukan pemeriksaan imunologi pemindahan, serta rawatan susulan sepanjang hayat dengan pakar nefrologi selepas pembedahan.
“Oleh itu, ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, ia juga mustahil untuk menjual organ di Malaysia. Adalah sangat tidak bertanggungjawab bagi ahli Parlimen yang dipilih untuk membuat kenyataan seperti itu,” katanya - Malaysiakini
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2023/04/wan-fayhsal-dakwa-ada-yang-jual-buah.html