Ubuntu 18 10 Adakah Berbaloi Menggunakannya
Versi terbaru sistem operasi Ubuntu ini mengundang sedikit perhatian dek kerana ia menggunakan GNOME versi terbaru iaitu 3.30. Para pembangun GNOME telah meluangkan masa selama 6 bulan bagi menangani pelbagai isu memori dan prestasi.
Diberi kod nama ‘Cosmic Cuttlefish’, ia menggunakan kernel Linux 4.18 dan akan disokong selama 9 bulan berbanding versi LTS iaitu selama 5 tahun bagi versi desktop dan pelayan.
Apa yang menjadi pokok persoalan kepada Ubuntu rilisan terbaru ini ialah adakah ia masih menanggung masalah versi lama, iaitu ketirisan memori, dan prestasi (shell) yang perlahan?
Bagi menjawab persoalan ini, saya telah mencubanya selama beberapa hari sejak ia dilepaskan.
Apa yang saya dapati, meskipun apa yang saya tetapkan dan pasang adalah sama bagi setiap peranti, namun penggunaan memorinya adalah berbeza.
Animasi bagi ‘Show Applications’ terasa agak perlahan bagi PC dengan spesifikasi (pemproses) lama.
Namun apa yang bagusnya, tiada lagi isu memori buat masa ini. Cuma jika minimum spesifikasi diberikan ialah 2GB RAM, maka saya rasakan ianya adalah tidak tepat.
Sedangkan dalam keadaan melahu pun ia sudah menggunakan sebanyak 1.2GB RAM, apatah lagi jika anda buka pelayar web dan lain-lain perisian serentak. Oleh itu untuk menggunakan Ubuntu tanpa sebarang isu ‘lag’ atau perlu menutup perisian yang sedang digunakan, maka sekurang-kurangnya 6GB RAM perlu dipasang.
Tema baru untuk Ubuntu 18.10 yang dinamakan sebagai ‘Yaru’ walaupun sudah ‘menghilangkan’ tema warna asal – perang, namun kini pembangun menggantikannya dengan warna oren di pelbagai tempat.
Pada saya sendiri, ia adalah langkah bagi menonjolkan ciri antaramuka Ubuntu supaya kelihatan lebih profesional.
Saya tidak akan komen mengenai tema dan ikon ini dengan lebih lanjut kerana sama ada ia cantik atau tidak adalah bergantung kepada mata yang melihatnya. Anda boleh pasang dan lihat sendiri bagaimana rupa tema baru ini.
Selain itu, GNOME Disk juga menerima ciri baru iaitu sokongan enkripsi VeraCrypt. Anda boleh terus melakukan pengenkripsian terus dari GNOME Disk tanpa perlu melibatkan aplikasi pihak ketiga.
Satu perkara yang saya tidak beberapa suka iaitu bagaimana Ubuntu mempunyai pelbagai ‘bloatware’, tidak ubah seperti Windows 10.
Dari aplikasi Amazon, hinggalah kepada pelbagai permainan asas seperti AisleRiot Solitaire, Mahjong, dan Mines yang pada saya tidak diperlukan. Mereka boleh mengurangkan saiz ISO, namun dek kerana bloatware ini, saiznya sudah mencecah 2GB.
Boleh dikirakan sebagai agak ‘melampau’ kerana saiz bagi ISO Linux Mint 19 adalah 1.8GB dan apabila anda selesai pasang, anda tidak perlu lagi menambah apa-apa codec kerana ia sudah pun tersedia sepertimana tradisi Linux Mint. Namun pada Ubuntu anda masih perlu memasang codec tambahan ‘ubuntu-restricted-extras’ untuk mendapatkan kebolehan memainkan media yang sama (proprietary codecs).
Konklusi
Jadi seperti tajuk artikel, adakah berbaloi anda menggunakannya?
Pada saya jika anda adalah peminat Ubuntu dan telah lama menunggu rilisan ini, barangkali berbaloi. Akan tetapi jika anda masih punyai PC lama, dengan jumlah RAM yang kecil, saya sarankan sama ada anda naik taraf PC anda, tambahkan RAM, atau gunakan saja sistem operasi Linux yang lain.
Ubuntu kini menggunakan pendekatan komersial ala Windows. PC lama bukan lagi sesuatu yang difikirkan oleh pembangunnya. Sekarang reka bentuk perlu cantik, secantik macOS, jadi spesifikasi untuk menggunakannya juga pasti adalah setara.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/ubuntu-18-10-adakah-berbaloi-menggunakannya/