Umno Sabah Lumpuh 13 Wakil Rakyat Pemimpin Kanan Keluar Parti
Durie Rainer Fong
-December 12, 2018 2:27 PM
Hajiji Md Noor (tengah) bercakap kepada media sambil ditemani Adun Karanaan, Masidi Manjun (kiri) dan Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee (kanan).
KOTA KINABALU: Umno Sabah kini lumpuh apabila Pengerusinya, Datuk Hajiji Mohd Noor bersama sekumpulan wakil rakyat dan ketua bahagian meninggalkan parti itu untuk menjadi ahli politik bebas.
Hajiji berkata, keputusan meninggalkan Umno itu dibuat secara sebulat suara.
“Malangnya, Umno kini kembali seperti dahulu. Kepimpinan sedia ada tidak mempunyai arah tuju politik yang jelas,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
“Kami tidak pasti ke mana hala tuju Umno. Ada kenyataan bercanggah tentang masa depannya, bergantung kepada siapa di pucuk pimpinan yang anda bercakap dengannya.”
Mereka yang keluar parti itu terdiri daripada 9 Adun, 4 ahli Parlimen, 2 senator dan 21 ketua bahagian Umno Sabah.
Kumpulan bekas pemimpin kanan Umno Sabah ini menyokong kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
Adun itu termasuk Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Matbali Musah (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).
Empat ahli Parlimen adalah Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), manakala 2 senator ialah Datuk John Ambrose yang juga Ketua Umno Bahagian Penampang serta Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang mengetuai Umno Bahagian Pensiangan.
Kebanyakan pemimpin kanan dan ahli Jawatankuasa Umno Sabah menghadiri sidang media itu, termasuk Ketua Penerangan Umno negeri, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Bagaimanapun, bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak kelihatan.
Hajiji berkata, anak Musa yang juga Ahli Parlimen Sipitang, Hafez Yamani Musa yang belum mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, turut menyuarakan hasrat keluar Umno untuk bersama kumpulan terbabit.
Hajiji berkata, kumpulan pemimpin itu kini menyokong kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Sabah yang diterajui Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2018/12/umno-sabah-lumpuh-13-wakil-rakyat.html