Tindakan Ng Sebabkan Mudarat Tak Terkira Kepada Malaysia Kata Pendakwa Raya
Reuters -April 5, 2022
Roger Ng harus disabitkan bersalah membantu menyeleweng berbilion dolar daripada 1MDB, kata pendakwa raya AS dalam hujah penutupnya. (Gambar AP)NEW YORK: Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng harus disabitkan bersalah membantu menyeleweng berbilion dolar daripada 1MDB dan menyebabkan kemudaratan yang “tidak terkira”, kata pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) kepada juri ketika hujah penutupnya pada Isnin.
Namun peguam Ng, bekas pegawai bank pelaburan terkemuka Goldman di Malaysia, menyangkal bahawa dia dilibatkan secara salah dalam penyelewengan itu oleh bekas bosnya, Tim Leissner, iaitu saksi utama kerajaan.Ng, 49, mengaku tidak bersalah bersubahat melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti rasuah.
Pendakwa raya berkata dia membantu Leissner menggelapkan beratus juta dolar, membersihkan hasil itu dan menyogok pegawai untuk mendapatkan urusniaga bagi Goldman.
Penolong Peguam AS Alixandra Smith berkata Ng menerima lebih USD$35 juta daripada rancangan pengubahan wang haram dan sogokan yang “berani”, dan harus dipertanggungjawabkan.
“Kemudaratan yang dialami oleh rakyat Malaysia amat tidak terkira sekali,” katanya kepada juri.
“Ia amat tidak adil kepada orang lain yang patuh kepada peraturan.”
Ketika hujah penutupnya, peguam Ng, Marc Agnifilo berkata “tidak ada bukti” menunjukkan anak guamnya bersalah.
Sebaliknya, Agnifilo menyalahkan Leissner, 52, yang mengaku bersalah atas tuduhan sama seperti Ng, di mana pihak pembelaan percaya bahawa dia telah bekerjasama dengan pendakwa raya dengan harapan untuk dikenakan hukuman lebih ringan.
“Dia tidak pernah berhenti berbohong, dan dia tidak berhenti berbohong di bilik mahkamah ini,” kata Agnifilo, merujuk kepada Leissner.
Perbicaraan hampir dua bulan itu berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah.
Pendakwa raya berkata Goldman membantu mengumpul USD6.5 bilion untuk 1MDB melalui tiga urusniaga bon, tetapi USD4.5 bilion telah dialihkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan sekutu mereka menerusi sogokan dan rasuah.
Ng adalah yang pertama dan satu-satunya individu yang dibicarakan di AS berhubung kes itu. Pada 2020 Goldman membayar denda berjumlah hampir USD3 bilion dan unitnya di Malaysia bersetuju untuk mengaku bersalah.
Agnifilo berkata Ng memperkenalkan Leissner kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang disyaki menjadi dalang rancangan itu.
Smith mengakui bahawa Leissner cuba mendapatkan kelonggaran dengan memberi keterangan tetapi keterangan lain menyokong ceritanya.
“Apa yang dia beritahu anda mengenai jenayah dilakukan bersama defendan dan yang lain adalah disokong dan konsisten dengan keterangan lain,” katanya. “Anda sudah tahu defendan bersalah berdasarkan keterangan lain.”
Dalam keterangannya, Leissner berkata dia memberikan wang sogokan berjumlah USD35 juta kepada Ng untuk bersetuju memberitahu “cerita rekaan” kepada bank yang memproses pemindahan itu bahawa wang terbabit adalah daripada usahasama perniagaan yang sah antara isteri mereka.
Isteri Ng, Lim Hwee Bin, memberi keterangan minggu lalu bahawa dia membuat pelaburan berjumlah US6 juta pada pertengahan 2000 dalam syarikat China milik isteri Leissner pada masa itu, Judy Chan.
Katanya, wang berjumlah USD35 juta yang didakwa sebagai sogokan kepada suaminya, sebenarnya adalah pulangan daripada pelaburan itu.
Low telah didakwa pada 2018 bersama Ng. Pihak berkuasa Malaysia berkata Low berada di China, namun ia dinafikan Beijing.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2022/04/tindakan-ng-sebabkan-mudarat-tak.html