Titah Ucapan Kdymm Tuanku Sultan Kedah Di Majlis Konvokesyen Uum Ke 31
TITAH UCAPAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU SULTAN KEDAH DARUL AMAN
DI MAJLIS KONVOKESYEN KE-31
SESI PERTAMA
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
Assalamualaikum, Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulilah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan taufik dan hidayah-Nya, maka dapatlah Beta, dan Tuanku Sultanah, berangkat hadir ke Dewan Mu’adzam Shah ini, bagi menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-31, Universiti Utara Malaysia.
Terlebih dahulu Beta ingin mengucapkan tahniah kepada Paduka Anakanda, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah, di atas Pemasyhuran sebagai Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia.
Beta juga ingin mengucapkan tahniah kepada Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani di atas pelantikan sebagai Naib Canselor Ke-8 Universiti Utara Malaysia.
Beta percaya bahawa dengan ilmu, pengalaman dan berbekalkan iltizam yang tinggi, Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani akan berupaya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dalam menerajui Universiti Utara Malaysia, ke puncak kejayaan.
Dalam sidang Konvokesyen ini, Dato’ Michael Tio, telah dipersetujui untuk menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Logistik.
Atas pengiktirafan tersebut, Beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Semoga pengiktirafan yang diberikan ini akan menjadi inspirasi kepada para graduan untuk terus berusaha, sehingga menyerlah dalam bidang masing-masing.
Sempena Konvokesyen Ke-31 Universiti Utara Malaysia, seluruh warganya berbangga kerana menjadi tuan rumah bagi meraikan kejayaan para graduan.
Beta ucapkan setinggi-tinggi tahniah, kepada para graduan kerana telah berjaya melengkapkan pengajian di Kampus Universiti Utara Malaysia dan akhirnya berjaya memiliki segulung ijazah yang diidamkan. Tidak lupa juga ucapan tahniah ditujukan khas kepada para ibu bapa dan ahli keluarga yang telah memberi pelbagai sokongan dan dorongan kepada para graduan selama ini.
Kita sedia maklum bahawa pelbagai gelombang perubahan telah berlaku di seluruh dunia.
Dengan munculnya “Connected Intelligence Era”, dijangka akan berlaku perubahan akibat pertembungan antara alam manusia, dengan dunia robot. Di sinilah cabaran yang perlu ditempuhi oleh para graduan untuk berusaha mewujudkan satu ekosistem baharu yang lebih adil dan saksama serta berpaksikan kesejahteraan. Soal kemanusiaan, seperti keprihatinan, keadilan, kemesraan, adalah antara perkara yang harus diberi perhatian yang sewajar-nya.
Sebagai rakyat Malaysia, kita amat bertuah kerana dilahirkan di sebuah negara yang aman dan makmur, yang menyediakan begitu banyak peluang untuk dimanfaatkan. Namun, kita juga harus akui bahawa kita tidak boleh lari daripada persaingan, sama ada sesama kita, mahupun di peringkat global. Oleh itu, para graduan haruslah bijak menganalisa persekitaran untuk mencari dimensi baharu bagi meneruskan kelangsungan kehidupan. Jangan menjadi terlalu selesa malah harus bersiap siaga dari segi fizikal, mental dan rohani untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
Sesungguhnya pendidikan di universiti bukan semata-mata sekadar mendapatkan kelulusan untuk mencari pekerjaan tetapi ianya merupakan satu tapak persediaan untuk meneruskan kehidupan yang sempurna di masa hadapan. Nasihat Muhammad Yunus, penerima anugerah “Nobel Peace Prize” pada tahun 2006, “Be a creative person. Become an entrepreneur”. Ungkapan ini haruslah difikir dengan bijaksana akan maksud yang tersirat.
Beta berharap para graduan yang berada di dalam Dewan yang mulia ini dapat mengambil inspirasi daripada kata-kata hikmah ini agar dapat meneruskan kehidupan dengan cara yang lebih berjaya kreatif dan produktif sehingga mampu menjadi ‘pencipta kerja’ dan bukan sekadar ‘pencari kerja’.
Beta yakin, para graduan daripada Universiti Utara Malaysia telah dibekalkan dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya.
Adalah diharapkan para graduan dapat mengaplikasikan ilmu dan juga pengalaman yang diperoleh selama ini demi kepentingan rakyat. Jadikanlah ilmu itu sebagai suatu rahmat, bukan untuk mendapatkan wang semata-mata.
Pada hemat Beta, para graduan dan seluruh ahli masyarakat bertanggungjawab untuk menggerakkan konsep masyarakat penyayang secara serius kerana pelbagai gejala negatif kian menular dalam masyarakat.
Beta amat berharap, agar para graduan menjadi contoh dan ‘role model’ untuk memastikan masyarakat kita beretika dan mengamalkan sifat kasih sayang.
Pada hemat Beta, para graduan Universiti Utara Malaysia merupakan golongan yang bertuah kerana berpeluang melanjutkan pengajian di sebuah kampus yang dikelilingi pemandangan indah hutan hujan tropika yang menyimpan khazanah alam yang amat bernilai.
Beta menyeru agar kehijauan di Kampus Universiti Utara Malaysia dipelihara, dipulihara dan dilindungi dengan baik sebagai tanda kesyukuran kita atas anugerah Allah Subhanahu Wata’ala. Dengan kehijauan yang ada, ‘Universiti di Rimba Hijau’ ini menjadi bukti keluhuran kasih sayang kita terhadap makhluk di bumi ini.
Dengan rasa kasih sayang, anggaplah Universiti Utara Malaysia sebagai rumah akademik yang dekat di hati. Bak kata pepatah “tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menuntut ilmu”. Budaya mengenang jasa, perlu diterapkan sebaik mungkin di kalangan para graduan. Alhamdulilah Universiti Utara Malaysia kini, sudah berusia 34 tahun dengan jumlah graduan sehingga tahun ini adalah seramai seratus tiga puluh lima ribu, tiga ratus dua puluh sembilan orang.
Pada hemat Beta, para Alumni Universiti Utara Malaysia, perlu mengenang jasa alma mater, sebagai tanda penghargaan, sama ada pada skala kecil mahu pun besar, yang akan menjulang nama Universiti Utara Malaysia di persada dunia. Hidupkan semangat “Philanthropy” dengan membantu mahasiswa dan juga masyarakat di sekitar kampus Universiti Utara Malaysia dan juga Negeri Kedah Darul Aman tempat para graduan menimba ilmu dan meluaskan pengalaman. Ingatlah nasihat yang terungkap, dalam bait-bait pantun Melayu ini,
Pulau Pandan, jauh ke tengah
Gunung Daik, bercabang tiga
Hancur badan, dikandung tanah,
Budi baik, dikenang juga
Buat Paduka Anakanda, Raja Muda Kedah, Paduka Ayahanda ingin berpesan, agar Paduka Anakanda dapat melaksanakan amanah yang diberikan ini dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti. Tahniah dan syabas. Beta turut ingin ucapkan kepada penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah, Ijazah Doktor Falsafah, para graduan dan penerima anugerah yang diraikan pada hari ini.
Semoga kehidupan para graduan, mendapat keberkatan daripada Yang Maha Esa.
Sekian.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mukhrizmahathirfc.blogspot.com/2018/11/titah-ucapan-kdymm-tuanku-sultan-kedah.html