Uptown Puchong Terbakar 200 Kedai Musnah
Bernama
Foto Media Sosial.
PUCHONG – Kira-kira 200 lot kedai bazar larut malam, Uptown Puchong Permai, di Jalan Puchong Permai di sini musnah dalam satu kebakaran pagi tadi dengan nilai kerugian dianggar mencecah RM1 juta
Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norizham Mohd Nudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.58 pagi dan 40 pegawai serta anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Serdang, Kota Anggerik dan Petaling Jaya digegaskan ke lokasi
“Kebakaran dapat dikawal kira-kira sejam kemudian dan siasatan awal mendapati api bermula dari bahagian tengah,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian
Menurutnya kebakaran melibatkan 200 lot kedai dengan 80 daripadanya aktif menjalankan perniagaan
Sementara itu, Pegawai Operasi Pentadbiran bazar berkenaan, Abdul Rahim Shah berkata kebanyakan peniaga di situ beroperasi sejak 2011 dan bazar dibuka setiap hari bermula 8.30 malam hingga 1 pagi
“Pelbagai jenis perniagaan dijalankan di bazar ini dan dianggarkan kerugian yang ditanggung oleh peniaga terbabit mencecah RM1 juta,” katanya menambah setiap lot disewakan pada kadar RM300 sebulan
Peniaga, Siti Zuraidah Bakar berkata, beliau yang menjalankan perniagaan produk kecantikan dan kesihatan di bazar berkenaan tiga bulan lepas kerugian kira-kira RM20,000
“Saya tidak tahu macam mana lepas ini, harap wakil rakyat dapat bantu, saya dah hubungi vendor produk dan memaklumkan kerugian berkenaan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian
Menceritakan detik cemas itu, Siti Zuraidah, 37 berkata ketika kejadian, beliau berada di sebuah lagi kedai miliknya yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian
“Saya mula ingat rumah pangsapuri di uptown terbakar sebelum ada pelanggan yang maklumkan uptown yang terbakar… saya terus berlari ke sini dan semuanya sudah musnah,” katanya
Turut hadir meninjau lokasi kejadian ialah Senator R Suresh Singh yang mewakili Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud
Dr Siti Mariah ketika ditemui pemberita, berkata beliau akan membantu peniaga bazar berkenaan dengan mencari tapak perniagaan sementara untuk mereka
“Kita akan berbincang tindakan lanjut dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya dalam masa terdekat kerana bazar ini tidak dapat kebenaran merancang,” katanya. – BERNAMA
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/02/uptown-puchong-terbakar-200-kedai-musnah.html