Tumpahnya Air Mata Bekas Tentera
                                  Shawaliah Hadir                                                                                                                                                                                                                      

Saad  Mahmud dibantu anaknya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU), Siti  Nur Khunajeha ketika ingin berjalan sekitar rumahnya di Flat Program  Perumahan Rakyat (PPR) Kg. Baru Ayer Panas, Kuala Lumpur. foto HAZROL  ZAINAL             KUALA LUMPUR – Jika lebih dua dekad yang lalu, Saad Mahmud  masih gagah berkhidmat untuk negara dengan menjalankan tugas sebagai  seorang anggota tentera, kini keadaan beliau jauh berbeza.
Menghidapi sakit buah pinggang, jantung dan darah tinggi hampir  setahun, beliau yang berusia 58 tahun tidak lagi mampu bergerak pantas.
Menghidapi beberapa penyakit berkenaan membuatkan Saad longlai, tidak lagi kuat, sebaliknya hanya mampu duduk di kerusi.
Kehilangan isteri lebih kurang setahun lalu yang berpunca daripada  sakit buah pinggang, Saad kini dijaga oleh empat orang anak perempuannya  yang tinggal sebumbung di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru  Air Panas di Setapak.
Air mata bekas anggota tentera itu akhirnya tumpah juga ketika berkongsi kesedihannya dengan MalaysiaGazette kerana kehilangan kudrat untuk menyara keempat-empat anak perempuannya  yang mana salah seorangnya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Walaupun suatu ketika dulu saya kuat bekerja. Allah dah beri saya dugaan begini saya kena terima.
“Dulu saya bekerja, selepas keadaan saya macam ini, saya rasa sedih  patutnya saya masih boleh lagi menyara anak-anak tapi saya tidak dapat  dalam keadaan umur saya masih muda saya tidak dapat menyara anak saya,”  katanya kepada MalaysiaGazette.
Saad berkata, tahap kesihatannya tidak menentu sehingga perlu bergantung dengan ubat selain kerap dimasukkan ke hospital.
“Hari Khamis baru-baru ada juga pergi hospital ambil ubat, mula-mula  sebelum itu masuk hospital tujuh hari. Keluar, tak sampai sebulan masuk  lagi dua minggu ini,” kata beliau.

Temubual  bersama pesara polis tentera, Saad Mahmud di Flat Program Perumahan  Rakyat (PPR) Kg. Baru Ayer Panas, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL,Pada raut wajah bekas tentera itu, tergambar penghargaan dan rasa  terharunya kepada empat anaknya yang sanggup menjaga dan mengutamakannya  berbanding kehidupan masing-masing.
“Di rumah ini lima oranglah termasuk saya, anak-anak semua belum  kahwin paling dewasa 31 tahun, merekalah yang menjaga saya,” tambahnya.
Enggan menyusahkan anak-anaknya, Saad sentiasa berharap agar beliau  kembali sihat, seterusnya tidak bergantung dengan keempat-empat anaknya.
Dalam pada itu, menjadi salah seorang penerima sumbangan Barang Asas  100 (BA100), Saad rasa terharu kerana diingati oleh Angkatan Koperasi  Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).
“Saya rasa terharu Angkasa beri bantuan, masih ada pihak-pihak yang  mengingati dan masih ingat kepada orang-orang yang kurang berkemampuan  macam saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/tumpahnya-air-mata-bekas-tentera.html