Upin Ipin Kian Hebat
Amirul Haswendy Ashari
Selepas 10 tahun, kembar animasi nombor satu Malaysia, Upin & Ipin kembali ke layar perak melalui judul Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bermula 21 Mac ini
Ramai memuji keunikan filem kali ini yang disifatkan lebih kemas, terperinci dan idea yang ‘di luar kotak’
Malah, Menteri Pendidikan, Dr Maszle Malik, menyifatkan Upin & Ipin boleh menjadi ejen kesusasteraan Melayu berikutan banyak elemen berkaitan Melayu dalam filem animasi ini
Mengulas mengenai pujian yang diterima, Produser Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi, berkata ia tidak akan berlaku sekiranya mereka tidak mencabar diri
“Saya minta pasukan produksi meletak penanda aras dan untuk itu, mereka mesti tekankan aspek teknikal terlebih dulu
“Semua karya Les’ Copaque mesti asli dan kita cuba ketengahkan budaya serta cerita kita ke dalamnya
“Dari segi teknikal, saya cabar pasukan produksi, kalau filem Star Wars boleh mengeluarkan ‘benda-benda’ pelik, kenapa kita tidak boleh berimaginasi menggunakan persekitaran kita dan inilah hasilnya,” kata Burhanuddin
Dia mengakui ia bukan perkara mudah dan disebabkan itu, filem berkos RM20 juta ini mengambil masa lima tahun untuk dihasilkan
Malah, dia mendedahkan ada babak yang sudah siap lebih awal diubah semata-mata tidak mencapai piawaian diinginkan
BURHANUDDIN cabar pasukan produksinya hasilkan filem animasi setaraf Hollywood. FOTO Saifullizan Tamadi. Antara pengalaman dilalui, mengubah lebih 80 kali untuk babak tertentu sehingga ada antara 200 tenaga produksi hampir putus asa dan mahu berhenti kerja
Dia berharap Upin & Ipin menembusi pasaran global dan mengangkat animasi Malaysia sekali gus menghasilkan ‘magis’ seperti yang dihasilkan industri Hollywood
“Saya bangga Disney Asia Tenggara menghantar ucapan tahniah kepada kami,” katanya gembira
Bercakap mengenai pasaran luar negara, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal sudah menjalani proses alih suara ke bahasa Inggeris di Los Angeles, Amerika Syarikat, minggu lalu
Menurut Burhanuddin, ia sebahagian daripada rancangan syarikatnya untuk menjual filem itu ke seluruh dunia
“Selepas ini, kita akan buat bahasa Mandarin pula dan saya diberitahu filem ini akan memasuki pasaran Taiwan dan diikuti China
“Tidak dinafikan ramai berpendapat mengekalkan penggunaan Bahasa Melayu lebih menarik dengan pertambahan sari kata bahasa asing
“Namun, kalau filem hendak dibawa ke China, tidak semua penonton kanak-kanak akan menonton dan membaca sari kata,” katanya
UPIN & Ipin: Keris Siamang Tunggal digarap tiga pengarah muda berbakat besar (dari kiri) Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim, Ahmad Razuri Roseli dan Adam Amiruddin. FOTO Saifullizan Tamadi. Disebabkan itu juga, jenaka yang diketengahkan dalam filem ini bersifat komedi fizikal dan pergerakan kerana sukar menyuntik elemen komedi dalam bentuk dialog
Pengarah satu, Adam Aminuddin berkata, alih bahasa perlu dilakukan untuk memperkenalkan watak
“Buat masa ini, tidak boleh terlalu drastik. Apabila penonton sudah kenal watak barulah kita boleh kekalkan bahasa Melayu,” kata Adam yang juga pengarah siri animasi Upin & Ipin
Pengarah dua, Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim yang pernah mengarah siri animasi Puteri, turut berpendapat sama
“Contohnya, kalau alih bahasa ke bahasa Mandarin, ia sebagai mukadimah untuk mereka tertarik dan cari sumber asal filem ini
“Apabila sudah berminat, mereka akan cuba mengenali. Buat masa ini, kita perlu raih perhatian mereka terlebih dulu,” katanya
ANTARA babak menarik dalam Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal. Dalam pada itu, Burhanuddin juga mendedahkan berdepan cabaran besar untuk masuk ke pasaran Indonesia
Umum tahu Upin & Ipin sangat dikenali di negara jiran itu selain daripada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza pada era ini
“Indonesia mempunyai ‘circuit’ paling besar dikenali sebagai ‘circuit 21’ dan beberapa panggung kecil, tapi untuk ‘circuit 21’ ini terdapat di seluruh negara jiran itu
“Panggung ini sukar melepaskan filem kita kecuali filem dari Hollywood atau mereka sendiri
“Kami usahakan juga dan dua bulan lalu mereka bersetuju untuk menayangkan filem ini di semua ‘circuit’ itu,” katanya
Dia berkata, pada masa ini syarikatnya hanya menunggu tarikh dan kalau berjaya, filem ini akan mencipta sejarah apabila menjadi karya tempatan pertama ditayangkan di seluruh panggung utama Indonesia
ANTARA babak menarik dalam Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal. Cabaran dan peluang pelakon Pelakon remaja yang membawa suara watak Upin & Ipin, Asyiela Putri Azhar mengakui filem ada cabaran tersendiri berbanding siri TV
“Kalau untuk siri, ia lebih ‘natural’ kerana sudah selesa dengan situasi di kampung tapi filem berbeza kerana Upin & Ipin masuk dunia baharu
“Saya sendiri tidak tahu dunia itu bagaimana dan banyak emosi tambahan seperti takut perlu diterjemahkan dengan cara berbeza,” katanya
Penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri pula mendapat peluang memegang watak Bawang Merah dan Bawang Putih secara tiba-tiba
“Saya sebenarnya datang ke studio untuk merekod lagu runut filem ini berjudul Buai Laju-Laju
“Selepas itu, saya ditanya jika berminat untuk membawa watak Bawang Merah, lalu mencubanya dan tak sangka pihak produksi suka
“Saya kemudian ditawarkan pula watak Bawang Putih dan ternyata mereka juga menyukainya,” kata Ernie
Penyanyi Brunei, Fakhrul Razi turut melalui situasi serupa dengan Ernie apabila awalnya ditawarkan menyanyi lagu tema berjudul Keris Sakti
“Saya dipanggil Puan Ainon (pengarah kreatif) untuk menyanyikan lagu runut kerana selepas saya tular di India tahun lalu, dia mahu penyanyi yang boleh bawa lenggok Bollywood
“Saya sekadar cuba nasib dan tak sangka diberi peluang bawa watak Nakhoda Ragam,” katanya
FAKHRUL selain penyanyi turut juga pelakon suara. FOTO Saifullizan Tamadi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/upin-ipin-kian-hebat.html