Tiga Watak Di Akhir Zaman
1. Imam Mahadi
Kedatangan Imam Mahdi ada disebutkan
dalam Atsar, kata-kata sahabat yang menerangkan tanda-tanda sudah dekatnya
kemunculan Imam Mahdi. Menurut riwayat apabila sudah dekat kedatangan Imam
Mahdi akan banyak terjadi peperangan, banyak bencana dan banyak bala.
Pada masa itu nanti semakin banyak
terjadi pembunuhan dan peperangan. Orang mahu berbunuh-bunuhan kerana masalah
remeh-temeh. Antara satu kumpulan de-ngan kumpulan lain, begitu juga antara
satu negara dengan negara lain berperang kerana masalah kecil. Bencana semakin
banyak berlaku, seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, angin puting
beliung, banjir dan sebagainya. Begitu juga penyakit, semakin banyak jenis
penyakit dan semakin ramai manusia yang berpenyakit.
Menjelang datangnya Imam Mahdi nanti
akan muncul api yang besar dari arah Masyriq (tempat terbitnya matahari) dan
menerangi seluruh ufuk selama tiga malam. Pada masa itu juga nanti lengkaplah
jumlah orang-orang yang mengaku dirinya sebagai nabi berjumlah enam puluh
orang. Masa itu akan tenggelam kampung-kampung di negeri Syam. Akan datang
angin yang hitam yang me-nyebabkan manusia ramai yang mati. Sungai Furat di
Iraq akan melimpah (banjir) yang menyebabkan kota Kufah tenggelam. Akan
terdengar suara seruan dari langit. Suara itu dapat didengar oleh semua manusia
yang ada di dunia. Dan yang paling menghairankan lagi, suara itu dapat difahami
oleh semua orang.
Orang yang hanya tahu atau faham
bahasa Inggeris faham mendengar seruan dari langit itu, begitu juga pengguna
bahasa Cina, bahasa India, bahasa Melayu, bahasa Arab dan sebagainya. Mungkin
juga panggilan itu dalam bahasa Arab tetapi semua orang mendengar dalam
bahasanya sendiri.
Terdengar suara pada tengah malam
bulan Ramadan yang menyebabkan semua orang yang tidur terbangun atau terperanjat.
Banyak pembunuhan dan banyak peperangan berlaku sehingga darah mengalir di
jalan-jalan raya. Orang semkain berani berbuat jahat tidak kira tempat dan
waktu.
Pada masa itu nanti yang diangkat
menjadi pemimpin pun terdiri dari orang-orang jahat. Pemimpinnya jahat dan
orang yang dipimpin pun sama-sama jahat. Dalam hadis dikatakan ramai manusia
pada masa itu nanti yang beriman pada waktu petang tetapi esok paginya sudah
menjadi kafir. Namun demikian ramai ulama yang mengertikan hadis itu dengan
kafir nikmat.
Bukan bererti petang dia masih Islam
esok harinya sudah Nasrani atau Yahudi misalnya. Maksud hadis itu menurut ulama
menunjukkan banyaknya orang yang kafir nikmat. Apa-apa nikmat dan pemberian
Allah tidak disyukuri dan tidak digunakan kepada yang diredai Allah SWT.
Menjelang turunnya Imam Mahdi
dikatakan pasukan tentera dari Turki akan datang ke jazirah Arab. Mereka datang
untuk menakluki tanah-tanah jazirah Arab. Mereka bunuh pemimpin-pemimpinnya dan
mereka kuasai daerahnya.
Dalam keadaan dunia yang buruk dan
kacau itu tiba-tiba muncullah Imam Mahdi. Beliau datang untuk meneruskan atau
menyambung perjuangan datuknya (Muhammad s.a.w) untuk mengatasi kekalutan dan
kekacauan yang dihadapi umat. Semua makhluk yang ada di langit dan yang ada di
bumi merasa gembira dengan kedatangan Imam Mahdi itu. Bukan hanya manusia yang
gembira, tetapi juga binatang buas, burung-burung dan makhluk lainnya.
Imam Mahdi itu adalah seorang lelaki
yang soleh dari keluarga Rasulullah s.a.w yang ada ketika itu (pada masa
munculnya) nanti. Dia diangkat orang menjadi pemimpin ketika manusia di seluruh
dunia nanti sudah begitu buruk keadaannya.
Mereka mengangkat Imam Mahdi menjadi
pemimpin ketika itu nanti setelah melihatnya berilmu, berakhlak dan mempunyai
banyak kelebihan. Manusia yang ada pada zaman itu nanti mengharap semoga dia
dapat mengembalikan dunia kepada kebaikan. Dengan perasaan yang cukup berat,
dia (Imam Mahdi) menerimanya. Dia sendiri tidak tahu yang dirinyalah Imam Mahdi
yang ditakdirkan Allah SWT untuk diutus ke dunia. Begitu juga manusia sedunia
yang telah mengangkatnya menjadi pemimpin dunia, tidak tahu bahawa orang yang
mereka angkat itu adalah Imam Mahdi.
Kerana tidak tahu yang dirinya Imam
Mahdi dan tidak berapa suka menjadi pemimpin, sudah tentu dia pun tidak ada
berkempen mengajak orang untuk mengangkatnya. Setelah dia memimpin dunia dengan
baik barulah orang tahu bahawa itu adalah Imam Mahdi. Dia tunjukkan perilaku
yang baik, dia ajak manusia mengerjakan yang makruf dan meninggalkan yang
mungkar, kemudian orang pun mengikuti arahannya.
Mengapa manusia yang sudah begitu
lama bergelimang dengan dosa mahu diajak kepada kebaikan? Ini tentunya samalah
dengan zaman jahiliah dahulu, yang mana keadaan masyarakat sudah begitu buruk,
tiba-tiba datang seorang utusan Allah untuk membaiki keadaan dunia, orang pun
terus mengikutnya.
Manusia mahu diajak kepada kebaikan
tentunya setelah melihat orang yang mengajak itu mempunyai banyak kelebihan,
dan yang paling penting orang yang mengajak itu berjuang dengan ikhlas dan
sesuai kata-kata dengan perbuatannya. Jadi nanti manusia seluruh dunia mengikut
ajarannya kemudian dia pun mengatur dunia dengan baik.
Keadilan dapat ditegakkan seperti
zaman Rasulullah s.a.w. dahulu. Kerana keadaan masyarakat sudah baik dan sudah
beriman, malapetaka dan musibah berkurangan. Bahkan rahmat Allah pula yang
datang dan rezeki melimpah ruah. Setelah dunia aman dan makmur serta melihat
pemimpinnya tidak terpedaya oleh kesenangan dunia, tahulah mereka bahawa yang
memimpin mereka itu adalah Imam Mahdi.
2. Dajjal
Kedatangan Dajjal. Ada riwayat
Muslim yang diterima dari Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya telah mendengar
muazzin Rasulullah s.a.w memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan
solat bersama Rasulullah s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar.
Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak.
Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya. Kemudian berkata: “Tahukah kamu
mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang? Kami menjawab: “Allah
dan Rasul-Nya yang lebih tahu.
Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Demi
Allah aku me-nyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan
memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim
Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk
Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang
dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu
sebelumnya.
Katanya dia bersama 30 orang kawannya
pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak
besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat
menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama
satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya
matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan
binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan
duburnya.
Mereka bertanya kepada binatang itu:
“Makhluk apa engkau ini? Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.
Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah? Binatang itu hanya menjawab: “Wahai
kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini,
sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat
yang ditunjukkan oleh binatang itu.
Di sana mereka menjumpai seorang
lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang
sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu
juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?
Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku.
Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?
Mereka menjawab: “Kami adalah manusia
berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar
membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama
satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini.
“Pada mulanya kami berjumpa dengan
binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali
jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya
dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk
menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.
Itulah sebabnya kami datang ke tempat
ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan
sebenarnya. Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus
sahaja mengemukakan soalan: “Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang
di Bisan itu, nama tempat di negeri Syam. Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang
tuan maksudkan? Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu
berbuah? Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar
tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah. Orang besar itu bertanya
lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah. Mereka menjawab: “Tentang
apanya yang tuan maksudkan? Lelaki itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih
ada. Mereka menjawab: “Airnya tidak susut. Lelaki itu berkata: “Air sungai itu
disangsikan akan kering.
Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu
berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang
dia buat? Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah. Lelaki
itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab? Mereka
menjawab: “Ya, dia diperangi oleh orang-orang Arab. Lelaki itu bertanya lagi:
“Kalau begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka? Mereka ceritakan bahawa
Rasulullah s.a.w telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.
Orang besar itu berkata lagi: “Memang
begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya. Kata orang besar itu
lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal.
Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini.
Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan
Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal
oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.
Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah
s.a.w menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang
tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah
sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu? Mereka menjawab: “Ya, sudah ya
Rasulullah. Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih
meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku
sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang
dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam
atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur, kata
Rasulullah s.a.w sambil menunjuk ke arah timur.
Rasulullah s.a.w telah menguatkan
lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa
Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfihan.
Khutbah Rasulullah SAW tentang
Dajjal: Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah
berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh
masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah
(kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa
oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya
tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang
terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu.
Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku
adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku,
maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga
orang-orang mukmin.
“Dajjal itu akan datang nanti dari
satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat
sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya
terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi
sebelumku kepada umatnya.
“Pada mulanya nanti Dajjal itu
mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku.
Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar
tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan
Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata
Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai
membaca atau buta huruf.
“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia
membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan
syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya
dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah
dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana
api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.
“Di antara tipu dayanya itu juga dia
berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu
yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?
Orang Arab itu akan berkata: “Tentu. Maka syaitan pun datang menyamar seperti
ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu
bapanya berkata kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah
Tuhanmu.
“Di antara tipu dayanya juga dia tipu
seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada
orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang
akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula.
Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu? Orang yang dia bunuh
itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan
engkau adalah musuh Allah. Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan
dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.
Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Di
antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba
hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya
tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu
datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak me-ngakunya sebagai
Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka
tidak menjadi.
“Dajjal itu datang ke tempat
orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai
Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman
mereka pun menjadi.
“Tidak ada kampung atau daerah di
dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua
kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia
hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika
Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang
seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan
tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan
orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari
pembersihan kota Madinah.
Dalam hadis yang lain, “di antara
fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat
kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian
itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah
mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman
kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu
Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya
menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan
tanam-tanaman mereka subur.
Dari Anas bin Malik, katanya
Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya,
iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak
dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak
dipercayai.
Dari Jabir bin Abdullah, katanya
Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada
waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup
memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah
bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau
perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan
Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu.
Itulah yang dikatakan hari
pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan
karat-karat besi.
Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang
diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: “Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk
ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya:
“Mengapa menangis? Saya menjawab: “Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan
Dajjal, maka saya takut mendengarnya.
Rasulullah s.a.w berkata: “Seandainya
Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya.
Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat.
Dari Jabir bin Abdullah, katanya
Rasulullah s.a.w bersabda: “Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang
kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari,
yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan
sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya
seperti hari biasa.
Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah,
tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu
juga? Rasulullah s.a.w menjawab: “Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu
itu. Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian
alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud
menahannya? Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya
menjadi satu minggu atau satu bulan.
Setelah dia tunjukkan kehebatannya
menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: “Sekarang apakah kamu ingin
supaya matahari itu berjalan? Mereka semua menjawab: “Ya, kami ingin. Maka dia
tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.
Menurut riwayat Muslim, Rasulullah
s.a.w bersabda: “Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di
tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah
empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT
mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Masud dan kemudian
membunuh Dajjal itu.
Dan menurut ceritanya setelah
munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman
kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya tinggal
12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita. Wallahu A'lam.
3. Nabi Isa
Kedatangan Nabi
Isa. Diriwayatkan oleh Muslim dari Al-Nawas bin Saman bahawa Rasulullah
bersabda tentang Nabi Isa: “Beliau akan turun berdekatan dengan menara putih di
timur Damsyik, dengan memakai pakaian kuning. Dua telapak tangannya terletak di
atas sayap dua malaikat. Apabila dia menundukkan kepalanya menitislah air.
Apabila dia mengangkat kepalanya lagi, turunlah daripadanya seperti untaian
mutiara.
Berdasarkan hadis ini bererti Nabi
Isa akan turun di Syam, bahkan juga di Damsyik, iaitu di sisi menara sebelah
timur. Beliau akan turun pada waktu fajar. Ibnu Katsir ada berkata:
“Sesungguhnya tidak ada di Damsyik menara yang dikenal di sebelah timurnya
kecuali yang berada disamping masjid jamik Amawi, iaitu di sebelah timur
Damsyik.
Menara tersebut telah diperbaiki pada
zaman Ibnu Katsir, iaitu pada tahun 741 hijrah. Pembiayaannya diambil dari
harta orang-orang Nasrani yang sebelumnya telah membakar menara masjid
tersebut. Besar kemungkinan nanti Nabi Isa akan turun di tempat itu.
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dari
Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Para nabi semuanya bersaudara
disebabkan ayah mereka satu dan hanya ibu mereka yang berlainan. Sedangkan
agama mereka adalah satu. Dan akulah orang yang paling dekat dengan Isa bin
Maryam kerana tidak ada Nabi di antara kami. Sesungguhnya dia akan turun.
Apabila dia turun nanti, untuk me-ngenalinya orangnya sedang dan kulitnya putih
kemerah-merahan. Dia memakai pakaian yang kuning. Dari kepalanya seperti
menitis air walaupun rambut dan kepalanya tidak basah. Dia akan mengajak orang
kepada Islam. Pada zamannya juga nanti dia akan menghancurkan segala agama
kecuali Islam. Allah SWT akan membinasakan Dajal pada zamannya, bahkan di
tangannya. Pada zamannya nanti dunia akan aman sehingga harimau dan unta
berkawan dengan baik. Begitu juga harimau dengan lembu, serigala dengan
kambing. Kanak-kanak akan bermain dengan ular dan ular itu tidak menggigit
mereka. Keadaan seperti itu berjalan selama empat puluh tahun. Kemudian Nabi
Isa a.s. wafat dan disembahyangkan oleh kaum muslimin.
Muhammad s.a.w adalah nabi penutup
dan tidak akan ada lagi nabi sesudahnya. Turunnya Nabi Isa pada akhir zaman
akan menguatkan lagi kebenaran agama Islam. Islam bererti menyerahkan segala
urusan bagi Allah yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya, beriman dengan
semua Rasul, berserah kepada Allah dan taat dengan sebenar-benar taat. Itu
semua sebenarnya sudah dianjurkan oleh agama-agama langit semenjak zaman Nabi
Ibrahim, selaku bapa nabi-nabi, sampai kepada Muhammad s.a.w selaku nabi
terakhir.
Isa a.s. adalah nabi dan rasul yang
mulia, datang dari sisi Allah. Beliau dahulu sudah ada membawa syariat kepada
umatnya tiba-tiba beliau diangkat ke langit. Nanti di akhir zaman beliau akan
turun lagi dengan izin Allah tetapi bukan membawa agama atau syariat baru.
Beliau datang nanti untuk menguatkan agama Islam.
Ummu Syuraik bertanya kepaad
Rasulullah s.a.w tentang hari Dajal: “Ya Rasulullah, ke mana orang-orang Arab
ketika itu? Rasulullah s.a.w menjawab: “Jumlah mereka pada waktu itu terlalu
sedikit. Mereka lari ke Baitul Maqdis menjumpai Imam mereka, seorang lelaki
soleh (Imam Mahdi menurut riwayat itu).
“Ketika Imam mereka sudah berdiri di depan untuk
mengimami solat Subuh, tiba-tiba datang Nabi Isa. Imam mereka itu mundur untuk
memberi peluang kepada Nabi Isa untuk mengimami solat Subuh itu tetapi Isa a.s
sambil memegang bahu Imam itu berkata: “Teruskanlah, sesungguhnya iqamat
dibacakan untuk engkau. Maka sembahyanglah mereka semua di belakang Imam tadi.
“Selesai solat, Isa a.s berkata
kepada semua jemaah: “Bukakan pintu itu. Mereka membuka pintu masjid itu,
tiba-tiba Dajal sudah berdiri di situ dan di belakangnya ada 70,000 Yahudi
lengkap membawa senjata.
“Melihat Nabi Isa ada di dalam masjid
itu, Dajal tiba-tiba saja layu atau cair seperti cairnya garam disirami air.
Dajal itu lari terbirit-birit kerana ketakutan. Nabi Isa bersama kaum Muslimin
terus saja mengejarnya kemudian menjumpainya di Babu Luddi. Dan di sanalah Nabi
Isa membunuh Dajal itu.
“Orang-orang Yahudi pun akan
dikalahkan dan dibinasakan Allah pada waktu itu. Mereka cuba lari dan
bersembunyi tetapi semua benda tempat mereka bersembunyi akan pandai bercakap
atau bercerita dengan izin Allah. Benda-benda dimaksud termasuklah dinding, batu,
pokok kayu dan sebagainya. Kalau ada orang Yahudi yang bersembunyi di balik
belakang mereka, benda-benda itu akan memberitahukannya. Termasuk juga satu
pokok berduri (disebut pokok Yahudi), jika mereka bersembunyi di bawahnya,
pokok itu akan berkata: “Wahai hamba Allah yang beriman, di sini ada orang
Yahudi, bunuhlah dia.
Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Dajal
akan berada di dunia selama empat puluh tahun. Satu tahun lamanya seperti
setengah tahun, terkadang seperti satu bulan. Satu bulan seperti satu minggu.
Dan pada hari yang terakhir terasa sekejap sahaja. Pagi-pagi kamu berada di
pintu masuk kota Madinah (Madinah pada zaman Rasul), sampai kamu di pintu yang
lain hari pun masuk waktu malam.
Mendengar yang demikian ada yang
bertanya: “Bagaimana kami mengerjakan solat dalam waktu yang begitu singkat ya
Rasulullah? Rasulullah s.a.w menjawab: “Ukur sajalah jaraknya dan bandingkan
dengan waktu yang panjang sekarang ini.
Rasulullah s.a.w berkata: “Isa bin
Maryam akan memimpin umatku dengan bijaksana dan adil. Beliau akan
menghancurkan salib-salib yang ada di dunia ini dan akan membunuh semua babi.
Beliau juga akan menghapuskan cukai. Manusia pada waktu itu tidak perlu membayar
cukai, bahkan zakat pun tidak dibayar lagi kerana tidak ada orang yang berhak
menerimanya.
“Pada hari itu semua makhluk dalam
keadaan aman dan tenteram. Tidak ada saling cemburu, dengki, saling memarahi
dan mengganggu antara sesama makhluk Allah. Sehingga ada anak perempuan yang
bermain-main dengan harimau dan harimau itu tidak menerkamnya, begitu juga
kambing berkawan dengan serigala. Seluruh dunia ketika itu nanti diliputi oleh
kedamaian, keamanan dan ketenteraman. Bahkan ketika itu nanti tidak ada
pertelingkahan keyakinan dan pendapat. Tidak ada yang disembah selain Allah.
“Orang Arab ketika itu nanti akan
merampas kembali semua miliknya. Bumi mengeluarkan cahayanya, menumbuhkan
tanam-tanamannya seperti zaman Nabi Adam. Sehingga manusia akan memetik buah
anggur dan delima sehingga mereka kenyang memakannya.
Ibnu Katsir berkata: “Abdul Rahman
Al-Muharibiy berkata: “Sebaiknya hadis ini dijadikan untuk mendidik saja. Hadis
ini tidak sahih tetapi banyak hadis lain yang hampir sama maksudnya dengannya.
Di antaranya ada diriwayatkan oleh Muslim dari Abdullah bin Umar, bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda: “Kamu akan memerangi orang-orang Yahudi. Kamu akan
memerangi mereka habis-habisan sehingga batu tempat mereka bersembunyi pun akan
berkata: “Wahai orang muslim, di sini ada orang Yahudi, bunuhlah dia.
Menurut riwayat, bumi nanti akan
mengeluarkan segala khazanah kekayaannya, iaitu pada zaman Nabi Isa. Pada waktu
itu dunia dalam keadaan makmur dan harta melimpah ruah, sehingga tidak ada lagi
orang yang berhak menerima zakat.
Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah
s.a.w bersabda: “Sudah hampir masanya turun kepada kamu Ibnu Maryam menjadi
hakim yang adil, yang akan membunuh Dajal, membunuh babi, menghancurkan salib
dan menghapuskan cukai kerana harta ketika itu melimpah ruah. Ketika itu nanti
manusia hanya sujud kepada Allah Tuhan sekalian alam.
Diriwayatkan oleh Ahmad, dari Ibnu
Masud, dari Rasulullah s.a.w: “Pada malam aku diisrak mikrajkan, aku telah
berjumpa dengan Ibrahim, Musa dan Isa a.s. Mereka membincangkan hari kiamat
dengan menanyakan permasalahannya kepada Ibrahim. Tetapi beliau hanya menjawab:
“Tidak ada pengetahuanku tentang hari kiamat. Cuba kalian tanya kepada Musa.
Mereka tanya Nabi Musa tetapi beliau juga hanya menjawab: “Aku tidak tahu tentang
kiamat. Cuba kalian tanyakan kepada Isa.
“Mereka tanyakan kepada Isa kemudian
beliau berkata: “Sebenarnya tidak ada yang mengetahui masalah ini kecuali
Allah. Menurut yang dijanjikan Allah kepadaku, Dajal nanti muncul sedangkan di
tanganku ada dua sabit (alat pemotong). Sebaik saja Dajal itu melihat aku, dia
pun hancur seperti hancurnya timah yang terkena panas. Allah akan
membinasakannya, begitu juga orang-orang kafir lainnya. Sehingga batu dan pokok
kayu nanti akan ikut berkata: “Wahai orang muslim, di bawahku ada orang kafir
bersembunyi, marilah dan bunuhlah dia.
Kata Nabi Isa lagi: “Setelah Allah
SWT membinasakan mereka, orang-orang muslim pulang ke rumah mereka
masing-masing. Dalam keadaan demikian keluar pula Yakjuj dan Makjuj, yakni
bertebaran dari segenap penjuru.
Kerana banyaknya Yakjuj dan Makjuj
itu, maka semua kampung dan tempat tidak ada yang tidak dipijak oleh mereka.
Mereka memakan semua makanan yang ada dan meminum semua air. Setelah habis
makanan dan buah-buahan, daun-daunan pun habis mereka makan. Air sungai dan
tasik semua habis mereka minum.
Tambah beliau lagi: “Orang-orang
mukmin ketika itu tidak tahan melihat ulah Yakjuj dan Makjuj itu sehingga
mereka memohon kepada Allah supaya dibinasakan binatang itu. Berkat doa mereka
itu, Yakjuj dan Makjuj itu mati semua. Sekarang timbul masalah yang cukup besar
lagi, yakni bangkai Yakjuj dan Makjuj yang bergelimpangan di mana-mana. Di
mana-mana seluruh dunia terasa bau bangkai. Akhirnya Allah SWT menurunkan hujan
lebat sehingga bangkai-bangkai itu hanyut ke sungai dan kemudian hanyut ke
laut.
Diriwayatkan oleh Ismail bin Ishak,
Rasulullah s.a.w bersabda: “Belum terjadi kiamat sebelum Isa bin Maryam
berjalan di udara untuk mengerjakan haji dan umrah, atau sehinga Allah SWT
menghimpunkan haji dan umrah dan menjadikan Ashabul Kahfi sahabatnya. Nabi Isa
dan kelompok Ashabul Kahfi akan berjalan untuk mengerjakan haji kerana mereka
selama ini belum mati dan belum pernah mengerjakan haji.
Sebelum ini sudah diterangkan riwayat
dari Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Nabi Isa a.s akan memimpin dunia nanti
selama 40 tahun. Namun demikian disebutkan dalam sahih Muslim, dari Abdullah
bin Amr bahawa Nabi Isa akan berada di dunia selama 7 tahun. Pendapat yang
lebih kuat ialah yang mengatakan 40 tahun. Menurut Ibnu Katsir kedua-dua
pendapat itu sama-sama benar. Maksudnya kata beliau Nabi Isa diangkat ke langit
pada usia 33 tahun, kemudian turun nanti ke dunia selamaa 7 tahun lagi, yakni
sebelum beliau diwafatkan Allah SWT. Setelah tujuh tahun memimpin dunia, Nabi
Isa wafat. Maka umur Nabi Isa secara keseluruhannya 40 tahun. Wallahu A'lam.
Menurut Ibnu Katsir, sesuai dengan yang termaktub dalam hadis sahih,
Yakjuj dan Makjuj akan keluar pada zaman Nabi Isa. Kemudian Allah SWT
memusnahkannya berkat doa Nabi Isa pada satu malam. Ada juga disebutkan dalam
hadis bahawa Nabi Isa akan mengerjakan haji setelah turun nanti. Muhammad bin
Kaab Al-Quraiziy berkata, Ashabul Kahfi akan menjadi sahabat Nabi Isa nanti dan
mereka akan sama-sama mengerjakan haji. Katanya Nabi Isa akan wafat di Madinah.
Beliau akan disembahyangkan oleh kaum muslimin dan dimakamkan berdekatan dengan
makam Rasulullah s.a.w.
Menurut riwayat, Isa bin Maryam akan
dimakamkan bersebelahan dengan kuburan Nabi Muhammad s.a.w, kuburan Abu Bakar
dan Umar. Bererti kuburan Nabi Isa merupakan kuburan yang keempat.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://cakoayam.blogspot.com/2019/12/tiga-watak-di-akhir-zaman.html