Usah Sesekali Termakan Budi Jika Umno Tak Mahu Tergadai Body
Kata bidalan moden selalu mengingatkan – jangan termakan budi, nanti tergadai ‘body’.
Walaupun kata bidalan di atas lebih dimaksudkan kepada anak-anak gadis agar berhati-hati selalu dalam menempuhi pergaulan kehidupan mereka, tetapi adalah suatu hakikat yang global bahawa budi yang diberi memang memerlukan balasannya.
Dalam apa juga aktiviti kehidupan atau pergaulan di seluruh dunia, itulah lumrahnya.
Dalam konteks PN, khususnya Bersatu dan Pas yang masih tak henti-henti menagih kerjasama daripada UMNO dalam menghadapi PRN Melaka, ia sebenarnya bukanlah percuma.
Mereka mahukan kerjasama itu semata-mata untuk memerangkap UMNO supaya terus bersama mereka, seterusnya memastikan nyawa politik dan keseronokan menikmati jawatan dalam kerajaan tidak terlepas daripada genggaman.
Kerjasama yang diharapkan dapat dibentuk di Melaka adalah permulaan kepada jalinan hubungan yang berterusan dalam sehingga PRU15 akan datang.
Bermula dengan UMNO sedia bertolak ansur memberi kerusi kepada Bersatu dan Pas di PRN Melaka, kedua-dua parti itu nantinya akan terus menuntut jumlah kerusi lagi dalam PRY15 dalam konteks kerjasama sedia ada.
Khususnya kerusi-kerusi yang dituntut atau diharap sedia ditolak ansur oleh UMNO itu tentunya ialah kerusi yang sedang diduduki oleh Geng Hamzah Zainuddin dalam Bersatu sekarang.
Jika BN dengan kerjasama PN berjaya menang di Melaka, merekalah nanti yang paling awal mendabik dada mengatakan kemenangan itu adalah atas kerjasama yang mereka berikan.
Akhirnya, UMNO akan terus dipaksa tunduk kepada kemahuan serta nafsu kedua-dua parti itu.
Kalau UMNO kalah pula di Melaka, mereka akan tampil dengan hujah bahawa kerjasama yang telah dibentuk itu mesti diperkukuh dan diperkuatkan lagi supaya sama-sama tidak kecundang dalam PRU15.
Sudahnya, sekali lagi UMNO akan dipaksa tunduk untuk terus bekerjasama yang natijahnya hanya menguntungkan mereka, khususnya Bersatu yang tiada kekuatan akar umbi itu.
Makna kata, UMNO dan BN jangan sesekali terperangkap atau membiarkan diri mereka termakan budi PN yang bermula di PRN Melaka ini.
Memang sekarang ini PN cuba melontarkan pelbagai hujah untuk mewajarkan kerjasama itu, termasuk kononnya demi kepentingan ummah, kekuatan politik Melayu Islam dan sebagainya, namun semuanya tidak lebih hanyalah kata-kata manis “sang buaya untuk memastikan anak dara masuk ke perangkapnya” saja.
Di Melaka, dengan ada 19 kawasan majoriti Melayu daripada 28 kawasan keseluruhannya yang mana UMNO lebih berpotensi untuk memenanginya.
Sebaliknya, Bersatu dan Pas atas tiket PN, tidak terlihat sama sekali potensi untuk menang walau satu kerusi pun.
Seorang pemimpin Bersatu yang berasal daripada Melaka tanpa ragu-ragu berkata, DUN Paya Rumput dan Telok Mas yang dimenangi parti itu pada PRU14 lalu atas tiket PH menggunakan logo PKR juga bakal terlepas dalam PRN 20 November ini.
Realitinya, kerjasama Bersatu dan Pas semata-mata tidak mampu untuk PN memenangi dua kerusi tersebut.
Dengan kata mudah, jika UMNO boleh menang bersendirian atas tiket BN, buat apa mereka mahu berkongsi kerusi dengan Bersatu dan Pas yang bukan hanya ingin menumpang, malah memerangkap untuk menagih lebih banyak kerusi dalam PRU15 nanti?
Kepada UMNO, jangan sesekali termakan budi jika tidak mahu tergadai “body”. – ShahbudinHusin 26/10/2021.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/10/usah-sesekali-termakan-budi-jika-umno.html