Tindakan Mic Bela Pas Dihargai Setpol Hadi
MALAYSIAKINI
    Tindakan MIC yang mempertahankan PAS pada perbahasan di  Dewan Rakyat semalam sangat dihargai dan menunjukkan sikap berbeza  dengan pemimpin DAP, maklum Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir  Sulaiman
"Di kala pemimpin DAP menuduh Malaysia akan menjadi  'negara Taliban' di bawah pemerintahan PAS, dan di saat pemimpin Amanah  menyokong kuat dakyah dan hasutan DAP, tampil pemimpin MIC membela PAS  di parlimen.
"Setinggi penghargaan diucapkan kepada MIC di atas  keterbukaan dan kematangan berpolitik yang ditunjukkan oleh kepimpinan  tertinggi MIC, bermula daripada pertemuan bersejarah di antara Presiden  MIC dan Presiden PAS pada 19 Ogos 2018, seterusnya disusuli dengan  beberapa pertemuan dan program bersama Dewan Himpunan Penyokong PAS  (DHPP).
"Sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin MIC ini jelas  berbeza dengan sikap pemimpin DAP yang sering menanamkan bibit kebencian  dan sentimen perkauman di dalam negara, malah tidak senang apabila PAS  mengambil usaha untuk merapatkan hubungan di antara kaum dan agama dalam  negara," katanya juga pengarah strategi Pemuda PAS.
Pada pertemuan 19 Ogos 2018 di pejabat PAS di Jalan Raja Laut itu persefahaman tercapai antara Presiden PAS Abdul Hadi Awang dengan Presiden MIC S A Vigneswaran
Fitnah kekal sebagai fitnah
Dalam  kenyataan media dikeluarkan Pejabat Presiden PAS, Vigneswaran  memberitahu MIC bersedia menjalin kerjasama dengan PAS dalam pelbagai  aspek demi kepentingan bersama, termasuk memberikan sokongan kepada  calon PAS dalam PRK Seri Setia ketika itu.
Semalam ketika  perbahasan menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Tapah,  M Saravanan, yang juga merupakan timbalan presiden MIC, sekali lagi  mengulang pendirian partinya mengenai kerjasama dengan PAS dan menyokong  penuh 'persandingan politik' PAS dan Umno.
"PAS  ini memang adil untuk semua kaum. Walaupun PAS ini ditubuhkan untuk  membela nasib umat Islam tetapi mereka membela bukan Islam menubuhkan  satu jawatankuasa sebagai medan untuk bukan Islam menyertai PAS," kata  MP Tapah.
Saravanan turut menolak dakwaan MP Jelutong (DAP) RSN  Rayer yang menyebut PAS pernah mendakwa bahawa orang bukan-Islam tidak  boleh dilantik sebagai menteri.
“Fitnah itu kekal sebagai fitnah,” jelas timbalan presiden MIC itu lagi kepada Dewan Rakyat. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/tindakan-mic-bela-pas-dihargai-setpol.html