Walau Pun Haid Tidak Datang Dalam Tempoh Menyusukan Bayi Tidak Bermakna Tidak Subur Hati Hati Mama
Mungkin ramai yang mengalami haid tidak datang selepas bersalin dan berlanjutan beberapa bulan semasa menyusukan si kecil. Walaupun haid tidak kunjung tiba, tidak bermakna mama tidak boleh hamil, hati-hati ye mama! Ada kes yang menyusu dan tidak datang haid tiba-tiba beberapa bulan kemudian rasa ada tendangan janin dalam rahim.
Keadaan ini normal dan banyak berlaku di kalangan ibu yang menyusukan bayi. Ini kerana hormon prolaktin yang dirembeskan menambah lagi pengeluaran susu ibu.
Namun, hormon prolaktin ini juga akan membuat haid tidak teratur atau “tidak datang” sama sekali. Proses di mana penyusuan ibu menyebabkan haid tidak datang dinamakan sebagai lactational amenorrhoea.
TIADA HAID DALAM TEMPOH MENYUSU TIDAK BERMAKNA MAMA TIDAK SUBUR
Ramai ibu menyangka lactational amenorhoea bererti “tidak subur” dan ibu tidak akan hamil ketika menyusukan bayi.
Ini sama sekali kurang tepat. Perlu difahami apabila bayi yang disusukan berusia kosong hingga enam bulan, 90% daripada wanita yang menyusukan anak secara eksklusif tidak hamil.
Tetapi apabila bayi berusia lebih dari enam bulan, peratus ini akan menurun. Dianggarkan hanya 10% sahaja ibu yang menyusukan bayi yang berusia lebih dari 12 bulan tidak akan hamil (melainkan mereka menggunakan cara-cara merancang yang lain).
TIDAK MENYUSUKAN BAYI TAPI HAID TIDAK KUNJUNG TIBA, INI MUNGKIN SEBABNYA
Jika anda tidak menyusukan anak secara eksklusif dan masih juga tidak didatangi haid, anda bolehlah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan untuk mengetahui puncanya.
Berikut adalah 6 sebab-sebab mengapa seseorang wanita itu tidak didatangi haid.
Mengandung.
Mengalami masalah hormon.
Masalah ovulasi yang belum berlaku.
Stres.
Kurang tidur.
Wanita yang terlalu kurus atau obes.
#1: KEMUNGKINAN HAMIL
Sebab utama tidak datang haid ialah mengandung. Mungkin anda terkejut tetapi ramai wanita yang menyusukan anak sering bertanya bilakah haid akan datang, tiba-tiba mereka merasa tendangan janin di dalam rahim.
Oleh itu, bagi ibu yang tidak didatangi haid disarankan melakukan ujian “urine pregnancy test” bagi menentukan sama ada hamil atau tidak.
#2: PCOS
Kemungkinan yang kedua ialah masalah hormon. Terdapat pelbagai jenis hormon di dalam tubuh wanita yang mengganggu kitaran haid.
Antaranya masalah hormon tiroid, Polycystic Ovarian Syndrome dan hyperprolaktinemia. Doktor yang merawat akan melakukan ujian bagi mengenal pasti masalah ini.
#3: TIDAK BERLAKU OVULASI
Haid tidak datang juga boleh disebabkan oleh kilang ovari yang belum mengalami ovulasi. Selepas melahirkan bayi, haid hanya akan datang semula jika berlakunya ovulasi. Adalah sukar untuk menentukan bila ovulasi akan berlaku. Tetapi bagi mereka yang menyusukan bayi, proses ovulasi ini mungkin akan berlaku lebih lambat.
#4: STRES
Masalah stres dari segi mental dan fizikal boleh menyebabkan darah haid tidak muncul tiba. Kurang tidur juga merupakan sejenis “stres” dan ini juga mempengaruhi kitaran haid kita.
#5: BERAT BADAN DAN KETIDAKSEIMBANGAN HORMON
Selain itu, masalah berat badan juga boleh mempengaruhi kehadiran haid dalam hidup seseorang wanita. Kadang kala masalah berat badan dan ketidakseimbangan hormon juga sering berkait dan menyebabkan haid tidak datang.
Misalnya, pesakit hypothyroid akan mengalami pertambahan berat badan dan mengalami masalah haid. Oleh itu dapatkan rawatan doktor jika anda mengalami mana-mana gejala-gejala yang tertera seperti di atas.
The post Walau Pun Haid Tidak Datang Dalam Tempoh Menyusukan Bayi, Tidak Bermakna Tidak Subur. Hati-Hati Mama! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://majalahpama.my/walau-pun-haid-tidak-datang-dalam-tempoh-menyusukan-bayi-tidak-bermakna-tidak-subur-hati-hati-mama/