Umno Mula Berpecah Dua
Umno mula berpecah dua?Posted By: Pentadbiron: December 15, 2018 Print EmailTindakan keluar parti 17 ahli Parlimen Umno setakat semalam memaksa ahli-ahlinya di akar umbi merenung untung nasib parti mereka dalam landskap politik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).Ada dua golongan ahli Umno sekarang: Pertama, mereka yang sudah cemas dan tawar hati untuk terus bersama Umno, jelak melihat parti yang terumbang ambing atau tidak sedia berubah, ditokok dengan kepimpinan yang lemah.Kedua, orang seperti Ketua Pemuda Bahagian Jerai, Khairul Nizam Mohamad Rozi yang juga kecewa tetapi mahu kekal dalam Umno – asalkan presidennya Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai langkah pertama untuk parti pulih semula.Khairul Nizam mahu Umno menjadi parti pembangkang yang kuat, bukannya parti yang merangkak meminta bantuan sokongan daripada parti lain, baik PAS mahupun Pakatan Harapan.Beliau percaya pemimpin yang keluar Umno setakat ini tidak membawa ahli bersama mereka.“Kita yang hilang ahli Parlimen masih lagi kuat. Orang kampung masih lagi darah Umno, tak akan pergi mana,” katanya.Umno semalam hilang enam lagi ahli Parlimen yang keluar parti jadi wakil rakyat bebas, menjadikannya sekarang hanya ada 37 wakil rakyat di Parlimen daripada 54 kerusi yang dimenangi semasa PRU14. Ditambah tiga kerusi MCA dan MIC, Barisan Nasional ada 40 ahli Parlimen.Seorang lagi ahli veteran Umno, Badarudin Osman dari Shah Alam berkata, beliau tidak akan meninggalkan parti itu.“Ahli Parlimen dan ketua bahagian boleh keluar. Saya tetap dengan Umno. Umno bukan salah, pemimpinnya yang salah,” kata ahli Umno sejak 30 tahun lalu itu.Mereka yang mahu terus bersama parti itu percaya Umno akan terus bernafas namun kepimpinannya mesti diubah, bermula dengan presiden parti.Pemimpin kanan Umno Johor, Mohd Puad Zarkashi berkata, Umno parti akar umbi dan untung nasibnya ditentukan oleh ahli akar umbi.Beliau yakin Umno akan dapat mengharungi satu lagi episod penuh cabaran sekarang.Pada 1988, selepas Umno diharamkan rentetan pemilihan parti, Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Semangat 46 dan membawa pemimpin dan ahli Umno bersama.Pada 1998, selepas pemecatannya daripada kerajaan dan Umno, Anwar Ibrahim juga melakukan perkara sama apabila mengasaskan parti (sekarang) PKR tetapi dengan bilangan ahli lebih kecil.“Umno tak mati walaupun melalui perpecahan ini kerana kita parti yang berasaskan akar umbi. Pemimpin keluar masuk tapi akar umbi tetap bersama Umno,” katanya, merujuk kepada episod perpecahan dalam Umno pada akhir 1980-an dan akhir 1990-an itu.Beliau juga menarik perhatian Bersatu pun ditubuhkan oleh bekas pemimpin Umno diketuai bekas presidennya Dr Mahathir Mohamad, yang juga perdana menteri.“Umno akan bangkit semula daripada akar umbi ini,” tambahnya.Namun kebangkitan Umno hanya boleh berlaku bukan di bawah kepimpinan Zahid, kata Khairul Nizam.“Semua ahli saya jumpa kata Zahid baik berundur,” katanya.Badaruddin juga senada. Katanya, Zahid tidak memberikan hala tuju yang Umno perlukan.“Dia menang (pemilihan parti) kerana tak ada pemimpin lain yang sesuai. Tapi memang nampak dia tak ada kekuatan dia sendiri,” katanya.Pemimpin Umno Pahang Sharkar Shamsuddin juga berpendapat Zahid perlu mendengar tuntutan akar umbi untuk Umno pulih semula.“Kita kena letak parti dulu. Semua perjuangan memerlukan pengorbanan.”
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2018/12/umno-mula-berpecah-dua.html