Tun M Dijangka Akan Menangis Di Pentas Himpunan Maruah Melayu
Shahbudin Husin
Kongres Maruah Melayu yang selama ini banyak dispekulasikan di media sosial akhirnya sah akan dilangsungkan pada 6 Oktober depan di Stadium Melawati, Shah Alam.Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad juga sudah disahkan akan hadir dan bakal menyampaikan amanat Melayunya pada kongres tersebut.
Dijangkakan sekurang-kurangnya seramai 15 ribu umat Melayu akan hadir dalam kongres itu nanti.
Kehadiran Tun Mahathir untuk menyampaikan amanatnya di samping kehadiran puluhan ribu hadirin dianggap penting kerana Kongres Maruah Melayu itu tidak lain tujuannya ialah untuk menyaingi Himpunan Penyatuan Ummah anjuran UMNO dan Pas yang telah diadakan pada 14 September lalu.
Walaupun Kongres Maruah Melayu itu adalah anjuran Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dengan kerjasama tiga universiti lain iaitu UiTM, UPM dan UPSI serta Persatuan Peguam Muslim, tetapi semua orang tahu di belakangnya ialah beberapa bekas pemimpin UMNO yang telah melompat menyertai Bersatu.
Mereka antaranya ialah Mustapa Mohamad, Hamzah Zainuddin dan Latif Ahmad dan dengan itu, tujuannya tentulah untuk kepentingan politik Melayu Bersatu yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir.
Lalu, oleh kerana kongres itu bertujuan untuk menyaingi penyatuan ummah UMNO dan Pas, yang ditunggu-tunggu tentunya ialah intipati amanat yang akan disampaikan oleh Tun Mahathir dalam ucapannya nanti.
Yang pasti, kongres itu nanti pasti akan dijadikan peluang oleh Tun Mahathir untuk menunjukkan beliau dan Bersatu turut sama memperjuangkan nasib dan kedudukan orang-orang Melayu di negara ini.
Bagi tujuan itu, selain bakal disebut beberapa tindakan yang telah serta perancangan yang akan dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan maruah orang-orang Melayu, Tun Mahathir turut dipercayai akan melakukan gimik menangis sebagai tanda sedih dengan kedudukan serta nasib mereka yang tidak banyak berubah sehingga hari ini.
Beliau dipercayai akan mengimbas beberapa usahanya untuk menolong orang Melayu, tetapi kerana sikap malas, tidak mahu berubah dan suka memilih jalan singkat untuk menjadi kaya seperti menjual kontrak dan sebagainya, maka semua usaha yang dilakukannya itu sentiasa menemui kegagalan.
Di waktu yang sama, sebagai serangannya kepada UMNO yang kini bekerjasama dengan Pas, Tun Mahathir dijangka akan menyentuh sama skandal 1MDB di mana meskipun ia telah menjadi bualan di seluruh dunia dan keterangan saksi dalam perbicaraan merungkai banyak rahsia yang selama ini tidak diketahui, sokongan yang diterima Najib Razak akan digambarkan sebagai sesuatu yang memalukan orang-orang Melayu.
Mereka yang menyokong Najib akan dilihat sebagai menyokong penyamun, pencuri dan penyangak.
Lantaran itu, tidak mustahil beliau akan menangis lebih daripada sekali di pentas Kongres Maruah Melayu itu, sambil kemudiannya mungkin ada beberapa pemimpin Melayu lain yang tampil ke atas pentas untuk memujuk dan menenangkan jiwanya.
Menangis di atas pentas bukanlah asing bagi Tun Mahathir dan beliau sudah beberapa kali melakukannya seperti di Perhimpunan Agung UMNO ketika mengumumkan perletakan jawatannya dan ketika membaca sajak “Perjuangan Yang Belum Selesai” di Matic, Jalan Ampang.
Maka, sebagai persiapan bagi mereka yang sudah menetapkan untuk hadir ke Kongres Maruah Melayu tersebut, sila bersedia untuk sama-sama menangis bersama Tun Mahathir dan pastikan membawa tisu untuk mengesat air mata yang bakal tumpah nanti.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/10/tun-m-dijangka-akan-menangis-di-pentas.html