Umno Sudah Boleh Lupakan Pas Hatinya Kini Melekat Pada Pn Dan Bukan Lagi Mn
Dua hari lalu, Muhyiddin Yassin memaklumkan mengenai mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikannya secara sidang video.
Kehadiran pemimpin lain yang dimaklumkan beliau dalam mesyuarat tersebut adalah seperti berikut:-
1. Hadi Awang – Timbalan Pengerusi
2. Dr. Jeffrey Kitingan – Timbalan Pengerusi
3. Yong Teck Lee – Timbalan Pengerusi
4. Ahmad Faizal Azumu – Timbalan Pengerusi
Turut hadir ialah:-
⁃ Hamzah Zainuddin – Setiausaha Agung
⁃ Azmin Ali – Ketua Penerangan
⁃ Ahmad Shamsuri Mokhtar – Bendahari Agung
⁃ Rina Harun – Ketua Wanita
⁃ Ir. Khairil Nizam Khirudin – Ketua Pemuda
⁃ Takiyuddin Hassan – Ahli MT
⁃ Dr. Ronald Kiandee – Ahli MT
⁃ Guan Dee bin Koh Hoi – Ahli MT
Secara tidak langsung, melalui hebahan yang diumumkan oleh Muhyiddin ini, PN sudah pun mempunyai struktur kepimpinannya yang sah dan hampir lengkap sekarang ini.
Struktur kepimpinan itu jelas melibatkan Pas yang sebelum ini diketahui umum sudah menjalin permuafakatan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional atau MN.
Begitu pun, MN tidak pernah mewujudkan barisan kepimpinannya, malah persetujuan untuk mendaftarkan gabungan itu baru saja diputuskan lebih kurang sebulan yang lalu.
Yang jelas, Pas kini sudah sah melekat hatinya bersama PN dan barangkali hanya menunggu masa yang sesuai saja untuk memutuskan pertunangan secara rasmi dengan UMNO dalam mahligai impian MN yang hanya bertahan lebih kurang setahun lamanya.
Tentulah tidak mungkin, setelah berada dalam barisan kepimpinan PN, Pas mahu berada pula di dalam MN bersama UMNO.
Berikutan mesyuarat MT PN pada 9 November itu juga, Hamzah kemudian memaklumkan di laman sosialnya mengenai persetujuan menubuhkan Badan Perhubungan Negeri-Negeri dan perlantikan Azmin sebagai Pengarah Pilihanraya.
Perlantikan Pengerusi Perhubungan Negeri-Negeri itu, jelas Hamzah akan dilakukan oleh Muhyiddin selaku Pengerusi PN.
Kata beliau, langkah itu bertujuan memperkasa gerak kerja parti di peringkat akar umbi secara menyeluruh dan untuk mengukuhkan kedudukan PN sebagai peneraju kerajaan.
Yang perlu difahami dengan mengumumkan menubuhkan Badan Perhubungan Negeri-Negeri ini, sudah pasti pemimpin Pas akan dilantik mengetuai beberapa negeri, antaranya Kelantan, Terengganu, Kedah dan mungkin juga Pahang serta Perlis.
Dengan perlantikan tersebut dijangka akan dilakukan Muhyiddin dalam waktu terdekat ini, bererti hubingan Pas dengan UMNO dalam MN akan semakin menjauh seperti kian hilangnya perasaan kasih seseorang setelah bertemu kekasih lain yang lebih berharta dan boleh memberi kemewahan kepadanya.
Itulah dunia – dalam banyak perkara, penentunya kesetiaan ialah keselesaan, kedudukan, jawatan serta wang.
Dalam senario ini di mana UMNO tidak mampu lagi memberi apa-apa kepada Pas sebagaimana era Najib Razak dahulu, untuk mengekalkan dominasinya sebagai parti Melayu, UMNO tiada pilihan lain lagi selain perlu meninggalkan Pas dan anggap saja MN sebagai mahligai angan-angan yang sudah pun musnah.
UMNO perlu kembali kepada realiti dengan mengukuhkan dirinya sendiri bersama rakan-rakan komponen BN bagi menghadapi PRU15 akan datang.
Pas ternyata bukanlah pasangan setia yang kesetiaannya boleh diharap berpanjangan, setelah biasa kawan cerai, kawin cerai sebelum ini, kesukaan itu nampaknya terus menjadi amalan serta gaya perjuangannya.
Tidak guna lagi UMNO bergantung harap atau menaruh harapan kepada Pas – segala-galanya kini telah berakhir.
Kalau mahu berunding soal pembahagian kerusi pun, UMNO tetap akan kalah kerana selepas ini perundingan tentu saja perlu melibatkan UMNO atau BN dengan PN, bukan lagi dengan Bersatu atau Pas secara sendirian.
Dalam situasi di mana PN sudah ada struktur kepimpinan dan Pas sah bersama dengannya, gabungan itu kini mempunyai 50 kerusi Parlimen (31+18+1) berbanding BN hanya ada 43 kerusi.
Maka, PN dengan sendirinya mempunyai kedudukan yang lebih untuk menekan UMNO dan BN agar lebih bertolerasi, terutama bersedia menyerahkan kerusi-kerusi tertentu kepada Geng Hamzah dan Geng Azmin.
Akhirnya, UMNO akan terus berada di lapisan kedua di belakang PN dalam pembahagian kerusi untuk PRU15, sekaligus memungkinkan masa depan Zahid Hamidi dan Najib menjadi lebih gelap sekiranya Muhyiddin terus kekal lagi sebagai Perdana Menteri.
Hanya berjuang sendiri, bangun sendiri dan guna kekuatan sendiri bersama BN saja yang mampu membolehkan UMNO kembali tegak berdiri seperti sebelum ini.
(Shahbudindotcom 11/11/2020)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/11/umno-sudah-boleh-lupakan-pashatinya.html