Usah Tarawih Tergopoh Gapah
Oleh Mohd Shahrizal Nasir
RAMADAN adalah bulan umat Islam menggandakan ibadah. Ia bukan satu-satunya bulan ibadah kerana setiap umat Islam juga menunaikan ibadah pada bulan lain.
Namun istimewanya pada Ramadan, setiap amalan digandakan pahalanya yang tidak seperti pada bulan lain. Justeru, wajar pada Ramadan setiap umat Islam memperbanyakkan ibadah.
Keistimewaan Ramadan sebagai bulan untuk umat Islam menggandakan amal ibadah dijelaskan menerusi sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila Ramadan tiba, pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu.” (Muttafaq ‘alaih)
Imam Nawawi menjelaskan hadis terbabit dengan menukilkan pandangan Al-Qadi ‘Iyad yang mengatakan bahawa Ramadan dijadikan bulan istimewa oleh Allah SWT.
Terbukanya pintu syurga menzahirkan perkenan Allah dalam melancarkan urusan orang Islam melakukan pelbagai ketaatan pada Ramadan dengan ganjaran yang amat istimewa.
Justeru, peluang ketika masih berada dalam Ramadan ini tidak boleh dipersiakan.
Orang yang membiarkan Ramadan berlalu tanpa sebarang usaha untuk menggandakan ibadah akan termasuk dalam kalangan orang yang rugi.
Insafi keadaan orang yang rugi di akhirat nanti dan mereka menyesali perbuatan sendiri serta berharap supaya dapat hidup semula di dunia untuk beribadah kepada Allah.
Firman Allah bermaksud: “Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan (Allah) mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu), maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik, sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” (Surah as-Sajdah, ayat 12)
Bagaimanapun, dalam keadaan setiap orang dituntut menggandakan ibadah di bulan Ramadan, jangan ibadah dikerjakan secara tergesa-gesa. Cuba semak semula ibadah yang kita lakukan. Tanya pada diri sendiri, adakah ibadah terbabit dilakukan secara tertib atau sekadar buat.
Perkara ini perlu diperhalusi supaya ibadah yang akan terus dilakukan pada hari Ramadan berikutnya adalah amalan yang berkualiti.
Setiap ibadah seperti solat dan membaca al-Quran mensyaratkan supaya setiap orang berwuduk terlebih dahulu.
Maka wuduk perlu diambil dengan cara betul bagi menjamin penerimaan ibadah solat yang ingin ditunaikan.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak diterima solat orang yang berhadas sehingga dia berwuduk.” (Muttafaq ‘alaih)
Kita tidak boleh sekadar berwuduk, tetapi perlu memastikan perbuatan berwuduk diterima bagi memastikan solat kita diterima Allah.
Pendek kata, orang yang tidak betul ketika berwuduk menyebabkan solatnya tidak diterima. Adakah air mengenai seluruh muka ketika berwuduk? Adakah air sampai siku ketika membasuh tangan? Adakah terdapat benda pada anggota wuduk yang boleh menghalang air? Jangan tergopoh-gapah ketika berwuduk, pastikan air mengenai seluruh anggota wuduk.
Begitu juga ketika menunaikan solat malam. Mungkin ada orang yang menunaikan solat Tarawih secara berjemaah di rumah bersama keluarga, namun mereka menunaikan solat Maghrib secara bersendirian.
Ia tidak salah, tetapi orang Muslim perlu tahu perbezaan amalan wajib dan sunat serta pahala yang dikurniakan Allah yang pastinya berbeza.
Utamakan ibadah wajib dan jangan tinggalkan ibadah sunat pada Ramadan ini.
Solat Tarawih dilakukan secara dua rakaat sehingga menjadi bilangan lapan atau 20 rakaat, ia satu jumlah yang banyak.
Usah tergesa-gesa dalam melaksanakan solat Tarawih sehingga tiada tamakninah. Rasulullah bersabda maksudnya: “Sejahat-jahat pencuri adalah yang mencuri daripada solatnya.” Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana mencuri daripada solat?” Rasulullah bersabda: “Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Firman Allah bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…” (Surah al-Baqarah, ayat 185).
Ramadan ialah bulan latihan untuk melatih diri. Ibadah dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah serta menjadikan ibadah terbabit amalan rutin pada bulan mendatang.
Penulis adalah pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/05/05/usah-tarawih-solat-tergopoh-gapah/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=usah-tarawih-solat-tergopoh-gapah