Ulasan Kecelakaan Filem Bodek
Izzuddin Ismail, Malaysiakini
Anuar Nor Arai pernah berkuliah bahawa terdapat lapan metanarratives utama dalam sejarah dan perkembangan penulisan kreatif bagi skrip filem atau teater.
Bagi menjadikannya sebuah karya yang baik ia wajib digarap dengan story telling yang menarik.
Metanarratives yang dikuliah itu adalah bertemakan kelahiran, kematian, kesetiaan, pengkhianatan, kejatuhan, kebangkitan, kesedihan dan kebahagiaan.
Namun pada tahun 2023, setelah menonton filem kisah tersembunyi seorang politikus mata lebam mengangkat tangan, saya yakin pandangan, kajian dan penyelidikan arwah Anuar Nor Arai yang juga pengarah Johnny Bikin Filem dan seorang sarjana filem berbangsa Melayu lulusan University of Southern California Los Angeles ini tidak lengkap.
Sama ada arwah terlepas pandang, ‘tak ambil pot’ atau sengaja menafikan, arwah ini terlepas satu lagi metanarrative iaitu pengampuan dan pembodekan.
Filem ‘perjuangan’ seorang politikus di negara ini sebenarnya tidak lebih dari sebuah kempen politik yang mengampu dan membodek.
Dari poster, visual, gastura, postura, lakonan, dialog, set dan props malahan tatarias pada filem ini segalanya mengampu dan membodek.
Tema kesedihan yang dibawa hanya membuai realiti.
Sayang seribu kali sayang, subjek yang sepatutnya menjadi sebuah kisah epik akhirnya terkulai menjadi kempen politik yang mengampu dan membodek yang melankolia.
Filem ini klise. Filem ini tidak estetik, tidak juga propagandik. Skrip, pengarahan dan plot yang lemah dalam filem ini menjadikan ia kempen politik yang lesu.
Filem yang berbelanja besar ini gagal diangkat menjadi sebuah propaganda yang berkesan.
Kebosanan dan kekurangan idea dalam filem ini dapat dirasai dengan jelas sehinggakan jika memejam mata pun kita dapat tahu ia kempen politik mengampu dan membodek.
Plot yang mendatar serta konflik yang terjangka menyebabkan penonton dapat menjangkakan pengakhiranya.
Kelemahan terbesar dalam filem ini ialah kegagalan pengarah menterjemahkan naskah menepati citra politik Malaysia.
Kempen politik
Tidak menjadi salah atau masalah sekiranya sesebuah filem itu mahu dijadikan kempen politik. Malah ini adalah tindakan yang wajar dilakukan bahkan ia satu pendekatan politik yang menarik.
Tetapi yang menyebabkan penonton menjadi kritis terhadap filem ini adalah kerana pemilihan subjek utamanya.
Dalam dunia nyata, watak protagonis filem ini telah pun menjadi ketua pentadbiran negara.
Segala kuasa berada dalam tangannya, segala keputusan berada di benaknya dan dengan dasar pentadbiran, pelaksanaan dan pendekatan yang meracau dan keadaan ekonomi yang mencengkam pastinya nilai estetik perjuangan atau perlawanan pada filem ini menjadi lesu, lembik dan tidak bermakna.
Kesedihan, keperitan dan slogan dalam filem itu sepatutnya diterjemahkan dalam pentadbirannya hari ini. Malangnya tidak dilakukan.
Pastinya setiap penerbit filem, teater atau drama mempunyai motifnya yang tersendiri. Motifnya pula pelbagai, boleh jadi hiburan, pelaburan, propaganda politik, sedekah atau ‘cuci duit’.
Segalanya berkemungkinan. Ia bergantung kepada niat penerbitnya.
Dalam konteks filem ini sudah pastinya penerbitan filem ini berniat mahu penonton juga menjadi pengampu, pembodek, penyokong dan pendukung tokoh yang difilemkan itu sama seperti mereka.
Tapi apakan daya, si polan yang menerbit itu adalah seorang kartunis maha pengampu dan pembodek kental–yang ‘karya’ satiranya jelik dan jauh lebih rendah kualitinya jika dibandingkan dengan karya satira Datuk Lat, Ronasina atau Fahmi Redza ini–ternyata memandai- mandai dalam hal perfileman.
Kesannya, terhasilah filem yang lemah, longlai dan hanya akan mendatangkan kebencian massa.
Sejarah menunjukkan filem telah lama dijadikan bahan propaganda politik.
Nazi semasa giat untuk mengembangkan pengaruh dan sokongannya ke seluruh Eropah telah menggunakan filem, teater dan opera sebagai alat propaganda.
Nazi sedar betapa pentingnya propaganda disebarkan melalui kegiatan seni sehingga melantik Joseph Goebbels sebagai ketua bagi mengetuai kegiatan propaganda.
Kota Berlin yang begitu fashionable di tahun – tahun 1930-an dan 1940-an menjadi sarang pembikinan filem-filem propaganda Nazi.
Filem propaganda Nazi dan Korea Utara
Antara filem propaganda yang terhasil pada ketika itu The Triumph of The Will (1935), sebuah filem yang menjadi propaganda dan kebanggaan ahli parti dan penyokong ideologi Nazi.
Penyokong dan ahli parti Nazi begitu berbangga dengan filem ini. Mereka mengangkat filem ini sebagai magnum opus.
Di Korea Utara, sebuah filem yang diadaptasi dari sebuah novel bertajuk Sea of Blood (1969) dihasilkan. Filem ini mengisahkan tentang ‘perjuangan’ rakyat Korea menentang pembunuhan beramai-ramai semasa tempoh sepanjang pendudukan Jepun di Korea.
Kisah ini ditayangkan berkali-kali sebagai collective memory untuk membangkitkan semangat rakyat Korea Utara dan menanam kebencian terhadap Jepun.
Di tahun-tahun awal penayangan filem ini, ia mendapat sokongan padu masyarakat Korea Utara. Mereka begitu berbangga dengan filem ini dan menjadikan filem ini sebagai rujukan semangat.
Dunia pasti tidak akan melupakan filem Rocky IV (1985) lakonan aktor Sylvester Stallone. Meskipun filem ini bukanlah sebuah filem perang, tetapi umum sedia mengetahui bahawa filem ini adalah sebuah filem propaganda Amerika untuk memburukkan Russia.
Tidak seperti filem perang, filem ini menjadikan seorang jaguhan tinju sebagai semiotik semangat pro-Amerika.
Penonton filem ini diajak bersama – sama oleh penerbit, penulis dan pengarah Rocky untuk membelasah musuh pro-Amerika.
Setiap usaha dan Latihan yang dilakukan oleh Rocky sememangnya untuk membangkitkan keghairahan penyokong pro-Amerika.
Motif penerbitnya mudah, mengutip keuntungan dan mengumpul semangat dan sokongan pro- Amerika menghadapi perang dingin.
Ketiga-tiga contoh filem propaganda di atas pada awalnya mendapat sokongan yang kuat.
Pembodek dan penyokong masing – masing berbangga dan bersorak dengan filem-filem tersebut.
Jika kutipan tiket menjadi ukuran kepada kejayaan, sudah semestinya ia berjaya kerana filem-filem ini berjaya mendapat kutipan box office.
Tetapi awas, sinema mempunyai ‘sumpahan’ yang mengundang kecelakaan.
Meskipun mendapat kutipan tiket yang tinggi, filem propaganda yang membodek dan mengampu pasti akan akan terpecah tembelang dan akhirnya ditolak kerana dibenci massa.
Gaya ‘poyo’ Rocky
Filem The Triumph of The Will (1935) ditolak masyarakat Eropah kerana mereka sedar filem ini hanya untuk mengagumkan dan mengidolakan Adolf Hitler dan semangat Nazi.
Filem Sea of Blood (1969) dibenci oleh rakyat Korea Utara kerana mereka motifnya hanya untuk mengukuhkan kepercayaan dan kesetiaan membuta tuli kepada pengarahnya, dictator Kim Jong Il.
Masyarakat dunia menyampah dengan gaya ‘poyo’ Rocky (1985) yang mengampu dan membodek pro-Amerika keterlaluan terutamanya ketika dia mengangkat bendera Amerika.
Ketiga-tiga filem ini akhirnya dikritik, disumpah dan dibakulsampahkan oleh masyarakat.
Melihat kepada hasil yang ditayangkan di pawagam, kemungkinan besar filem pengampuan dan pembodekan kisah sembunyi seorang tokoh politik mata lebam mengangkat tangan akan mengalami sumpahan dan kecelakaan yang sama.
Oleh kerana kesombongan dan memandai-mandai si polan yang menerbitkan filem ini, pastinya penolakan yang bakal berlaku terhadap filem mengampu dan membodek ini akan lebih parah.
Yang lebih menyakitkan, penolakan filem propaganda ini tidak berlaku di sinema-sinema tetapi penolakan terhadap filem propaganda mengampu dan bodek ini akan berlaku di pilihan raya enam negeri dan pilihan raya umum ke-16.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysia-today.net/2023/05/24/ulasan-kecelakaan-filem-bodek/